Pelantar minyak Monrovia yang terletak kira-kira 65 batu nautika dari Kuala Besut merupakan pelantar persinggahan kami dalam trip jigging & popping di gugusan pelantar minyak perairan Terengganu.
Kedudukan pelantar pemprosesan gas asli yang paling hampir dengan pantai, dan dikatakan masih baru beroperasi ini popular disebabkan oleh dua perkara.
Pertama, api borengnya yang besar dan amat berbahang. Dan sebab kedua yang merupakan penyebab utama adalah kehadiran spesis bernilai tinggi terutamanya tenggiri dalam jumlah yang menakjubkan.
Justeru pelantar Monrovia tidak sekadar menjadi persinggahan bot-bot pancing ke pelantar minyak, bahkan turut dikerumuni bot-bot kecil para nelayan.
Walaupun ia sebenarnya agak jauh bagi para nelayan itu namun hasilnya ternyata sangat berbaloi-baloi.
Ads
Dalam perjalanan hari pertama (trip 5 hari 4 malam), kami tiba di pelantar ini sekitar jam 9 malam.
Namun terdapat sedikit halangan yang menyebabkan kami tidak boleh menghampiri kawasan tersebut.
Agak lewat malam juga barulah kami berpeluang menguji kehebatan tenggiri Monrovia ini.
Dalam sesi pemanas badan sebelum bergerak ke pelantar Guntong A ini, kami sekadar berjaya mendaratkan 5 ekor tenggiri sahaja meskipun banyak strike yang dilakukan.
Ternyata tenggiri Monrovia memang hebat. Banyak jig kami yang lebuh malah ada yang jig yang kembali dalam keadaan yang cukup nazak.
Ads
Sekembalinya dari jelajah pelantar minyak yang merupakan malam terakhir, kami hanya ada masa kurang dari 4 jam untuk mencari tenggiri sebanyak yang mungkin.
Menurut kata tekong, semakin banyak masa dihabiskan maka semakin lewatlah kami akan tiba ke jeti.
Ads
Justeru pada sesi kedua yang agak singkat ini kami berusaha dengan lebih gagah dan memastikan tiada kesilapan teknikal berulang. Keputusan muktamad dibuat semua leader disambungkan dengan kabel dawai 30lb!
Hasilnya, seorang demi seorang memperolehi lesen tenggiri. Malah ada yang sudah memperolehi lebih dari seekor sedangkan saya sudah terbayang kekumpauan dan kutukan yang bakal ditanggung.
Setelah beberapa kali menukar jig dan rentak momentum karauan, akhirnya saya berjaya juga memperolehi lesen tenggiri Monrovia.
Dengan mengekalkan momentum karauan tersebut, saya berjaya mendaratkan seekor lagi tenggiri dan tidak lama kemudian seekor lagi berjaya dinaikkan sekaligus menjadi ikan penutup trip!
Sebanyak 22 ekor tenggiri dengan purata spesimen melebihi 5 kg setiap ekor berjaya kami kutip dari pelantar Monrovia.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sudah lama tidak menjengah ke Matu Daro, baru-baru ini saya berkesempatan berkunjung lagi ke sana, dengan misi untuk melihat adakah spot snakehead terutamanya bujuk (channa lucius) paling mencakup di negeri sarawak masih berbisa atau sebaliknya.
Ditemani rakan Lai Malie dan Zafri dari Mukah Anglers Grup (MAG), kami bertiga menaiki kereta dari bandar Mukah ke Matu Daro. Dengan jarak hampir 100 km, perjalanan berkereta mengambil masa kurang dari sejam. Mujur hari tersebut kenderaan tidak banyak, jadi tidaklah perlu kereta beratur panjang menaiki feri untuk melintasi Batang Igan.
Sepanjang perjalanan ke Matu Daro, terlalu banyak spot spesies snakehead berpotensi di kiri dan kanan bahu jalan. Bak kata Lai Malie, semuanya boleh dicuba. Terpulang nak berhenti di mana. Tak perlu menjengah ke ceruk yang dalam-dalam, sekadar di pinggir jalan raya pun boleh dapat saiz memuaskan.
