Apa yang kita ada pada hari ini, amatlah wajar kita hargai dan pastikan ia terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Janganlah kerana kerakusan kita memancing hingga habis limit, anak cucu kita tidak lagi kenal rupa bentuk ikan yang ada di perairan kita.
Adalah sesuatu yang amat malang, jika suatu hari nanti, seluruh perairan kita bukan sahaja dipenuhi ikan pendatang tetapi juga sampah!
SILA AMALKAN TANGKAP DAN LEPAS
Sila cuba mendaratkan ikan andasecepat yang mungkin. Ini mengelakkan dari paras asid lactic dalam ikan menjadi terlalu tinggi dan mungkin membunuhnya.
Gunakan tangguk, bukan cangkuk (gaff). Tangguk perlulah dari bahan jaring yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan.
Basahkan tangan anda sebelum anda memegang ikan. Ini mengelakkan dari lendir ikan dikikiskan. Lendir ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!
Jika boleh biarkan ikan didalam air ketika anda menanggalkan mata kail.
Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia.
Jika anda ingin mengambil gambar ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.
Jangan sekali-kali melepaskan ikan pendatang balik ke dalam air (kecuali anda memancing di kolam berbayar).
IKLAN
SEKITAR KEBERSIHAN
Bawa balik apa-apa barang yang andabawa memancing. Jangan tinggalkan atau buang sampah merata-rata.
Bila memancing, bawa beg sampah yang besar, supaya sampah lebih senang dibawa pulang. Kutip sampah orang lain juga. Moga-moga anda menjadi contoh kepada orang lain!
Tumpukan perhatian kepada tali pancing lama, beg-beg plastik dan batu-batu ladung kecil. bahan-bahan ini telah menjejaskan kehidupan seperti burung dan ikan. Bawa pulang bahan-bahan ini.
Tin kosong serta beg plastik yang ditinggalkan mungkin akan menakung air hujan dan justeru menjadi tempat pembiakan nyamuk. Bawanya ia pulang!
IKLAN
MENJAGA KUALITI PERAIRAN
IKLAN
Jangan kotorkan sungai atau tasik yanganda lawati.
Kalau tiada tandas untuk andamembuang air, jangan lakukannya di dalam atau berdekatan dengan perairan. Jika anda ingin membuang air besar, gali sebuah lubang, jauh dari perairan, kemudian kambuskan semula.
Di perairan seperti kolam atau lombong kecil, jangan gunakan terlalu banyak umpan saham atau rasuah, kerana ini akan menjejaskan kualiti air.
Jangan buang apa-apa bahan kimia (seperti sabun, minyak, atau pun air tin berkabonat ke dalam perairan atau pun berhampiran dengannya).
Jangan guna terlalu banyak racun serangga (insecticide spray) dan bahan seperti serbuk belerang. Bahan-bahan ini mungkin memasuki perairan.
MENJAGA PERSEKITARAN DAN TUMBUHAN
Cuba elakkan memotong tumbuhan di sekitar tempat anda memancing. Tumbuhan ini adalah rumah bagi serangga, suatu sumber utama makanan ikan.
Jika anda ingin mendirikan khemah,gunakan tapak yang sedia ada. Cuba elakkan membuka tapak khemah yang baru. Tanah yang terdedah akan mengakibatkan lumpur memasuki perairan bila hujan lebat. Ini menjejaskan kehidupan air, termasuk ikan.
Jangan membuat unggun api, kecuali perlu. Dapur khemah yang menguunakan gas atau sebagainya adalah lebih mesra alam. Jika anda terpaksa membuat unggun, pastikan ia tidak merebak ke pokok atau tumbuhan berdekatan. Pastikan unggun dipadamkan sebelum anda meninggalkan tempat tersebut.
Di tapak khemah atau bila menjelajah hutan, jangan biarkan anak-anak pokok yang ditebang, meninggalkan kayu terpacak dari tanah. Ia ibarat perangkap samar yang mungkin menembusi badan bila anda jatuh ke tanah. Potong rata pada pangkalnya, supaya tiada kayu tajam menonjol.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pancingan di perairan pelantar minyak merupakan satu trip memancing yang agak ekstrem dan memerlukan bukan sahaja tenaga malah perbelanjaan yang besar juga.
Justeru perlu ada perancangan rapi sebelum bertarung dengan monster-monster di pelantar minyak.
Sekiranya kewangan kurang mengizinkan untuk membayar kos trip secara langsung, maka perlulah membuat tabungan sekurang-kurangnya setahun awal daripada tarikh bertolak.
Kos trip dalam anggaran RM800-RM1000 (sewa bot). Selain itu perlu sediakan dalam RM500 lagi bagi menampungkan kos pengangkutan, makan minum serta peningkatan kos trip sekiranya ada ahli yang menarik diri.
