EAK – Lubuk Mancing Warga Kota

Share

 

Setelah seharian meluangkan masa di sini, penulis beranggapan konsep aktiviti pancingan di sini betul-betul secocok dengan jiwa pemancing rekreasi.

Pada zahirnya, hukum memancing tidak banyak berbeza berbanding lokasi pancing lain sama ada berbayar mahupun tidak.

 

Namun apa yang menarik di sini ialah, wujudnya nilai estetika persekitaran yang tenang seakan jauh dari rimas dan lemas pembangunan. Bagi pemancing rekreasi yang mahu menikmati nilai keseronokan memancing, penulis yakin lokasi ini tidak menghampakan.

Empangan ini juga menjadi lokasi tumpuan bagi pemancing layang atau fly fishing. Malah Nik Rahimi atau lebih mesra dengan panggilan Abe Nik pun bukan calang-calang orangnya.

 

Dengan pengalaman lebih 20 tahun bergelumang dengan fly fishing dan antara perintis teknik ini di Malaysia ditambah pula berkelayakan mengajar teknik pancingan fly fishing, sudah cukup untuk dikira ‘otai fly fishing’. Begitu pun, sifat rendah diri dan tidak lokek ilmu begitu terkesan bagi penulis.

Konsep pancingan santai di sini bermaksud anda memancing untuk belajar dan merasai keseronokan memancing.

 

Bukan sekadar untuk mendaratkan ikan semata-mata, juga bukan tentang saiz atau berat ikan menjadi keutamaan, tetapi di sinilah anda boleh mengasah dan meningkatkan teknik pancingan serta menghayati keseronokan memancing bersama keluarga dan rakan-rakan dengan persekitaran seolah-olah jauh daripada kesesakan bingit bandar raya.

 

 

Dalam perbualan antara penulis dan Abe Nik, penulis sempat bertanyakan tentan stok dan spesies ikan di empangan ini.

Abe Nik memberikan gambaran terdapat lebih 15 spesies ikan yang terdapat di sini termasuk toman (Channa micropeltes), pacu (Colossoma), peacock bass, jelawat (Leptobarbus hoevenii), rohu (Labeo rohita), bulan, sebarau (Hampala barb), patin (Pangasius spp.), tilapia dan bermacam lagi.

 

Ikan-ikan yang terdapat di dalam empangan yang berkedalaman mencecah 20 kaki ini kebanyakannya ikan asal, begitu pun Abe Nik mengambil inisiatif lain dengan menambahkan stok ikan yang diambil dari tasik-tasik utama di Malaysia.

 

Selain itu, amalan tangkap dan lepas yang disyaratkan kepada pemancing di sini juga dilihat antara faktor penting dalam memelihara stok ikan di empangan ini.

 

Empangan Sg. Air Kuning ini menerima pelbagai mazhab atau teknik pancing tidak kiralah anda mazhab casting, aliran bottom mahupun perguruan fly fishing. Secara mudah, semua boleh asalkan kaki pancing.

 

Malah bagi kaki casting dan fly fishing, lokasi ini lebih dikenali sebagai Fly fishing and Lure Casting Centre sesuai dengan niat asal Abe Nik yang mahu menjadikan tempat ini sebagai pusat lokasi kaki pancing meluangkan masa memancing, berkumpul dan bertukar pendapat di samping belajar mengasah, memperbaiki dan meningkatkan lagi teknik sedia ada.

 

Penulis bersama rakan-rakan sempat meluangkan masa sehari suntuk di sini baru-baru ini. Ada yang membottom, ada yang casting dan ada yang kaki fly fishing.

Walaupun kepelbagaian teknik pancing ketika itu, semuanya boleh memancing dengan gembira malah jika difikirkan, begitu banyak ilmu boleh dikongsi pada satu-satu masa.

 

Spesies pacu banyak di sini dan berjaga-jaga kerana rod anda mungkin terbang jika diletakkan sambil lewa. Hanya umpan hidup sahaja dibenarkan bagi kaki bottom.

Umpan seperti cacing, cengkerik atau anak ikan amat berkesan di sini. Di kaunter juga ada menjual umpan hidup. Untuk casting, gunakan gewang-gewang mikro.

 

 

Published by
Amang