Dua Malam Berpesta Ribut Jenahak

Share

 

Tepat jam 5.00 petang, bot mula bertolak dalam keadaan cuaca yang amat baik. Spot pertama tidak jauh, sekitar sejam lebih perjalanan untuk mencari umpan dan apollo. Selesai makan malam, tekong terus menuju ke spot pertama.

 

Tak sampai 10 minit berlabuh, joran Wak Z dan saya menerima sentapan padu hampir serentak. Kekili elektrik memulakan tugasan berentap. Kasar juga ikan ini kerana berjaya menarik tali keluar pada joran yang hampir mencecah air.

Akhirnya timbul jenahak dan kedua-dua kami bersorak kegembiraan. Belum sempat ikan tersebut naik, awak-awak dan Achid pula mendapat sentapan serupa.

 

 

Dalam kerancakan ikan memakan umpan, angin mula tiba. Dalam 20 minit sahaja laut bertukar menjadi kucah dengan alun yang agak kuat. Mujurlah, bot mempunyai sayap (stabilizer) dan ianya mengurangkan bot dari terhuyung-hayang dengan kuat. Pada ketika ini, separuh ahli trip telah tumbang dan masuk tidur.

 

Saya terjaga pada jam 4.30 pagi dan kelihatan Wak Din dan Jemik sedang memasang umpan ketika laut telah kembali tenang. Ketika saya bersedia untuk menyambung memancing, Jemik menjerit ke arah Wak Din supaya menekan suis kekili elektrik beliau kerana berada agak jauh pada waktu itu.

 

 

Rentapan kasar tersebut benar-benar menguji joran dan kekili Jemik kerana ikan tersebut melawan dengan agak kuat. Jemik berjaya menaikkan jenahak bersaiz bantal skala 5 kg. Wak Din yang membantu tadi turut menerima sambaran padu. Kekili Miya X5 HS Wak Din dapat menarik sang jenahak dengan mudah sekali walaupun bersaiz melebihi 3 kg.

 

Ketika hari mulai cerah, kami berpindah ke kawasan kawasan karang sambil berehat dan tidur. Sesekali kerapu manis, tanda karang dan kunyit dinaikkan. Ianya cukup untuk menggembirakan kami hingga melewati tengah hari.

 

 

Tekong mengajak kami bergerak ke tengah untuk bersiap sedia bagi lubuk seterusnya. Jangkaan perjalanan adalah hampir 2 jam. Lubuk kali ini ialah kapal karam dengan sasaran targetnya jenahak dan juga kerapu.

 

Ketika ini, air agak laju dan menurut tekong, ini adalah air yang sesuai mencari si bantal emas. Tak sampai 5 minit, terus sahaja joran Achid direntap padu dan drag kekili manual Acid berbunyi tanpa henti. Jemik juga tidak mengalah dan mula menekan suis kekilinya. Seekor jenahak bersaiz bantal tumpas di tangan Jemik namun Achid masih lagi mengayuh.

 

 

Khair yang hanya mendapat ikan bersaiz sederhana semalam turut menekan suis kekili elektrik beliau. Keadaan umpama pesta pada ketika ini. Masing-masing fokus pada joran yang sudah mengena manakala yang belum mengena, masih ternanti-nanti. Tekong juga tidak ketinggalan apabila dalam diam menaikkan seekor jenahak skala 4 kg.

 

Guruh telah berbunyi dan petir kelihatan di samping angin sejuk mula bertiup. Nampaknya kami akan dibelasah oleh ribut untuk kali kedua dalam trip ini. Tanpa sebarang amaran, angin bertukar kencang dan masing-masing terpaksa bertahan. Hujan lebat mula turun selepas itu dan kami hanya mampu berehat di samping tidur-tidur ayam bagi menyimpan baki tenaga.

 

 

Keadaan reda setelah hampir 3 jam. Keadaan air telah perlahan dan tali lurus ke bawah. Biasanya kerapu aktif pada ketika ini. Melvin yang memancing di hadapan bot turut menggunakan sotong hidup.

 

Joran Melvin terlebih dahulu disentap bersaiz boron digelar juga tong gas. Sekali lagi kami bersorak kegembiraan kerana rekod peribadi berjaya diperbaharui. Jemik di belakang bot juga tidak mahu mengalah apabila turut menewaskan kerapu.

 

 

Awak-awak yang turut sama memancing berjaya menangguk seekor kurita. Tanpa berlengah, kurita tersebut dipasang ke mata kail. Tak perlu menunggu lama, joran 14 kaki beliau terus sahaja melengkung mencecah air tanpa sebarang amaran. Keadaan ini amat mengujakan bagi kami yang melihat dan merakam aksi tersebut dan akhirnya seekor lagi jenahak bertaraf bantal tumpas.

 

Achid pada masa yang sama pantas menyentap jorannya apabila menyedari umpan telah mengena. Setelah sabar menunggu, seekor pari karang skala 1 kg berjaya dinaikkan. Ikan tersebut merupakan yang terakhir dalam trip ini.

 

Published by
Amang