Pada November 2019 lalu, Jabatan Perikanan Sabah telah menyenaraikan enam spesies ikan terancam terbaharu dalam Akta Perikanan 1985, bermula pada tahun lalu.
Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Marin Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol berkata, spesies ikan terancam terbaharu itu melibatkan empat spesies ikan yu dan dua spesies ikan pari.
Spesies itu adalah yu sirip putih besar atau nama saintifiknya, Carcharhinus longimanus; yu tukul (Sphyrna zygaena); yu tukul parang (Sphyrna mokarran); yu tukul palang (Eusphyra blochii) dan 2 spesies pari iaitu pari tanduk (Mobula birostris dan Mobula alfredi.
Ads
Ia menjadikan keseluruhannya ada 36 spesies hidupan marin terancam, dilindungi mengikut Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999 dan Akta Perikanan 1985 bertujuan mengelak kepupusan.
“Untuk itu, Jabatan Perikanan Sabah menjelajah ke 17 daerah di Sabah, khususnya daerah marin, bagi memberi pemahaman mengenai spesies marin yang tidak boleh ditangkap dan dijual,” katanya kepada pemberita selepas Program Sosialisasi Spesies Terancam di sini hari ini.
Ads
Kissol turut menasihati masyarakat maritim di seluruh negeri khususnya nelayan, supaya melepaskan spesies marin terancam kembali ke laut jika mendapati hidupan marin berkenaan tertangkap atau tersangkut pada pukat nelayan.
Ads
Beliau menghargai keprihatinan masyarakat keseluruhan, khususnya nelayan dan penjual ikan, agar disalurkan maklumat betul dan panduan bagi membolehkan mereka mematuhi undang-undang berkaitan perikanan dengan lebih baik.
Pada program itu, Kissol menggantungkan poster yang tertera gambar dan maklumat mengenai spesies marin terancam di Pasar Umum Sandakan.
(Sumber: Bernama)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Keindahan negeri Sabah memang tiada seorang pun yang mampu menafikannya. Di sini berdiri megah gunung tertinggi di Asia Tenggara yang terletak di Banjaran Crooker.
Di celah-celah banjaran ini jugalah mengalir punca-punca sungai yang melatari keindahan alam sebelum ia mengalir ke muara.
Saya berkesempatan mengunjung Hulu Sungai Ketipo untuk menjejak spesies sebarau dan pelian di sana. Bersama dua orang rakan, Bidin dan Mamai, kami bertolak ke pekan Sipitang dan sempat bersarapan roti canai terlebih dahulu di pekan tersebut.
Merentas Banjaran
Tiada kenderaan yang terbaik selain menggunakan pacuan empat roda jika ingin meneroka ke kawasan pedalaman negeri ini.
Perjalanan ada kalanya cukup menyeksakan, kerana selain mendaki dan menuruni bukit, perlu sentiasa berhati-hati apabila melalui jalan balak, terutama laluan berbatu kerikil dan juga licin.
Sebelum tiba, kami sempat menjemput seorang guide yang pernah sampai ke hulu Sungai Ketipo.
Kira-kira jam 9.00 pagi, kami tiba di penghujung jalan balak, di mana kami perlu menyambung perjalanan dengan berjalan kaki menuruni cerun bukit.
Atas faktor keselamatan dan keselesaan, kami cuba meminimumkan barangan yang dibawa. Setiap sorang hanya bawa 1 set casting berserta beberapa ketul spoon.
Jam 10.00 pagi, lebih kurang satu jam perjalanan, kami tiba di ulu Sungai Ketipo dan kami semua mengambil keputusan bergerak ke hilir sungai mencari lubuk-lubuk berpotensi.
Keadaan sungai yang agak cetek disebabkan kemarau sejak sebulan yang lalu memudahkan kami bergerak menyusur sungai.
Disebabkan ia di kawasan hulu, ia tidaklah lebar dan airnya mengalir jerih. Persekitarannya masih terjaga dengan baik dan terlihat banyak spesimen bermain di sungai ini.
Oleh sebab lokasi sungai yang agak jauh dan laluan sukar, aktiviti memancing tidak pernah dilakukan di sungai ini.
Mencari lubuk dalam
Perjalanan ke hilir menemukan beberapa lubuk yang dalam dan agak gelap airnya. Ia terus menjadi spot buruan kami.
Penggunaan set casting ringan dengan rod berkekuatan 6-12lb serta tali sulam 15lb sudah mencukupi untuk trip di sini. Sesudu bersaiz 7gm dan 10gm amat sesuai digunakan.