Cuma istimewanya lagi, katanya lagi, hanya di Matu-Daro sahaja terdapat 3 spesies snakehead berbeza iaitu bujuk (Channa lucius), haruan (Channa striatus) dan runtu (Channa baramensis) mendiami lubuk yang sama, yang tidak ada di daerah lain di Sarawak. Jika ada pun satu @ dua spesies sahaja di satu-satu lubuk.
Jam 9 pagi, kami tiba di Matu Daro. Sebaik tiba, kami bertiga masing-masing menyiapkan set pancing. Tanpa membuang masa, kami terus sahaja casting sebaik kereta diletakkan di bahu jalan sambil emergency signal dihidupkan.
Di lubuk pertama, lontaran jump frog melewati kawasan terbuka yang airnya hitam (air tanah gambut) terus disergap oleh si pemangsa, tetapi rabut. Ini sudah baik kata saya, beberapa kali melontar lagi, akhirnya saya berjaya mendapat strike, hasilnya haruan.
Di seberang jalan, Lai Malie dan Zafri, masing-masing juga berjaya memperoleh haruan dan juga bujuk. Ini sudah bagus, cuma saya sahaja yang belum dapat sang bujuk lagi. Akhirnya sebaik sahaja saya berjalan kaki menukar spot, saya memperoleh sang bujuk pertama.
Untuk memperoleh bujuk, saya mengikut saranan mereka agar jump frog perlu dilontar serapat mungkin dengan reba kayu. Kerana di situlah bujuk berdiam diri, tidak seperti haruan yang boleh diperolehi di pinggir tebing atau celah rumpai.
Kami tidak menunggu lama di sesuatu spot, kerana terdapat banyak lubuk yang perlu di terjah. Kami memperuntukkan kira-kira 10 minit untuk menunggu. Sekiranya kurang sambaran atau saiz yang sama kami akan berpindah.
Setiap lontaran yang dibuat, jantung saya pasti berdebar, kerana deburan kuat terutama sang bujuk besar pasti akan menghentam jump frog yang saya lontarkan.
Mengapa spesies ini cukup banyak di daerah ini dan tidak di tempat lain. Dua kali saya bertandang ke sini, saya dapat merumuskan beberapa faktor. Yang pertama, spesies snakehead ini hidup dengan bebas tanpa sebarang tekanan daripada pemancing. Walaupun terdapat geng caster yang semakin berkembang di sini, tetapi spesies ini bukanlah dijadikan sebagai hidangan.
Oleh sebab Matu Daro berhampiran laut, masyarakat yang majoritinya kaum Melanau di sini lebih terarah kepada ikan laut. Ia juga antara sebab mengapa grup memancing yang ada di sini lebih gemar kepada pancingan muara dan jigging.
Faktor keduanya adalah faktor persekitaran di mana muka buminya yang lembap dan luas, berpaya, bersaliran baik dan tanah gambut (air hitam) antara sebab mengapa ikan tumbesarannya sihat.
Selain itu, daerah Matu Daro serta kawasan lain seperti Dalat, Oya dan Mukah adalah kawasan tanaman padi tradisional dan penanaman pokok sagu. Jadi tidak hairanlah ia habitat terbaik untuk spesies-spesies ini membiak dengan baik, bertubuh sihat lagi montok dan warna yang cukup menarik.
Lewat petang kami menamatkan trip. Rupa-rupanya kami memperoleh lebih 30 ekor strike setiap orang terutama bujuk yang paling banyak diikuti haruan. Runtu pula agak menyepi kali ini dengan hanya kurang dari 5 ekor sahaja. Kesemua tangkapan di lepaskan kembali ke habitat asal. Sememangnya bujuk Matu Daro memang ohsem la!!!
Yo’Yo Rakit mempunyai 3 buah rakit dengan saiz yang berbeza dan dinamakan Rakit A, B dan C.
