Kebiasaan orang mencari sotong menggunakan kaedah mencandat di laut dan menunggu bulan yang sesuai untuk memburunya.
Berbeza pula bagi yang ingin mencari sotong mengabang (big fin reef squid). Sotong mengabang boleh didapati sepanjang masa, hanya berpandukan kawasan habitatnya dan pasang surut air laut.
Bagi seorang pengilat gewang, sotong mengabang adalah satu lagi cabang yang sangat menguja untuk dicuba.
Teknik mengilat juga seakan-akan sama dengan mengilat ikan sebarau atau ikan raja (peacock bass).
Gewangnya pula kini sangat berevolusi dari dahulu mahu juga peralatan untuk mengilat.
Dengan teknologi moden gewang yang raut dari kayu beralih menggunakan plastik yang lebih tahan kekuatannya.
Gewang untuk mengilat lebih dikenali sebagai squid jig. Dari pelbagai saiz seperti 1.8, 2.0, 2.5, 3.0, 3.5 dan 4.0 . Berat squid jig bergantung pada saiznya.
Ads
Semakin besar saiznya semakin berat gewang squid jig. Begitu juga dengan warna gewang squid jig yang sangat menarik dan banyak pilihan.
Penggunaan joran yang panjang adalah satu kelebihan. Ini kerana pengilat dapat melontar gewang squid jig lebih jauh dan menguasai lebih kawasan untuk dicuba.
Bagi mesin pancing bersiri 2000 atau 3000 sudah memadai dan dimuatkan dengan tali utama berkekuatan 10lbs.
Namun hujung tali utama mesti disambung dengan tali perambut sepanjang dua kaki yang berkekuatan 12lbs atau 15lbs untuk mengelakkan geseran pada batu.
Ads
Sotong Mengabang boleh didapati di kawasan berbatu, dasar laut berumpai dan benteng pemecah ombak yang menjadi kawasan habitatnya.
Kajian yang dijalankan di luar negara sotong Mengabang jangka hayatnya sekitar 315 hari dan mempunyai tumbesaran yang sangat singkat.
Mampu mencapai 600g dalam tempoh 120 hari dan berat yang pernah dicatatkan 3.4 kg seekor (315 hari ).
Negeri Terengganu, Kelantan dan Johor mempunyai potensi besar untuk mengilat sotong mengabang di negara kita kerana memiliki pantai berbatu, benteng pemecah ombak dan air laut yang jernih.
Ads
Pengeluar-pengeluar gewang tersohor dunia seperti Duel, Shimano, Yamashita, Megabass sentiasa berusaha mengeluarkan squid jig yang paling efektif untuk digunakan pengilat dengan konsep-konsep mereka.
Mengilat sotong mengabang memang sangat popular di negara Jepun yang dikenali sebagai eging.
Sehubungan dengan itu, Rasengan Limited berusaha memperkenalkan satu lagi cabang baru dalam arena mengilat di negara kita selain sebarau, ikan Raja, ikan bulan dan toman.
Mereka yang selalu mengilat sotong mengabang boleh berkongsi gambar dengan hasilnya di halaman Facebook page atas nama ‘BigFin Channel’ yang ditubuhkan oleh Rasengan Limited, Jt Anglers dan Juara Tackle.
Bagi yang belum mengilat sotong mengabang pastikan anda mencubanya, ia mengujakan dan sedap dimakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kami terpaksa menunggu hingga tengah malam kerana arus dijangka bergerak sederhana. Mengisi masa terluang layan dahulu getuan ikan remong, anak kerapu dan anak merah tanda berumpankan sotong pasar. Henjutan semua jenis ikan yang menceriakan pemancing apabila ada pergerakan pada hujung joran.
Aktiviti jigging ketika ini mudah dipraktikkan kerana saiz jig seberat 40g dah mencecah dasar yang berkedalaman 180 kaki. Namun bila asyik melayan ikan lauk, ramai yang ingin saiz yang lebih gadang.
