Pari bukan satu nama asing bagi pemancing di negara kita. Boleh dijumpai di kebanyakan tempat di Semenanjung. Suka mendiami kawasan berpasir (kecuali jenis-jenis tertentu), mencari makanan di dasar muara sungai, pantai dan juga terdapat di kawasan sekitar batu karang.

 

Jaguh yang banyak menjadi mangsa pemancing ini lebih agresif pada waktu malam hari terutama mereka yang mengunakan umpan sotong cumit atau kurita dan udang hidup. Mungkin kerana ia senang memburu makanan pada waktu malam terutama sotong cumit dan kurita yang lebih banyak muncul ketika matahari mula terbenam.

 

 

Sebab kebanyakan pari yang saya temui di dasar pada waktu siang kelihatan sedang berehat dan buai mimpi ngeri yang bakal ditempuhinya pada malam hari. Namun ia tetap berselera pada waktu siang hari terutama semasa pertukaran arus terjadi. Yang pasti tiada waktu yang tepat masa ia mengisi perut dan boleh dikatakan sepanjang masa.

 

Kalau anda ingin memburu pari kelebihan adalah tetap pada malam hari. Memancing pari, anda harus rajin menunggu dan jangan cepat jemu, gunakan umpan udang atau sotong cumit yang lebih kurang sejangkal panjang jika kepingin ingin merasa keperitan bertarung jaguh terbang ini. Tapi kena tahan kesejukan angin laut dan berembun hingga ke pagi.

 

IKLAN

 

Kawasan berpasir atau benting adalah tempat yang terbaik menunggu spesies ini selain di kuala atau muara sungai. Perambut jangan terlalu pendek dan pasti umpan dilabuhkan pada dasar kerana pari tak mungkin menyambar di atas air.

 

Jangan tertipu dengan permainan pari yang selalu ‘offside’ iaitu suka membuat kejutan pada peringkat awal. Jika drag terlalu ketat kemungkinan ia rabut atau putus tali. Ramai yang gopoh apabila pancing dilarikan oleh pari, sibuk membetulkan drag yang longgar sehingga memberi ruang pari untuk membuat pendaratan cemas di dasar.

 

 

Begitu juga dengan pari yang makan memerap, tarikan dapat dirasakan apabila pemancing hendak menggulung tali. Dalam situasi begini biasanya mata kail sudah tertelan jauh ke dalam perut dan sukar untuk pari melepaskan diri.

 

Seorang rakan memancing saya pernah menaikan pari seberat 10kg tidak sampai 5 minit. Mungkin air tidak berapa dalam lebih kurang 15 meter, tapi beliau langsung tidak memberi peluang dari membalas pada larian pertama dan terus mengepam tanpa rasa ragu-ragu dengan Daiwa Sealine berkekuatan tali Berkley 20Ib.

 

 

Pari benar-benar tertewas atau letih apabila ia timbul di permukaan dengan keadaan terbalik. Namun untuk mengelakkan kehilangan pada saat-saat akhir, pencangkuk atau gaft adalah alatan terakhir untuk menaikan piring terbang ini kerana pada amnya ia masih ada lagi stok tenaga yang bakal digunakan pada saat akhir.

 

Kalau tiada alat ini, memegang bahagian di kedua-dua belah mata sebagai alternatif. Tapi teknik ini hanya untuk pemancing yang berpengalaman dan berani ambil risiko. Badan pari yang lembut terutama bahagian sebelah bawah badan adalah sesuai dicangkuk selain dari bahagian mulut dan mata.

 

 

Memperolehi pari yang besar di awal trip memancing akan mendatangkan masalah terutama apabila kotak ikan yang dibawa terlalu kecil untuk dimuatkan. Trip memancing dengan bot nelayan mungkin tidak menjadi masalah. Kalau nak simpan di kotak yang kecil terpaksalah dipotong.

(kredit: Pok Muds)