Rakit A yang kami kunjungi, sudah beberapa tahun beroperasi dan boleh dikatakan lengkap dengan fasiliti yang sesuai untuk kunjungan kaki pancing yang ingin membawa keluarga.
Dengan besar 200 x 500 kaki dan mampu memuatkan maksima 300 orang pada satu-satu masa, rakit ini boleh dikatakan cukup lengkap dengan kemudahan seperti tandas, surau,
kedai makan, karaoke, air bersih yang disalurkan terus dari darat dan pelbagai lagi kemudahan lain.
Di Rakit A, terdapat 21 buah bilik penginapan dengan harga dari RM50 dan RM100 untuk kaki pancing yang membawa keluarga.
Harga ini bolehlah dikatakan amat berbaloi terutama dengan kemudahan serba lengkap yang ditawarkan.
Kesempatan menemubual pemilik rakit penulis sempatlah bertanyakan bagaimana tercetusnya idea untuk membina rumah rakit ini.
Menurut pemiliknya, Encik Hassan Talib, idea tertubuhnya rumah rakit ini pada asalnya sekadar suka-suka untuk hak milik persendirian.
“Namun, apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada pemancing yang menginginkan rakit ini dibuka kepada umum, saya mula membesarkan rakit dan dari
situlah bermulanya sambutan yang hangat daripada kaki pancing seluruh Malaysia”, katanya.
Ungkapnya lagi, selain daripada memancing sambil bersantai di rakit, Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat ‘river cruise’ bagi mereka yang ingin menyusuri pemandangan dan keindahan Sungai Johor.
Selain itu, bagi pemancing yang ingin merasai kelainan, pihak Yo’Yo Rakit turut menyediakan khidmat sewa bot untuk memancing di kawasan sekitar Sungai Johor.
Bot dengan enjin 15 hingga 250 kuasa kuda telah disiap-sediakan jika ada yang berminat untuk menjengah lubuk-lubuk yang ada di kawasan sekitar.
Selain Rakit A, anda juga boleh memilih untuk memancing di Rakit B dan C yang terletak berhampiran dengan rakit utama.
Di Rakit B yang baru dibuka pada tahun 2014, saiznya jauh lebih kecil berbanding Rakit A. Rakit ini hanya mampu memuatkan sekitar 25 orang pada satu-satu masa.
Rakit ini juga kurang sesuai bagi mereka yang membawa keluarga kerana tiada bilik penginapan yang disediakan.
Namun, untuk kaki pancing tegar, rakit ini sering menjadi pilihan kerana kawasannya yang berhampiran dengan pulau dan dikelilingi batu karang.
Di Rakit yang terbaru iaitu Rakit C yang baru dibuka pada tahun ini, ianya sesuai untuk pemancing yang membawa keluarga atau kumpulan kecil.
Selain mampu memuatkan maksima sehingga 60 orang, terdapat juga 9 buah bilik penginapan dan pelbagai lagi kemudahan lain turut tersedia di sini.
Boleh dikatakan ketiga-tiga rakit yang ada di sini memang menjadi laluan pelbagai jenis ikan.
Antara ikan yang sering menjadi habuan kaki pancing ialah siakap, kerapu, senangin, tanda, semilang, pari, pecah periuk dan bermacam-macam lagi. Rekod di rakit ini, ada pemancing yang pernah menaikkan siakap seberat 7 kg!
Malah, sewaktu kunjungan penulis boleh dikatakan pemancing yang memancing di sini mewah menaikkan pelbagai jenis ikan.
Kena dengan kunjungan kami yang jatuh waktu air menyusur bani, memang tak menang tangan masing-masing menaikkan hasil tangkapan.
Dari ikan sekecil-kecil gelama hinggalah sebesar siakap semuanya ada dinaikkan sewaktu kunjungan kami.
Jadi, bagi kaki pancing yang ingin merasai percutian memancing bersama keluarga dan rakan-rakan, Yo’Yo rakit adalah antara rakit yang amat penulis sarankan kepada anda.