Strike demi strike diterima dari sebarau juvenil yang rata-ratanya berskala 10inci panjang. Walaupun ikan bersaiz kecil, kami tetap berpuas hati sebab sudah terbukti sungai ini masih menyimpan stok sebarau dan pelian yang agak banyak.
Setiap lontaran di lubuk pilihan pasti ada sebarau yang meligan sesudu menyebabkan kami terus menyusur sungai tanpa sedar yang kami sudah trekking lebih dari 2 kilometer dari tempat kami mula-mula sampai.
Sepanjang pagi kami telah mendapat 7 strike dari sebarau juvenil termasuk seekor pelian ramaja. Jam 12.30 tengah hari, kami berehat seketika sebelum bergerak semula ke hulu sungai untuk berhenti makan tengah hari.
Perjalanan diteruskan selesai saja rehat menuju ke hulu sungai. Keadaan sungai semakin sempit dan berbatu. Walaupun demikian, masih kelihatan banyak spesimen sebarau dan pelian di lubuk-lubuk yang lebih dalam.
Dalam perjalanan ke hulu sungai, kami mendapat 3 strike sebarau 2 belang. Meskipun kepenatan kami tetap gembira kerana menikmati keindahan alam semulajadi di sini.
Sekitar jam 3.00 petang, setelah tiada lagi lubuk berpotensi di kawasan hulu, kami memutuskan untuk berkemas dan bergerak pulang. Perjalanan pulang yang terpaksa mendaki amat memenatkan.
Namun dengan segala pengalaman kami di sepanjang Sungai Ketipo pada hari itu sudah cukup untuk melupakan segala kepenatan.
Pendakian kami mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke lokasi kenderaan kami. Selepas duduk menghilang dahaga kami akhirnya bergeak pulang ke Pekan Sipitang dengan rasa gembira kerana misi kali ini sudah berjaya.
Pari sungai atau pari air tawar adalah spesies yang kian terancam dan hanya terdapat di dua buah sungai utama di Semenanjung, Sungai Pahang dan Sungai Perak. Namun ia masih boleh ditemui di perairan Sungai Pahang seperti Kuala Lipis, Jerantut atau Temerloh.
Ketika air surut jernih di Sungai Jelai, Kuala Lipis memang waktu terbaik untuk memancing udang galah, ikan kerai dan juga tengalan. Tetapi siapa yang dapat menyangka pari sungai
yang menyentap dan memakan umpan yang dipertaruhkan seperti cacing air dan anak udang sungai.
Sesetengah orang luar dari kawasan Pahang masih tidak percaya tentang kewujudan pari sungai. Mereka beranggapan ia adalah pari tuka, akan tetapi bukan ikan tuka.
Ikan ini merupakan speisis pari air tawar yang bersaudara dengan pari air tawar gegasi yang terdapat di Thailand, bukan semua tempat ada ikan pari air tawar.
Tempat saya memancing iaitu sungai jelai sangat jauh beratus kilometer dari laut dan air masin.
Pari sungai banyak terdapat di Sungai Jelai, Sungai Jerantut dan juga Temerloh. Habitat atau lubuk yang disukainya ialah kawasan berpasir.
Antara teknik yang boleh dicuba termasuklah kaedah dasar dengan mengunakan umpan cacing dan anak udang.
Dalam pancingan ikan pari, joran akan melengkung apabila ditarik pari. Adakala ikan pari akan mendap atau masuk ke dalam pasir menyebabkan sukar untuk bawak naik .
Kalau sudah berjaya didaratkan, haruslah berhati-hati kerana bisa pari sungai juga adalah sangat berbisa dan bahaya seperti pari air masin.
Badan pari sungai juga sangat berlendir berbanding pari laut. Bagi orang Kuala Lipis, isi pari sungai sangatlah sedap.
Menu biasa bagi saya orang Kuala Lipis adalah ikan pari masak tempoyak.
Begahak merupakan ikan pemangsa air tawar yang menjadi idaman pemancing. Kemunculannya dalam jangka waktu yang singkat serta kesukaran menjejakinya membuatkan spesimen ini berada pada ranking yang tinggi dari segi nilai tangkapan menggunakan gewang.
Saban tahun, kehadiran begahak dinantikan para pemburunya. Ikan pemangsa ini boleh diperdaya dengan menggunakan gewang. Pemancing khususnya mereka yang meminati kaedah mengilat atau casting bersiap siaga dengan peralatan memancing serta gewang pilihan. Namun hasrat dan impian untuk bertemu muka dengan keluarga catfish ini bukanlah mudah.
