Fahami konsep CnR yang betul – part 2!!

Share

 

Selain garis panduan yang dinyatakan di bawah ini, sebelum anda berhasrat melaksanakan konsep tangkap dan lepas, sila pastikan juga set dan peralatan memancing anda sesuai dan sepadan dengan saiz ikan dan lokasi padang pancing.

 

Garis panduan mendaratkan tangkapan

 

➡ Daratkan ikan dengan lemah lembut dan sepantas yang boleh.

➡ Tidak perlu mengalihkan ikan tersebut keluar dari air.

➡ Elakkan ikan jatuh terhempas ke tanah, perut bot meskipun di dalam air yang cetek.

➡ Gunalah tangguk atau sauk (landing net) yang sesuai dan mempunyai jaring yang lembut atau jaring yang tidak mempunyai knot seperti jaring silikon yang mungkin merosakkan sisik dan insang ikan.

 

 

Garis panduan menangani tangkapan

 

➡ Kekalkan ikan terus berada di dalam air.

➡ Bagi ikan yang besar peganglah dengan kedua-dua tangan dengan lembut iaitu sebelah tangan mengampu di bawah perut manakala sebelah tangan lagi memegang di bahagian ekor.

➡ Pastikan jari jemari tidak menusuk ke bahagian insang atau mata ikan.

➡ Jangan memicit mana-mana bahagian badan ikan.

 

 

 

Garis panduan menanggalkan mata kail

 

➡ Gunalah forsep atau playar bermuncung panjang bagi mengeluarkan mata kail dari mulut ikan.

➡ Keluarkan mata kail secepat mungkin dan pastikan ikan sentiasa berada di dalam air.

➡ Sekiranya ikan menelan mata kail agak jauh ke dalam mulut, potong terus tali perambut dan lepaskan ikan itu dengan serta merta.

➡ Elakkan dari mengguna mata kail stainless steel kerana mata kail tersebut tidak dilarutkan oleh asid di dalam perut ikan.

➡ Sekiranya ikan tercedera dengan parah atau berlaku pendarahan pada insangnya, hayat ikan tersebut mungkin tidak panjang maka adalah lebih baik dibawa pulang untuk menjadi hidangan seisi keluarga.

 

 

 

Garis panduan merawat pulih tangkapan

 

➡ Ikan hendaklah sentiasa berada di dalam air sepanjang masa. Sekiranya untuk mengambil gambar foto, pastikan jurufoto telah bersiap sedia dan lakukan dengan pantas agar ikan tersebut dengan segera diletakkan semula ke dalam air.

➡ Setelah bertarung habis-habisan, ikan akan menjadi sangat letih dan tidak berupaya. Oleh itu ikan perlu dirawat pulih terlebih dahulu sebelum terus dilepaskan ke dalam air.

➡ Langkah pertama pastikan kepala ikan tersebut mengarah ke hulu sungai, pilihlah suatu sudut atau kawasan yang berarus perlahan (manakala di tasik atau lautan, arus bukanlah suatu faktor masalah bagi proses merawat pulih tangkapan).

➡ Gerakkan ikan secara perlahan-lahan dengan menyorong ia ke depan dan undur semula ke belakang berulang kali sehingga kelihatan bahagian insangnya mula membuka dan menutup sehingga stabil.

➡ Bila ikan tersebut semakin pulih dan stabil dan cuba untuk memulakan renangan, maka biarkan ia terus berenang dengan sendirinya dari tangan kita.

➡ Ikan yang besar biasanya mengambil masa untuk kembali pulih, maka ulangi proses tersebut berkali-kali sehingga ia pulih seperti sediakala.

 

 

Published by
Amang