Pelantar minyak Monrovia yang terletak kira-kira 65 batu nautika dari Kuala Besut merupakan pelantar persinggahan kami dalam trip jigging & popping di gugusan pelantar minyak perairan Terengganu.
Kedudukan pelantar pemprosesan gas asli yang paling hampir dengan pantai, dan dikatakan masih baru beroperasi ini popular disebabkan oleh dua perkara.
Pertama, api borengnya yang besar dan amat berbahang. Dan sebab kedua yang merupakan penyebab utama adalah kehadiran spesis bernilai tinggi terutamanya tenggiri dalam jumlah yang menakjubkan.
Justeru pelantar Monrovia tidak sekadar menjadi persinggahan bot-bot pancing ke pelantar minyak, bahkan turut dikerumuni bot-bot kecil para nelayan.
Walaupun ia sebenarnya agak jauh bagi para nelayan itu namun hasilnya ternyata sangat berbaloi-baloi.
Dalam perjalanan hari pertama (trip 5 hari 4 malam), kami tiba di pelantar ini sekitar jam 9 malam.
Namun terdapat sedikit halangan yang menyebabkan kami tidak boleh menghampiri kawasan tersebut.
Agak lewat malam juga barulah kami berpeluang menguji kehebatan tenggiri Monrovia ini.
Dalam sesi pemanas badan sebelum bergerak ke pelantar Guntong A ini, kami sekadar berjaya mendaratkan 5 ekor tenggiri sahaja meskipun banyak strike yang dilakukan.
Ternyata tenggiri Monrovia memang hebat. Banyak jig kami yang lebuh malah ada yang jig yang kembali dalam keadaan yang cukup nazak.
Sekembalinya dari jelajah pelantar minyak yang merupakan malam terakhir, kami hanya ada masa kurang dari 4 jam untuk mencari tenggiri sebanyak yang mungkin.
Menurut kata tekong, semakin banyak masa dihabiskan maka semakin lewatlah kami akan tiba ke jeti.
Justeru pada sesi kedua yang agak singkat ini kami berusaha dengan lebih gagah dan memastikan tiada kesilapan teknikal berulang. Keputusan muktamad dibuat semua leader disambungkan dengan kabel dawai 30lb!
Hasilnya, seorang demi seorang memperolehi lesen tenggiri. Malah ada yang sudah memperolehi lebih dari seekor sedangkan saya sudah terbayang kekumpauan dan kutukan yang bakal ditanggung.
Setelah beberapa kali menukar jig dan rentak momentum karauan, akhirnya saya berjaya juga memperolehi lesen tenggiri Monrovia.
Dengan mengekalkan momentum karauan tersebut, saya berjaya mendaratkan seekor lagi tenggiri dan tidak lama kemudian seekor lagi berjaya dinaikkan sekaligus menjadi ikan penutup trip!
Sebanyak 22 ekor tenggiri dengan purata spesimen melebihi 5 kg setiap ekor berjaya kami kutip dari pelantar Monrovia.