Cara pancingan ikan aya atau tongkol sememangnya unik. Ia sangat berbeza dengan pancingan ikan pelagik lain. Teknik ini diamalkan sekian lama oleh para nelayan dan kini dipraktikan secara meluas oleh para pemancing.
Memancing ikan aya dengan penggunaan perambut sabiki atau apollo dan diaplikasi secara tundaan vesel laut, atau lebih dikenali sebagai mengolok ikan aya di Pantai Timur, merupakan satu kaedah yang diguna pakai bagi memancing ikan aya dalam kuantiti yang banyak.
Keadah ini turut menjadi kelaziman apabila memancing di sekitar pelantar minyak di perairan pantai timur, antara acara awal yang dilakukan adalah mencari umpan dengan kaedah menunda atau trolling sabiki (apollo) yang biasanya dibuat sendiri oleh tekong atau awak-awak.
Apollo umpan yang berwarna-warni diikat ke mata kail biasanya 40-50 bentuk mata kail digunakan. Jarak di antara satu perambut ke satu perambut yang lain sepanjang 30-50cm. Bulu apollo tersebut diperbuat daripada tali rafia biasanya berwarna hijau yang diracik halus.
Awak-awak akan menurunkan set mengolok ikan aya sepanjang 15-20meter ini tatkala bot akan menghampiri kawasan unjam. Setelah mendapat isyarat daripada tekong, perambut mengolok ini dilepaskan di belakang bot sama ada di sebelah kanan atau kiri bot dan kadangkala mereka mengolok di kedua-dua sisi bot.
Ikan aya akan menyambar bulu sabiki yang kelihatan umpama ikan bilis yang diseret di permukaan laut. Apabila terasa berat, awak-awak akan meminta tekong memperlahankan bot. 2 hingga 3 orang diperlukan untuk menarik 30-40 ekor ikan aya yang tersangkut pada mata kail.
Ikan-ikan aya yang menggelepar di lantai bot dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam bakul. Apabila bakul penuh, ikan dicurahkan ke dalam tong ais sebagai bekalan umpan sepanjang sesi memancing. Isi ikan aya yang mengandungi banyak darah dan kuat baunya antara penyebab kenapa ia begitu cepat ‘memanggil’ penghuni dasaran.
Jika tidak untuk mencari umpan bagi sesi memancing, teknik mengolok ini turut dilakukan oleh nelayan bagi menangkap ikan aya.