Fahami Konsep Pancing Tangkap & Lepas Yang Sebenar

Share

 

Selain garis panduan yang dinyatakan di bawah ini, sebelum anda berhasrat melaksanakan konsep tangkap dan lepas, sila pastikan juga set dan peralatan memancing anda sesuai dan sepadan dengan saiz ikan dan lokasi padang pancing.

 

Garis panduan mendaratkan tangkapan:

 

Daratkan ikan dengan lemah lembut dan sepantas yang boleh. Ikan tidak dipaksa naik dengan kasar tetapi tidak juga memanjangkan tempoh pertarungan.

 

Tidak perlu mengalihkan ikan tersebut keluar dari air. Ini adalah cara terbaik kerana apa-apa kecederaan boleh berlaku apabila ikan berada di luar air.

 

 

Elakkan ikan jatuh terhempas ke tanah, perut bot meskipun di dalam air yang cetek. Perkara ini amat penting bagi mengelak kecederaan dalam organ ikan.

 

Gunalah tangguk atau sauk (landing net) yang sesuai dan mempunyai jaring yang lembut atau jaring yang tidak mempunyai knot seperti jaring silikon yang mungkin merosakkan sisik dan insang ikan.

 

 

Garis panduan menangani tangkapan:

 

Kekalkan ikan terus berada di dalam air. Perkara ini mungkin sukar untuk dilaksanakan kerana kita sudah terbiasa mendaratkan ikan.

 

Bagi ikan yang besar peganglah dengan kedua-dua tangan dengan lembut iaitu sebelah tangan mengampu di bawah perut manakala sebelah tangan lagi memegang di bahagian ekor.

 

 

Pastikan jari jemari tidak menusuk ke bahagian insang atau mata ikan. Selain ia boleh mencederakan ikan, berkemungkinan juga jari kita sendiri yang terluka.

 

Jangan memicit mana-mana bahagian badan ikan. Kesilapan ini sering dilakukan apabila kita memegang ikan untuk bergambar atau dilepaskan kembali.

 

 

Garis panduan menanggalkan mata kail:

 

Gunalah forsep atau playar bermuncung panjang bagi mengeluarkan mata kail dari mulut ikan.

 

Keluarkan mata kail secepat mungkin dan pastikan ikan sentiasa berada di dalam air.

 

 

Sekiranya ikan menelan mata kail agak jauh ke dalam mulut, potong terus tali perambut dan lepaskan ikan itu dengan serta merta.

 

Elakkan dari mengguna mata kail stainless steel kerana mata kail tersebut tidak dilarutkan oleh asid di dalam perut ikan.

 

 

Sekiranya ikan tercedera dengan parah atau berlaku pendarahan pada insangnya, hayat ikan tersebut mungkin tidak panjang maka adalah lebih baik dibawa pulang untuk menjadi hidangan seisi keluarga.

Published by
Amang