Faktor Penting Perlu Tahu Dalam Memancing Siakap!!

Share

 

Siakap boleh dipancing dengan pelbagai cara. Secara tradisi, siakap dipancing dengan menggunakan umpan hidup seperti udang, belanak ataupun jenjulung. Sementara kaedah yang paling berkesan ialah teknik apungan menggunakan pelampung.

 

 

Saya lebih menggemari peralatan pancing ringan untuk memburu siakap. Kekili siri sederhana (3000-4000) yang memuatkan tali 15-30 lb. Joran jenis fast action 10-20 lb dan perambut kejutan sekitar 30-50 lb. Perambut yang lebih kasar perlu digunakan kerana siakap berkemampuan memutuskan tali dengan hujung operkulumnya yang tajam umpama pisau.

 

Namun tidaklah perlu menggunakan perambut dawai meskipun ada juga yang menggunakannya dan berjaya juga menaikkan siakap.

 

Teknik perambut yang berkesan (teknik apungan) ialah dengan meletakkan batu ladung kecil pada tali perambut di antara umpan dan pelampung. Tujuannya adalah bagi mengelakkan umpan berenang di permukaan air. Lebih mengundang masalah jika umpan terutamanya belanak akan berenang menghampiri tali utama sekaligus menyebabkan tali utamanya berselirat dengan perambut dan mata kail.

 

 

Sementara jarak perambut bagi pelampung dan umpan bergantung kepada tahap kedalaman air. Sekiranya muara atau sungai itu dalam maka perambut perlu lebih panjang kerana sifat siakap gemar menyerang hendap mangsa dari bawah. Sekiranya umpan berada lebih bawah daripada paras siakap berlegar maka peluang strike juga rendah.

 

Sekiranya lebih meminati pancingan kaedah moden seperti mengilat dan menunda, waktu yang paling sesuai ialah sewaktu air surut atau ketika bunga pasang. Ketika ini peluang untuk strike adalah lebih tinggi kerana lazimnya mereka akan mendiami kawasan berstruktur pada waktu ini.

Maka carilah spot yang berstruktur seperti batu-batu, tiang-tiang jambatan, reba-reba kayu atau tukun-tukun kapal pecah.

 

 

Published by
Amang