Selain lengkap dengan fasiliti, rakit ini juga boleh menjadi tempat untuk anda mencari lauk dan menenangkan fikiran.
Untuk sebarang maklumat lanjut boleh hubungi pemilik rakit En. Hassan Talib Facebook mereka, hanya taip sahaja ‘Yoyo Rakit’.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
MAG telah mengadakan beberapa siri komplot melayang sang bulan yang dianggotai oleh saya sendiri, Ruzain Narumy, Kelvin Chua, Tomato Bey, Emily Lai Malie dan Sally LC. Set yang kami gunakan adalah sekadar set berharga ekonomi bermula dari WT2 hingga WT 4/5.
Tali utama pula adalah daripada jenis floating line & sinking line yang disambungkan kepada perambut sekasar 18-20 paun dan tippet pula adalah dari jenis mono berkekuatan 8-10 paun sahaja.
Manakala penggunaan umpan lelayang tradisional seperti nymph Zonker Gurgler, Damsel dan sebagainya jarang kami gunakan setelah beberapa kali bereksperimentasi tentang mata pancing yang sesuai untuk menjerat bulan.
Kejadian ‘miss call’ dan kadar rabut yang tinggi membuatkan kami memilih untuk menggunakan mata pancing udang bersaiz no. 2 dan 3. Material mata pancing layang yang halus dan tajam amatlah sesuai untuk mengatasi masalah rahang sang bulan yang keras.
Kadar tancapan dengan menggunakan mata pancing udang terbukti berjaya mengurangkan kes rabut yang tinggi. Cuma kelemahannya adalah tatkala ikan bersaiz besar dan kuat seperti bandang serta siakap putih, yang mencuri umpan lelayang, kejadian mata kail patah sering kali berlaku.
Pada hujung tahun lepas, kami berkumpul di spot yang dikenal pasti dan berada cuma lebih kurang 10 km dari pusat bandar Mukah. Spot ini didiami banyak si ikan bulan, malah sang bandang dan juga siakap putih.
Dengan berbekalkan setup wt2 dan wt4/5, kami mula membuat layangan sambil berkongsi teknik dan umpan lelayang. Ternyata umpan lelayang yang diikat sendiri menggunakan sedikit bulu serta rumbai berkilat amat berkesan. Saya sendiri berjaya mendaratkan lebih 30 ekor ikan bulan pelbagai saiz dengan hanya bersenjatakan setup wt2 untuk sesi pagi.
Namun dalam keterujaan melayan sang bulan yang tengah frenzy, kelibat sang bandang ada kalanya turut merampas umpan. Acap kali juga terjadi kes tippet putus, cuma sekali henjut dek sang bandang yang membuat pecutan bak peluru ala-ala Usain Bolt sambil meluncur ke udara membuatkan suasana menjadi riuh seketika.
Namun begitu, beberapa ekor bandang juvenil berjaya juga kami daratkan meskipun ada yang ‘foul hooked’. Kesemua hasil tangkapan kami lepaskan semula demi menjaga stok ikan sukan agar terus berkekalan pada masa hadapan.
Pada lewat petang untuk sesi komplot tersebut, timbul suasana agak kelam kabut dan cemas apabila tiba-tiba umpan lelayang Sally LC mainkan disergap sesuatu yang amat kasar. Dia yang cemas dan dalam keadaan terkejut sempat juga melayan keras pecutan dan larian ikan tersebut.
Saya yang melayangkan umpan dalam jarak 30 meter dari tempat kejadian pun berasa terkejut mendengar suara Ruzain dan Emily yang memanggil dan menyatakan Sally tengah bergasak dengan ikan yang kuat.
Sedang berlari lari anak sambil meranduk air separas lutut, tiba-tiba bunyi sorakkan daripada Ruzain menyatakan bahawa ikan yang mengonggong lelayang Sally adalah seekor mama bandang apabila ianya meluncur ke udara lantas menunjukkan badannya yang sasa, tegap dan panjang.
