Buah kelapa sawit yang diperam sehingga menjadi lembut dan masam sememangnya menjadi umpan utama untuk memburu raja sungai, ikan kelah. Sebenarnya bukan ikan kelah saja yang menyukai sawit peram ini, ia juga boleh digunakan untuk memancing pelbagai spesies ikan lain. Antaranya ialah ikan lampam, terbul, baung atau tilapia.
Bahan-bahan:
Sawit peram yang sudah dikisar atau diramas hancur
Dedak biji atau palet
Dedak
Umpan gam (tepung gandum)
Air
Tutorial 1
Gaulkan sawit dengan palet yang telah dilembutkan di dalam bekas asing. Palet ini akan digunakan sebagai inti atau untuk dicangkukkan pada mata kail.
Tutorial 2
Masukkan dedak (sebanyak mana yang ingin digunakan) ke dalam tong atau bekas bancuhan.
Tutorial 3
Masukkan pula serbuk umpan gam dengan mengikut kadar kekenyalan bancuhan yang diingini (umpan gam bertujuan untuk meliatkan dedak dan berfungsi seperti tepung gandum). Bancuh dahulu campuran ini.
Tutorial 4
Masukkan 5-8 sudu kelapa sawit peram atau seberapa banyak yang diingini. Ketika melakukan bancuhan anda boleh menambah bahan apa yang dirasakan kurang.
Tutorial 5
Gaul adunan dan campur sedikit dengan air sehingga adunan menjadi seperti doh. Doh adunan yang kenyal (tidak berderai) amat sesuai untuk digentel pada mata kail.
Tutorial 6
Cucuk palet yang digaul dengan sawit peram pada mata kail (perambut 2 mata kail).
Tutorial 7
Ambil doh adunan dedak dan balut pada palet serta mata kail.
Tutorial 8
Dedak sawit peram yang digentel kemas pada mata kail untuk digunakan. Sebaiknya juga kawasan untuk balingan umpan dirasuah dulu dengan dedak ini.