Jenggo Club telah mengadakan satu program hujung minggu untuk memburu jenggo di sungai ini. Kata sepakat diambil dengan memilih jeti Pak Musa Batu 5, Teluk Intan sebagai jeti pilihan. Ini kerana ia berdekatan dengan R&R Batu 5, Teluk Intan dan berada di sebelah jambatan ke Sitiawan.
Bagi melancarkan acara, jawatankuasa penganjur Jenggo Club yang telah ditugaskan telah menyusun bot mengikut senarai nama penyertaan. Menariknya lagi tentang pancingan di sini adalah kadar sewa bot di sini mengikut saiz enjin berserta minyak dan harga yang dikenakan adalah berpatutan.
Untuk trip ini kami menggunakan 14 buah bot enjin 2 hp, 4 buah bot enjin 5 hp, 3 bot fiber besar dengan enjin 5hp dan sebuah bot besar beserta tekong.
Sebelum bermula, sedikit taklimat telah disampaikan, terutama peraturan dan juga aspek keselamatan serta dan bacaan doa agar segala-galanya berjalan lancar. Program bermula dari pukul 8.30 pagi dan masing-masing menuju ke lokasi pilihan mereka.
Tepat jam 5.30 petang semua peserta berkumpul semula ke jeti dan merekodkan hasil tangkapan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan Insyaallah di masa akan datang akan ada penganjuran yang lebih besar untuk ahli-ahli Jenggo Club. Semoga berjumpa lagi di event akan datang.