Ikan tenggiri boleh dipancing sama ada ketika air pasang besar mahupun pada waktu air pasang kecil. Apa yang membezakannya hanyalah lokasi pemburuannya.
Contohnya ketika arus laju, tenggiri lebih senang ditemui di kawasan yang dasarnya memiliki struktur.
Jika memancing di kawasan yang sederhana dalam sehingga 40 meter, carilah dasar yang mempunyai struktur berbukit.
Pada kebiasaannya ketika arus deras, ikan-ikan kecil akan menjadikan struktur berbukit ini kawasan berlindung.
Sama ada anda memancing dengan kaedah umpan hidup atau umpan tiruan, kawasan ini perlu dicuba kerana lazimnya tenggiri akan memburu makanan di kawasan lindungan ikan-ikan kecil ini.
Ads
Faktor habitat
Bagi mengenal pasti kawasan ini didiami oleh ikan-ikan kecil, bolehlah diturunkan apollo. Sekiranya berjaya menaikkan ikan-ikan kegemaran tenggiri seperti selar atau kembung,
gunalah ikan-ikan tersebut sebagai umpan sama ada dengan teknik pancingan hanyut ataupun dasar. Jika ingin berjigging, pastikan jig memasuki kawasan tersebut.
Faktor suhu air
Selain itu, faktor suhu air juga memainkan peranan tersendiri. Untuk mengetahui suhu air, bolehlah merujuk kepada alat sonar yang digunakan tekong.
Ads
Bagi laut tropika seperti perairan negara kita, suhu air melebihi 30 darjah celcius merupakan suhu yang paling produktif kerana ikan berada pada tahap paling aktif.
Bukan saja tenggiri, ikan-ikan lain juga aktif memburu makanan.
Faktor lokasi
Faktor seterusnya adalah mengenal pasti kawasan sambaran. Sekiranya menggunakan umpan hidup, bolehlah dilabuhkan ke beberapa kawasan sasaran sama ada di dasar, pertengahan dan pra permukaan air.
Ads
Jika berjigging pula, jig perlu diunjun dari dasar hingga ke permukaan dan pastikan di kawasan mana ia menerima sambaran.
Dan akhir sekali yang menjadi penentu kejayaan adalah pemilihan kelengkapan memancing yang tepat.
Sebagai contoh, set joran yang sepadan untuk menahan kuasa pecutan tenggiri. Tali pancing yang cukup panjang untuk dihela keluar oleh tenggiri dan perambut mata kail yang mampu menangkis ketajaman gigi tenggiri.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terdapat ratusan jelatong di Tasik Bakun. Jelatong yang memberi makna rumah terapung atau floating house lazimnya bukanlah berupa kediaman tetap.
Sebaliknya ia lebih kepada kediaman kedua atau dijadikan markas penduduk setempat menyimpan hasil kerja hutan dan sungai sebelum dibawa keluar untuk jualan pada hujung minggu.
Walau bagaimana pun dalam ratusan jelatong yang ada, terdapat beberapa buah jelatong yang dijadikan produk ekopelancongan.
Salah satu jelatong yang paling aktif mengusahakan pakej destinasi pelancongan adalah Belanum Bay Floating House.
Belanum Bay Floating House yang terletak di Sungai Belanum ini diusahakan oleh Koperasi Keluarga U&I Belaga Berhad, di mana Luhat Tugas adalah pengerusinya.
Perjalanan dari Jeti Tasik Bakun ke jelatong ini memakan masa kurang dari setengah jam dengan menaiki bot laju.
Ia bolehlah dikatakan antara jelatong yang paling hampir dengan Empangan Bakun.
Belanum Bay Floating House menyediakan 4 bilik tidur termasuk sebuah master bedroom yang lengkap dengan bilik air.
Ia mampu memuatkan maksimum sehingga sepuluh pengunjung pada satu-satu masa.
Menariknya di jelatong ini, bekalan eletrik disalurkan melalui sistem solar dan juga generator.
Sementara bekalan air bersih pula dipam satu kilometer di hulu sungai bagi memastikan kualiti air sentiasa segar dan bersih.
Baung yang dipancing di belakang dapur
Antara tarikan utama berkunjung Belanum Bay Floating House selain untuk berehat dan bersantai adalah melakukan aktiviti akua.
Air terjun terletak berdekatan dengan jelatong merupakan tarikan utamanya.
Selain aktiviti berenang dan mandi-manda, trekking ke hulu sungai, air terjun tersebut juga merupakan spot terbaik untuk aktiviti memancing.
Malah memadai dengan memancing di bahagian dapur jelatong sahaja sudah cukup menyeronokkan.
Dan di jelatong ini juga akan anda akan boleh memancing sebarau sebagaimana aktiviti memancing lampam menggunakan rumah bot di Tasik Kenyir.
Pak Bara adalah check point di kalangan kaki pancing Malaysia dan Thailand menduga perairan Ko Adang. Setelah berunding dengan beberapa agensi yang menawarkan pakej di jeti Pak Bara, kami akhirnya dapat juga slot satu hari memancing, itu pun kena tunggu hari yang berikutnya.