Usaha berterusan pemancing yang berjaga separuh malam membuahkan hasil apabila sambaran yang dihajati. Ego pemancing pakai kekili elektrik mana seronok layan ikan kecil. Bila dah kasar sambaran maka bertungkus lumus pemancing menahan asakan larian kencang ikan yang tidak mahu berhenti.
Maka kecohlah keadaan bila ikan berpusing di serata bahagian bot. Mana yang leka mengarau tali pancing bagi memberi laluan kepada pemancing yang sedang bertarung lalu sama-sama turut terjebak.
Dari seorang yang terima sambaran, pemancing sebelah, di kiri dan kanan turut kena tempias tali pancing dikaut bersama. Terlalu banyak bersilang sesame sendiri maka peluang untuk memenangi pertarungan adalah tipis.
Pecutan ikan mudah memutuskan perambut 80lb bila bergesel dengan tali sulam. Ikan putus dan masa untuk meleraikan simpulan tali menjadi adegan seterusnya di bawah pancaran lampu api boreng terang benderang.
Sambaran kasar kedua pula secara mengejut hampir membawa bersama kekili elektrik apabila rod holder tertanggal. Tali pengikat jadi penyelamat. Pertarungan semakin rancak apabila sekali lagi beberapa tali pancing orang sebelah turut dikaut bersama.
Seperti babak pertama kisahnya berakhir sedemikian, menggigit jari lagi. Sekali lagi tali tersimpul diurai beramai-ramai di atas bot. Mujurlah trip kami tekong dan awak-awak banyak membantu. Tugas menjadi lebih mudah.
Hampir separuh malam kami dikejutkan dengan banyak sambaran padu sehingga banyak kes rod holder tertanggal. Nasib tiada kes joran patah. Namun masih belum berjaya menewaskan spesies misteri yang sering membuat sambaran mengejut.
Dalam sejarah memancing di kawasan pelantar minyak, inilah kali pertama merasai cuaca laut yang amat baik sepanjang masa. Deruan angin sederhana berbahasa mendayu, tiada alun dan tidak merasai titisan air hujan sepanjang 4 hari di laut yang terik sekali.
Seminggu selepas trip, kami dikhabarkan banyak bot terpaksa berpatah balik gara-gara ribut yang mengganas. Hanya selang beberapa hari kami balik, angin bertukar wajah dari ceria dan mesra pengunjung kepada ganas dan tidak bersimpati kepada pengunjung terutama yang berdegil untuk mencabar kuasa alam.
Fenomena alam yang di luar percaturan kita. Terima seadanya walaupun perit ditelan. Buat yang terpaksa berputih mata melihat ombak menggulung di tepian pantai tentu hiba kerana perancangan dan kos yang dilaburkan amat besar dalam waktu penantian cukup lama.
Sekarang ini sudah banyak terjual pelbagai jenis assist hook di kedai-kedai pancing. Malah orang persendirian turut menjadikan ia sebagai kerjaya tambahan untuk memperoleh duit poket.
Untuk menghasilkan assist ini tidaklah sesukar mana. Sesiapa pun boleh hasilkannya dengan syarat fokus dan rajin.
Malah dengan menghasilkan sendiri assist hook ini anda dapat menilai sendiri di mana kelebihan dan kekuatannya berbanding assist yang terdapat di pasaran.
Barang keperluan:
Kevlar
Mata kail
Solid ring
Split ring
Shrink tube
Langkah 1
Masukkan hujung tali kevlar ke dalam lubang cincin mata kail.
Langkah 2
Masukkan pula split ring ke hujung tali melalui bahagian hujung tali itu juga.
Langkah 3
Masukkan kembali hujung tali kevlar ke lubang cincin mata kail. Pastikan lubang cincin mata kail agak besar.
Langkah 4
Buat ukuran sepanjang mana kevlar dengan siaz jig sebelum memotong tali kevlar. Sebaiknya panjang kevlar adalah 3/4 daripada panjang jig.
Langkah 5
Buatkan satu simpulan biasa atau simpulan mati pada kedua-dua hujung tali kevlar. Namun jangan dimatikan terus simpulan tersebut.
