Siapa kata kat muara sungai tak boleh jigging? Muara sungai Kong Kong sememangnya sudah terkenal dengan `siakap amoinya’. Untuk memancing di sini biasanya teknik casting menggunakan umpan udang hidup dipraktikkan untuk memikatnya. Akan tetapi ada satu lagi teknik pancingan muara yang masih lagi belum diamalkan secara serius.
Teknik casting micro atau micro jigging. Kaedah ini telah diguna pakai oleh beberapa pemancing akan tetapi ia tidak diperluaskan atau diketengahkan secara meluas. Ia berkemungkinan disebabkan kurang sambutan dari kalangan pemancing muara atau pemancing itu sendiri kurang mahir akan bacaan jadual pasang surut di muara.
Sekumpulan pemancing dari Ungkalz Angler dan Sporting Angler telah menganjurkan satu event suka-suka. Ia merupakan event yang julung-julung kalinya diadakan di muara sungai Kong kong, Pasir Gudang.
Idea asal dari beberapa kaki jigging tegar telah dilaksanakan dan dapat mengumpul lebih kurang 30 jigger dengan kapasiti 6 buah bot. Misi mempromosi sukan jigging kepada pemancing setempat telah membuahkan hasil walaupun masih ada yg kurang yakin akan teknik ini.
Harapan dari penganjuran ini, ia akan memberi impak yang positif kepada pengusaha-pengusaha bot dan nelayan setempat dengan kebanjiran para jigger dari seluruh tanah air yang ingin mencuba teknik jigging di perairan muara Sungai Kong Kong.
(Oleh: Mahfiz Ungkalz)