Bila tempoh musim memancing dibuka di gugusan Taman Laut Ko Narutau tempahan biasanya dibuat beberapa bulan awal, bukan sehari awal seperti yang kami lalui. Namun begitu rasa syukur juga dapat juga bot untuk keluar memancing melalui kenalan kami di Satun.
Persiapan dibuat ala kadar kerana tempoh memancing agak singkat. Merujuk kepada waktu yang terluang, kami menukar rancangan dari memancing ke Ko Adang ke Ko Bulon, antara pulau kecil yang tidak tersenarai sebagai marine park.
Aktiviti memancing di sini bebas sehingga rapat ke arah pulau. Malah jarak Ko Bulon ini lebih dekat dari Ko Adang yang memakan masa lebih dari 5 jam dari jeti manakala Ko Bulon hanya mengambil masa dua jam perjalanan.
Tidak semua yang turut serta dalam trip ini adalah kaki pancing. Ikut kerana tiada pilihan lain ketika itu. Jadi joran yang reel yang dibawa hanya untuk kegunaan 6 pemancing. Daripada tiada apa yang hendak dilakukan di darat lebih baik naik bot tengok kami memancing. Dari tengok baik cuba-cuba sekali belajar memancing.
Memandangkan kami tidak membawa sebarang bekalan umpan, tekong mengemudi bot ke kawasan unjam-unjam bot pukat cerut berada. Walaupun mengambil masa agak lama sedikit namun itu pilihan yang kami ada.
Aktiviti persiapan memancing untuk muka baru menjadi lebih mudah kerana set joran untuk yang baru ingin merasa aktiviti memancing dipasang dengan mata apollo. Setelah diberi sedikit penerangan ringkas pancing apollo, mereka kelihatan mudah memahami tunjuk ajar yang diberikan.
Tekong turut membantu apabila memancing dalam keadaan bot bergerak, sukar untuk melontar apollo ke sasaran. Cara terbaik ialah melabuhkan sauh. Dalam keriuhan mereka apollo umpan, saya sempat hulurkan seekor selayang hidup ke arah unjam sambil membantu pemancing lain menanggalkan ikan pada mata apollo.
Sambil pada itu awak-awak bot banyak meringankan tulang mengikat apolo dua mata untuk geng pancing ini. Umpan hirisan ikan yang dilabuhkan ke dasar cepat menjerat kerapu purata saiz 500 gram.
Dari pancing apollo kemudiannya ramai menukar ke apollo dua mata berumpankan hirisan ikan setelah hasil lebih besar jemu dengan ikan apollo, kerapu dan anak merah suman pula menjadi sasaran. Sementara itu umpan ikan selayang hidup sejengkal dihanyutkan di belakang bot akhirnya menghasilkan bunyi pengera kekili yang dinantikan-nantikan.
Dari ikan apollo, anak kerapu, kini tumpuan mereka beralih kepada ikan yang sedang menggonggong selayang hidup. Melihat corak larian peringkat permulaan, ikan sudah diduga. Tidak lama aksi akrobatik di udara menyerlahkan semangat juang belitong ini.
Selepas belitong pertama dinaikkan, banyak lagi kelibat belitong lain di permukaan sekitar. Masing-masing memasang keinginan mencuba kelainan aksi pancing dari dasar ke permukaan. Jadi akur dengan hajat dia orang saya sibuk seketika mengajar mereka menyiapkan teknik memancing belitong.
Dari pasang mata kail, cangkuk umpan, cara menyembat belitong sehingga teknik melayan. Bermulalah suasana kecoh selepas satu persatu berjaya menawan belitong buat kali pertama. Tinggal tekong dan awak-awak sahaja yang tertumpu kepada pancing dasar.
Saya terpaksa mengalah melepaskan semua set pancing kepada mereka. Bagi peluang kepada muka baru merasai apa yang pernah saya rasa sebelum ini. Semua yang turut serta hari itu dapat merasa peluang melayan aksi belitong sehingga terasa letih.
Ada yang dapat seekor dah puas, ada yang tak jemu-jemu melayan belitong sehingga keadaan reda menjelang petang. Aktiviti memancing berhenti seketika setelah masing-masing sudah puas dan mengendurkan seketika ketegangan urat lengan sambil menikmati ringkas juadah yang siap dimasak.
Bila belitong berhenti menyerang umpan hanyut, yang bertenaga sambung memancing dasar pula. Cuaca panas dengan keadaan laut yang tenang membuka ruang kepada muka baru memancing sepuas-puasnya.
Tiada yang mabuk laut hari itu lebih-lebih lagi minda mereka dihanyutkan dengan keceriaan suasana pancing yang sungguh produktif.
Sementara mereka menumpukan ikan dasar, kali kedua saya memasang umpan selayang hidup dan sekali lagi dibiarkan hanyut jauh ke belakang bot.
Jeritan penggera kekili berbunyi lagi tidak lama selepas itu dan kali ini larian ikan menjunam sedikit ke dasar. Pecutan ikan ini berbeza dengan pecutan belitong kerana bentuk badan yang berlainan.