Langkah 6
Masukkan hujung mata kail ke dalam simpulan yang telah dihasilkan itu.
Langkah 7
Ketatkan simpulan atau ikatan yang terhasil pada teras mata kail dengan sekuat yang mampu.
Langkah 8
Letakkan gam pada ikatan dan potong sedikit lebihan simpulan (gam hanyalah untuk proses tambahan bagi menguatkan lagi ikatan).
Langkah 9
Masukkan shrink tube menutupi simpulan dan bakar dengan lighter untuk mengecutkannya. Maka siaplah satu assist hook untuk digunakan.
Kebiasaannya kita mengimpikan perjalanan dan hasil trip yang memuaskan walhal kita tahu memancing adalah satu percaturan yang kesudahannya tidak diketahui.
Rezeki itu semuanya datang dari Yang Maha Esa dan kita hanya jadi perancang sesuatu trip.
Telah berpuluh trip saya terlibat dengan hobi ini dan hanya sebahagian dianggap berjaya dan sebahagian lagi kecundang dengan hasil yang tidak memuaskan atau perjalanan trip yang menyeksakan.
Lokasi Kumpau 1 – Sungai Selangor
Trip 2 hari 1 malam sememangnya terlalu singkat untuk mencari spesies sebarau yang di idam-idamkan. Namun jika faktor cuaca dan air menyebelahi tidak mustahil trip berhasil.
Melalui perjalanan 90 kilometer dari rumah dengan membawa segala kelengkapan berkhemah kami memulakan aktiviti memancing setelah segalanya disiapkan, namun teknik casting di kawasan sungai menghampakan.
Air yang keruh dan cetek mengurangkan potensi mencari spesies pemangsa kerana gewang sukar dikesan oleh spesies sebarau selain air yang cetek membuatkan ikan lebih peka dengan kehadiran manusia.
Alternatif kami untuk bergerak ke hulu lagi juga hanya mendatangkan hasil yang menghampakan.
Pelbagai gewang digunakan namun sedikit cuitan pun tidak dibalas. Hanya teknik pancingan dasar sedikit sebanyak pengubat duka apabila 4 kilogram ikan keli pelbagai saiz berjaya dibawa pulang.
Lokasi Kumpau 2 – Sungai Bentong, Pahang
Dengan menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama, sedikit sebanyak membataskan peralatan yang boleh dibawa namun memberi kelebihan untuk kami melalui denai-denai kecil yang tidak boleh diharungi oleh kenderaan beroda empat.
Apabila matahari memuncak, kami tiba di lokasi perkhemahan setelah melalui perjalanan lebih kurang 120 kilometer dari Kuala Lumpur.
Khemah terus dibina dan sesi memancing terus dimulakan di sekitar tapak perkhemahan.
Teknik casting tidak membuahkan hasil namun ahli lain yang menggunakan teknik dasar berjaya mendaratkan beberapa ekor lampam sungai.
Pada sebelah petang saya berjalan menuju ke hulu dan cuba melontar gewang di kawasan jeram berbatu namun tiada yang sudi menyambar gewang.
Cuaca kelihatan agak suram menandakan hujan mungkin turun bila-bila masa.
Tidak lama kemudian, hujan mulai turun. Paras air sungai perlahan-lahan merapati kaki khemah kami.
Apabila air semakin meninggi, barulah kami sedar kesilapan kami kerana mendirikan khemah terlalu hampir dengan air.
Pantas, kata sepakat diambil dan kami terus mengemas khemah dalam kegelapan malam menandakan kami terpaksa menamatkan trip ini lebih awal.
Lokasi Kumpau 3 – Sungai Tekai, Pahang
Mendengar cerita-cerita daripada mulut Zahar, anak peneroka Felda Kota Gelanggi telah membuatkan kami teruja untuk meneroka spot ini.
Menurut Zahar, ikan kelah, sebarau, tengas dan lain-lain banyak mendominasi sungai pergunungan ini.
Cuma cabaran untuk meneroka tempat ini adalah dengan hanya menggunakan motosikal kerana ia perlu melalui denai yang mungkin telah lama tidak dilalui.