Wajib ada satu kekili elektrik atau mesin ‘bangla’ yang lengkap dan sempurna. Sekiranya belum ada maka kenalah berusaha mendapatkannya (bukan murah harganya) atau meminjam daripada kawan-kawan.
Set kekili elektrik wajib ada sekiranya pancingan dasar merupakan fokus utama trip.
Selain itu set jigging (kekili, joran dan jig) juga perlu dibawa. Jika berhasrat untuk main GT maka set jigging perlulah yang sepadan. Begitu juga kalau berhasrat nak main popping.
Yang pasti satu set ringan untuk kegunaan apollo umpan hidup atau mencandat sotong wajib di bawa.
Perlu buat persiapan rapi. Jika pergi dengan peralatan tidak sesuai dan ala kadar, ada baiknya tidak payah pergi kerana mungkin anda akan buang duit, letih badan dan rugi masa.
Stamina dan kesihatan badan juga perlu dijaga. Elakkan demam atau sakit sebelum bertolak.
Bagi kaki jigging mereka ada kalanya bersenam di gym untuk membentuk ketahanan otot tangan, kaki dan badan.
Bersedia untuk menukar sistem tidur kerana aktiviti memancing di pelantar minyak lebih aktif pada waktu malam.
Sementara waktu siang bot lebih banyak bergerak untuk bertukar lubuk atau sebagainya. Jadi, alangkah ruginya jika kita tidur ketika pemancing lain bergasak dengan ikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Biasanya dalam sesuatu trip memancing, kita jarang terlupa dalam penyediaan perkara utama. Ada kalanya kita bersedia cukup lama hal ini. Tetapi terlupa dengan perkara kecil yang sebenarnya mampu memberi manfaat besar kepada pemancing antara persediaan kecil yang sebenarnya perlu diberi perhatian adalah penyediaan ubat-ubatan. Ramai yang lupa akan hal ini dan kerap kali hanya teringat apabila sudah tiba di lokasi.
Paling kerap berlaku di kalangan kaki pancing adalah pening kepala akibat perubahan cuaca, panas terik dan sejuk, luka kecil akibat gigitan serangga, terkena tusukan mata kail. Kerap mood memancing hilang gara-gara pening atau sakit kepala, sedangkan ketika itu mungkin ikan sedang galak memakan umpan.
Oleh itu, sediakanlah ubat-ubatan yang difikirkan perlu seperti minyak angin, ubat paracetamol, ubat luka, plaster luka, balm atau semburan penghalau nyamuk dan sebagainya.
Setidak-tidaknya dengan persediaan sebegini, ia akan membantu anda ketika dalam kesusahan dan sekurang-kurangnya mood memancing anda akan terus ’membara’ sehingga selesai trip. Sila simpan semua ubat ini dalam bekas kedap udara dan air.
Banyak Minum Air
Banyakkan minum air kosong, terutama cuaca panas. Begitu juga pada waktu musim jerebu sekarang ni. Pastikan bawa bekalan air minum secukupnya.
Baju Hujan
Jika memancing pada musim hujan, ada baiknya anda mengenakan baju hujan dan juga jaket keselamatan sebagai perlindungan keselamatan.
Rehat & Rawat
Jika anda berasa pening, ada baiknya selepas anda memakan ubat, berehatlah di tempat yang teduh dan lelapkan mata seketika.
Jus Minuman
Bawa makanan ringan seperti asam atau air berunsur masam seperti jus oren, air asam jawa ketika pergi memancing. Jus oren mampu meneutralkan kandungan PH badan, jika anda berasa mual, air liur terasa pahit.
Merokok
Kaki pancing kebanyakannya merokok. Sila kurangkan atau elak dari merokok secara berterusan, jika ada tanda-tanda sakit tekak, kerana ia akan memudaratkan kesihatan anda.
Bahang
Jangan terlalu lama terdedah di kawasan terbuka, terutama jika casting. Sebaiknya, pilih lokasi yang agak redup bagi mengelakkan kepanasan melampau.
Embun
Elakkan dari terkena embun terlalu lama jika memancing hingga larut malam. Kenakan pakaian yang sesuai dan tebal bagi menghindari udara sejuk. Minum minuman panas amatlah digalakkan.
Playar
Gunakan alat bantuan seperti playar untuk membuka mata kail dari mulut ikan. Jangan sesekali menggunakan tangan, terutama jika berjaya menaikkan ikan yang memiliki sengat dan duri seperti keli, sembilang, duri, kerapu.
Senjata
Jika berkhemah di dalam hutan, pastikan anda membawa parang sebagai langkah berjaga-jaga dari serangan binatang buas.
Berteman
Sebaiknya memancing lokasi atau lubuk yang jauh perlulah berteman. Sentiasa berhati-hati ketika melangkah dan jaga perilaku dan adab semasa memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...