Menurut kajian, di Semenanjung Malaysia begahak yang mempunyai dua ‘misai’ ini hanya terdapat di Sungai Pahang dan anak sungainya yang tertentu sahaja. Di kalangan penduduk Pahang ia lebih biasa dipanggil gohok. Kemunculannya pula bukanlah sepanjang tahun. Oleh yang demikian kenalah bersedia dengan sebaik mungkin apabila waktu keemasan yang dinanti-nantikan menjelang tiba.
Petanda lazim yang diguna pakai untuk mengesan kehadiran spesies ini adalah selepas banjir ketika mana ikan-ikan kecil mula mudik ke hulu dalam jumlah yang banyak. ‘Musim ikan mungkus’ kata orang Pahang yang pada kebiasaannya hanya berlaku sekali sahaja dalam setahun. Ketika inilah begahak muncul untuk berpesta meratah anak-anak ikan dan pastinya gewang yang dilontarkan akan dihambat ikan pemangsa ini.
Ketika itu banyak bot-bot yang menghanyutkan jaring. Ikan-ikan kecil ini akan dijual secara longgok sekitar RM5 –RM10 selonggok. Selain ikan mungkus, ikan bersaiz besar juga turut diburu termasuk begahak dengan menggunakan jaring bermata kasar.
GEWANG APA?
Ini pun satu hal. Dulu sebelum saya terjebak ke dunia casting, membottom adalah teknik yang biasa untuk memancing. Bila begahak terkena pancing, itu adalah kes tidak sengaja. Kalau nak jadi rezeki umpan perut ayam pun pernah dibedal begahak.
Setelah racun menggewang meresap di tubuh dan semakin bertambah gewang yang menghuni lure box, maka pelbagai aksi dan jenis gewang dihulurkan sebagai hidangan untuk mengenal pasti yang mana menjadi kesukaan begahak. Saiz yang sesuai sekecil 4 cm hinggalah 12 cm. Warna pula dipilih warna semula jadi dan juga warna-warna terang. Mata kail pula dari jenis halus dan kuat.
Semasa musim kemarau baru-baru ini rakan saya mendapat berita tentang gerombolan begahak yang dilihat bermain di satu lokasi di Sungai Pahang. Segera saya merancang untuk berkunjung dan peralatan gempur disediakan sebaik mungkin.
PERALATAN SESUAI
Kebiasaannya begahak dipancing dengan menaiki bot, tetapi kali ini kami akan casting dari tebing. Sesuatu yang agak mencabar. Dengan kawanan ikan yang bermain di tengah sungai sudah pasti memerlukan teknik dan peralatan yang berbeza.
Joran 7 kaki dan ke atas diperlukan agar lontaran gewang dapat dibuat lebih jauh. Begitu juga gewang bersaiz besar perlu digunakan. Tali sekitar 25lb – 40lb sesuai digunakan kerana kita tidak tahu saiz ikan yang ada di dalam air. Begahak 17kg dan lebih besar lagi pun pernah dinaikkan pemancing.
Hendak menggunakan tali yang lebih halus bimbang putus dan bila menggunakan tali yang lebih kasar diameternya, gewang tidak dapat dilontar jauh. Tiupan angin juga antara faktor yang membantut kelancaran kelajuan gewang.
Ketika matahari baru memancarkan sinarnya yang kekuningan, ketika itulah waktu keemasan yang dinantikan. Begahak memulakan aktiviti pagi mengejar anak-anak seluang. Percikan air serta bunyi sambaran mula kedengaran dan gewang pilihan terus menerjah air. Semakin hampir gewang jatuh dengan tempat begahak menyambar, semakin tinggi peratusan gewang disergap.
Pak Mat, orang kampung berdekatan yang meminati kaedah casting begitu bersemangat melontar gewang. Beberapa kali lontaran yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil. Gewang taruhan Pak Mat telah disambar dan joran panjangnya melengkung kerana asakkan sang begahak yang membenamkan diri. Joran dipaut dan tali digulung.
Begahak bukanlah perenang handalan berdasarkan bentuk badannya di bahagian ekor yang menirus serta ekornya yang kecil. Tidak sebagaimana kelah dan sebarau yang memecut laju setelah membaham gewang. Namun begitu tentangan begahak agak kuat. Taktiknya memberatkan badan dan tarikan padu diperlukan apatah lagi bila saiz 5 kg ke atas yang mengena.
Kebiasaannya selepas beberapa minit bertarung ia akan mengikut sahaja tali yang dikarau dengan sesekali ada sedikit perlawanan. Pak Mat akhirnya berjaya mengheret ikan ke tebing. Hasil pertama pada awal pagi itu menggelepar di atas tanah membuatkan senyuman terukir di bibir Pak Mat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...