Satu perbincangan rapi antara ahli telah menetapkan satu tarikh cuti umum untuk membuat trip 3 hari 2 malam ke sini.
Sebuah lori disewa dari Kuala Lumpur untuk membawa motosikal dengan bayaran RM100 bagi sebuah motosikal untuk perjalanan balik.
Setelah lori tiba di rumah Zahar, kami terus menurunkan motosikal satu persatu dan memulakan perjalanan yang dianggarkan 30 kilometer ke dalam hutan.
Setelah melalui perjalanan lebih kurang 2 jam merentas 2 batang sungai kami terpaksa melalui satu denai yang agak tinggi.
Ketika itu barulah kami sedar yang kapcai bandar sebenarnya tidak sesuai dibawa ke sini!
Sepatutnya ia perlu diubahsuai, terutama menukar tayar kepada tayar scrambler. Tetapi majoriti di antara kami menggunakan tayar highway.
Hanya seorang sahaja di antara kami yang menggunakan motor scrambler, itu pun bukan betul-betul tayar berbunga scrambler.
Zahar menyedapkan hati kami semua, sekarang musim panas dan jarang berlakunya hujan.
Setelah hampir 4 jam perjalanan, tekaan kami meleset dan apa yang dirisaukan adalah berlakunya hujan renyai-renyai.
Sebuah motosikal telah ditinggalkan di tengah perjalanan akibat kehabisan klac. Tanpa membuang masa, kami mendirikan khemah agak jauh dari sungai semua ahli trip terus berehat di kawasan khemah kerana kepenatan.
Pada sebelah malam, sesi pancingan dasar menemui kegagalan hujan turun dengan lebat, sekali gus kerana air sungai menjadi keruh dan deras akibat hujan.
Waktu ini juga, kami diuji apabila nasi yang dimasak mentah. Bukan sekali tetapi sepanjang berada di lubuk ini kami memakan nasi mentah.
Kami keluar pada jam 5 petang hari keesokan harinya setelah mendapati tiada potensi langsung mendaratkan sebarang spesies di sini.
Perjalanan keluar dari lubuk begitu menyesakkan kerana jalan balak telah berselut.
Alur air yang turun di sepanjang jalan membuatkan trek licin dan telah mengundang padah buat kami.
Tayar motosikal kami sering kali tersasar dari laluannya yang telah menyebabkan kami jatuh tergolek. Cuaca yang semakin gelap menambahkan lagi seksa perjalanan kami.
Sebuah demi sebuah motosikal ditolak ke atas bukit bagi meloloskan halangan. Dengan pelbagai halangan dan cabaran sehingga terpaksa mencari anak sungai untuk
membasahkan tekak, sekitar jam 9 malam barulah kami dapat keluar ke laluan utama menjadikan perjalanan keluar dari lubuk memakan masa 4 Jam!
Kerana kepenatan kami mengambil keputusan untuk bermalam di salah satu sungai utama dan akan menyambung perjalanan pulang pada keesokan harinya.
Dalam kepenatan, kami sempat juga memancing dasar. Hasilnya barulah kami dapat merasai tarikan anak-anak tengas menggunakan umpan sawit.
Trip memancing tidaklah lama, kerana kami semua tertidur awal gara-gara kepenatan menolak motosikal siang tadi.
Keesokan harinya, kami keluar dari kawasan ini dengan 1001 kenangan yang tidak akan dilupakan.
Apabila sampai di rumah Zahar, pelbagai cerita sepanjang perjalanan trip dikongsi. Ada ahli yang diganggu dan melihat benda ghaib di khemah kami bermalam.
Rupanya ada makhluk ghaib menemani kami tidur di sepanjang trip. Mujurlah rakan tersebut tidak berbuat bising menceritakan kepada rakan yang lain ketika di dalam hutan, kalau tidak, sudah tentu lain macam jadinya.
Namun bagi kaki pancing, pelbagai cabaran malah walau kumpau berdarah pun, tak sesekali melemahkan semangat untuk meneruskan aktiviti hanyir ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...