Saya sempat menyaksikan kejadian tersebut tetapi tidak dapat berbuat apa apa apabila sang bandang berjaya meloloskan diri bila mata pancing udang yang disasarkan untuk sang bulan patah.
Sally yang pertama kali bertembung spesies pemecut itu tidak dapat berkata apa-apa sambil terduduk terkejut. Pada masa yang sama, dia seakan masih tak percaya yang sang bandang sebesar dan sekuat itu menjadi tentangan petang tersebut.
Saya bersama Ruzain meneruskan layangan petang tersebut tetapi kelibat sang bandang tidak muncul lagi. Cuma beberapa bulan juvenil sahaja yang menjadi penghibur.
Berikutan kejayaan sesi melayang 100% tersebut, komplot susulan lantas di rancang. Komplot ini di sertai oleh beberapa caster yang ingin mendapatkan lesen bulan dan bandang.
Setelah semua ahli komplot hadir di tempat yang dijanjikan, sedikit taklimat dan perkongsian daripada saya selaku penganjur komplot berkenaan agenda komplot pada hari tersebut.
Ini disebabkan ahli-ahli komplot kali ini pertama kalinya disertai oleh caster dari Sabah di samping orang kuat persatuan pemancing Bahagian Bintulu serta pemancing dari Sibu, Matu dan Mukah sendiri. Tanpa membuang banyak masa, semua ahli komplot segera beredar ke spot pertama pada pagi Ahad tersebut dengan kenderaan masing masing.
Setelah bergambar sebagai kenang kenangan, komplot terus bermula. Agak malang sedikit untuk sesi pagi tersebut kerana tiada langsung kelibat sang bulan bermain air. Tetapi semua ahli komplot tetap berusaha menjejaki penghuni spot ini memandangkan ianya didiami pelbagai jenis ikan. Akhirnya ramai ahli komplot mencuba kaedah casting sebagai usaha mendapatkan tangkapan masing masing.
Sedang penulis asyik membuat layangan ke atas sekawan tarpon juvenil yang mula bermain air di satu penjuru, tiba tiba kedengaran suasana sedikit riuh serta ada yang memanggil penulis agar cepat datang ke tempat kejadian. Setelah diperiksa, rupa rupanya si Ysp Yby telah dapat mendaratkan seekor siakap putih dengan kaedah casting.
Setelah mengambil sedikit gambar, sesi pancingan diteruskan semula. Penulis dan Ruzain Narumy yang masih setia dengan pancingan layang akhirnya mendapat habuan masing masing. Ruzain berjaya mendaratkan seekor bulan yang agak kasar setelah umpan lelayang yang dibuat menggunakan mata pancing udang tertancap kemas di bibir sang bulan.
Penulis juga berjaya mendapatkan beberapa tangkapan selepas itu sambil diselang seli dengan tangkapan casting dari ahli komplot yang lain. Memandangkan keputusan pancingan pada pagi tersebut kurang memberansangkan, ahli ahli komplot bersetuju untuk berpindah ke spot yang seterusnya.
Berbekalkan semangat yang masih tinggi, sesi pancingan di spot yang kedua adalah lebih meriah. Ini berikutan spot tersebut hanyalah berada di pinggir jalan sahaja, maka kedudukan ahli komplot memancing pun agak selari dengan jalan raya.
Walaupun kelibat sang bulan bermain air memang rancak kali ini, tetapi segala lelayang serta gewang yang dimainkan kurang mendapat sambutan. Akhirnya setelah beberapa kali rabut, penulis akhirnya berjaya mendaratkan seekor ikan bulan remaja.
Semua ikan hasil pancingan kami pada hari tersebut selamat dilepaskan semula ke habitat asal. Sebagai kesimpulannya, pancingan layang memang mempunyai potensi yang cerah untuk berkembang seperti mana kaedah pancingan yang lain seperti kaedah mengilat. Cuma sedikit masa diperlukan untuk memperkenalkan atau mempromosikan seni pancingan layang itu sendiri.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...