Tidak lama bertarung, ikan yang dihajati sebelum ini akhirnya muncul juga. Tenggiri tunggal menjadi penutup episod santai di Ko Bulon kerana waktu mancing singkat akan melabuhkan tirainya.
Taman Negara Kuala Koh merupakan sebahagian daripada taman negara semenanjung yang meliputi 4343 km persegi merangkumi Kelantan, Terengganu dan pahang. Ia merupakan satu-satunya pintu masuk rasmi di negeri Kelantan untuk ke Taman Negara. Kuala Koh terletak bertentangan dengan Sungai Lebir dan Sungai Koh.
Taman Negara Kuala Koh terletak kira-kira 290 kilometer dari Kuala Lumpur atau 185 kilometer dari Kota Bharu. Perjalanan dari Gua Musang sejauh 90 kilometer mengambil masa kira-kira 1 ½ jam. Felda Gugusan Aring merupakan pintu masuk ke Taman Negara Kuala Koh dan perlu meredah jalan felda dan tanah merah sejauh 45 kilometer.
Hasrat untuk menguji kehandalan kelah melarikan umpan dan menyusup ke celah-celah bangkar sentiasa ada dalam diri. Hanya tidak pernah kesampaian, mungkin disebabkan tiada kesungguhan untuk merealitikannya.
Selesai pemeriksaan ala-ala kastam oleh renjer Taman Negara, barulah dapat ke lubuk secara berperingkat kerana bot pancung hanya mampu memuatkan empat pemancing dalam satu perjalanan.
Disebabkan ramai pemancing yang masuk lebih awal, maka kumpulan kami terpaksa dipecahkan kepada dua lubuk. Separuh dihantar ke Lubuk Kaloi Atas dan separuh lagi ke Lubuk Kedah.
Selesai mendirikan khemah dan keperluannya, barulah umpan dilabuhkan dengan harapan menggunung. Naikkan kelah! Namun harapan saya segera merudum apabila batu ladung hidup saiz nombor 6 begitu mudah ditolak arus sungai.
Sedangkan itulah saiz paling besar yang dibawa. Tak sangka pulak arus sebegitu deras. Jika tidak bergolek pun, tali tangsi pula memerangkap dedaun yang hanyut di dasar sungai. Setiap kali tarik, ‘kelah daun’ yang naik.
Itu pun kalau naik kerana acapkali arus akan menghanyutkan umpan dan akhirnya tersangkut pada bangkar. Cukup 3-4 kali kehilangan batu ladung, swivel dan mata kail, impian untuk menaikkan kelah secara bottom, terus terkubur.
Harapan untuk mendapatkan kelah disandarkan pula dengan kaedah casting. Apabila menjelang petang, kami mencuba nasib meranduk air separuh lutut dan melakukan di kawasan jeram menggunakan sesudu.
Ia bukanlah satu kaedah yang lazim untuk memancing kelah, malah pada sesetengah pemancing ia dianggap sebagai taboo. Mana boleh meranduk sungai untuk casting kelah.
Ternyata ia bukanlah rukun memancing kelah kerana salah seorang daripada kami berjaya juga menaikkan seekor kelah dan lebih memeranjatkan, beliau hanya menggunakan sesudu atau spoon berstatus cap ayam! Spoon berharga kurang dari RM 5… bukannya spoon yang dianggap keramat atau rare.
Satu hari satu malam di Lubuk Kedah, kami berjaya menaikkan seekor kelah dan beberapa ekor ikan rong dan susur batang sebesar 3 jari.
Manakala satu grup bersebelahan kumpulan kami berkhemah turut berjaya menaikkan seekor kelah, hasil usaha mencari lubuk yang bersesuaian dengan menggunakan rakit buluh kepunyaan Orang Asli Bateq.
Selain beberapa ekor lampam sungai yang agak kasar juga saiznya. Ia sesuatu yang menarik juga kerana dikhabarkan agak sukar untuk menaikkan spesies tersebut di Kuala Koh.
Hari berikutnya, Lubuk Kedah bertukar rupa. Ia tidak lagi sebagaimana lubuk kelah yang didambakan. Sunyi dan damai, sebaliknya tidak ubah seperti kawasan perkelahan. Tambah pula yang datang membawa keluarga dan menjadikan lubuk kelah ini sebagai kawasan berkelah. Siap ada kelas si ibu mengajar anak-anak berenang di bawah tali pancing. Dan kelas itu berlarutan dari pagi sehinggalah ke petang.
Episod berkelah di Kuala Koh diserikan pula dengan hujan lebat malam kedua. Sekaligus menamatkan sisa-sisa harapan untuk menaikkan kelah lagi.
Hari ketiga, air sungai pula yang bertukar warna. Keruh umpama teh tarik. Sekeruh muka-muka kami juga barangkali. Yang jernih cuma wajah pengusaha bot pancung kerana tugasnya dapat diselesaikan lebih awal.
Dan secara peribadi pula, saya berharap ahli team Sentap yang baru melangkah ke hobi memancing ini tidak sentap sebagaimana nama kumpulan.
Kuala Koh masih ada kelah dan spesies-spesies lain. Kuala Koh masih lubuk memancing kelah… dan bukannya bertukar menjadi port berkelah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...