Ekspedisi Royal Belum (part 2)

Share

 

Awal-awal pagi lagi saya telah bangun daripada tidur. Kesempatan ini, saya bersama teman saya, Zul menuju ke sebuah jeram yang jaraknya 10 minit dari tapak khemah kami. Kami bercadang untuk casting di jeram tersebut.

 

Di sini hanya ikan sebarau bersaiz remaja saja sudi melayan kami. Ada juga beberapa kali kejadian kes lucut dan mata tiga yang terkangkang akibat hentaman ikan.

Nampaknya itu sahaja rezeki kami pada pagi tersebut, walaupun bersaiz remaja, saya dan Zul tetap ingin bertandang sekali lagi di jeram ini pada petang nanti.

 

Sekembalinya saya di khemah, satu perbincangan dibuat oleh ketua kumpulan kami.

Selepas bersetuju, kumpulan kami bercadang untuk berpecah kepada tiga kumpulan di mana kumpulan GTS akan memancing semalaman di Laho dan satu lagi kumpulan akan turun ke bawah untuk memancing di Sanghur.

Selebihnya termasuk saya akan tinggal di tapak khemah untuk memancing di sini dan menjaga barang-barang.

 

 

Selepas mereka bertolak, saya mula menyambung memancing berhampiran kawasan khemah dan pada waktu petang.

Namun harapan saya untuk memancing musnah angkara hujan turun dengan lebatnya. Pada waktu itu kami hanya mampu duduk di khemah tanpa berbuat apa-apa.

 

Hujan masih turun tanpa henti sehinggalah pada malam kedua. Akibat bosan duduk tanpa berbuat apa-apa, saya dan rakan-rakan yang tinggal tetap bertekad untuk menyambung memancing lagi.

Biarlah basah kuyup, umpan tetap dibaling untuk menjerat ikan. Hujan yang lebat telah menyebabkan air sungai menjadi deras.

 

Memancing dalam suasana begini memang sukar kerana arus yang deras telah membawa banyak sampah-sarap seperti ranting kayu dan daun-daun kering bersama.

Beberapa kali kes umpan dan mata kail tersangkut dan juga putus sehingga menyebabkan stok batu ladung untuk memancing dasar semakin berkurangan.

 

 

Walaupun berkali-kali mengikat tali perambut yang putus, Epol akhirnya berjaya juga memperolehi seekor ikan kelah remaja pada waktu itu.

Ini menguatkan lagi semangat kami untuk memancing walaupun dalam basah kuyup sambil kami turut berjaga-jaga bimbang berlakunya kejadian kepala air turun.

 

Rezeki Teh Tarik

Hujan yang melanda semalaman menyebabkan sungai yang jernih menjadi keruh bagaikan teh tarik.

Aktiviti casting pada awal pagi tidak mendatangkan apa-apa hasil, lantas membuatkan saya bertukar kepada memancing dasar.

Awal-awal pagi lagi guide kami, Panjang telah mencari umpan ‘power’ untuk kegunaan kami.

 

 

Umpan ‘power’ yang dimaksudkan ialah sejenis serangga yang digelar ‘belalang togel’ oleh orang tempatan, di mana ia boleh didapati di kawasan rumput berhampiran tebing sungai.

Menurut Panjang, umpan belalang ini sememangnya menjadi kegemaran ikan baung dan tengas serta kadang kala ikan kelah juga dapat dijerat dengan menggunakan serangga ini.

 

Rupa-rupanya hujan semalam sebenarnya membawa tuah kepada kami. Arus yang deras pada malam tadi telah membawa turun banyak ikan dari hulu sungai ke kawasan kami.

Dengan menggunakan belalang togel, banyak baung akar bersaiz kasar berjaya dinaikkan.

 

 

Begitu juga bagi rakan-rakan lain yang menggunakan umpan sawit. Banyak tengas dan tengas daun berjaya diperolehi.

Sedang kami seronok ‘baling umpan dapat ikan’, geng GTS yang bermalam di Laho telah pulang ke khemah, hasil yang diperolehi amat memuaskan. Tengas dan Kejor anggaran 2-3kg banyak diperolehi.

 

Hari berikutnya kami masih meneruskan aktiviti memancing, saya dan beberapa orang rakan-rakan yang lain masih tidak berputus asa untuk casting.

 

Sebarau berskala badong masih menjadi harapan kami. Penggunaan sesudu berjenama Abu Island II dan Yo zuri Altima amat laku di sini.

Selain itu gewang jenis minnow juga amat berkesan. Penggunaan gewang selaman dalam pula didapati tidak sesuai digunakan memandangkan struktur dalam sungai yang berbatu serta banyak ranting kayu yang berada di dasar sungai.

 

 

Ini memudahkan gewang tersangkut dan menyukarkan aktiviti casting. Beberapa ekor sebarau lagi berjaya dinaikkan, tetapi sebarau bersaiz badong masih gagal dinaikkan.

Sedang saya sibuk casting tidak jauh daripada khemah, kelihatan kedengaran riuh rendah di kawasan khemah.

 

Rupa-rupanya salah seorang daripada kumpulan kami berjaya mendaratkan seekor ikan kelah merah yang dianggarkan seberat 3kg lebih.

Kejayaan ini merupakan tuah pada kumpulan kami kerana kelah bersaiz begini menjadi idaman kami dan amat sukar diperolehi lebih-lebih lagi berhampiran dengan kawasan khemah kami yang sentiasa riuh rendah.

 

 

Kembali Pulang

Malam terakhir kami disajikan dengan hidangan ikan salai yang disediakan oleh guide hasil daripada tangkapan kumpulan kami sepanjang berada di sini.

Keesokan paginya kami bekerjasama ntuk berkemas pulang. Semua sampah sarap dikumpulkan dan dibakar. Tin-tin minuman dan makanan ditanam di dalam tanah. Apabila semuanya siap sedia, kami bertolak pulang.

 

Kali ini beg galas yang dibawa lebih ringan berbanding waktu pergi kerana tidak perlu membawa makanan dan umpan. Lega rasanya apabila kami tiba di kawasan Sungai Ketir untuk menaiki bot ke jeti semula.

 

Alhamdulillah dan syukur kerana tiada berlaku sebarang kecelakaan dan kecederaan berlaku sepanjang trip kali ini. Walaupun kepenatan akibat perjalanan yang sukar di hutan, jelas Bergambar kenang-kenangan sebelum pulang.

 

 

Spoon memang killer untuk sebarau.

Saya amat berpuas hati menyertai trip ini. Selain puas memancing, suasana flora yang mendamaikan di Hutan Royal Belum ini sedikit sebanyak berjaya menghilangkan stress.

Terima kasih kepada GTS dan pasti saya akan ke sini sekali lagi sekiranya menerima jemputan daripada mereka ke Hutan Royal Belum pada masa akan datang.

Published by
Amang