Kisah Seram Memancing – Disakat Penunggu Teluk Ketapang *

Share

PAGI itu Haji Sulaiman bangun dengan hati dan fikiran yang lapang. Selesai solat subuh berjemaah di surau, dia menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh isterinya Hajah Halimah.  Sarapan lempeng nipis yang di cicah dengan sambal tumis ikan bilis itu benar-benar membuka seleranya. Ditambah pula dengan kopi o panas yang dihirup bersama menjadikan perutnya pagi itu benar-benar terasa sangat terisi.

“Jadi ke abang pergi mencari siput pagi ni?” Tanya Hajah Halimah apabila melihat suaminya sudah tersandar kekenyangan sambil menghisap rokok gulung daun.

“Jadi Mah. Semalam Haji Jali datang lagi. Minta tambah lagi lima kilo. Semuanya yang dia nak dekat-dekat dua belas kilo juga,” jawab Haji Sulaiman sambil matanya ralit melihat si Jalak yang sedang berebut mematuk gandum yang baru dilempar oleh Hajah Halimah ke tanah.

“Banyak tu bang. Agak-agaknya berapa hari baru dapat kita kumpulkan siput sebanyak tu,” keluh Hajah Halimah. Bukannya dia tak tahu, satu hari mahu mengumpul siput dua kilo pun agak sukar bagi mereka berdua. Kena turun dua kali pagi dan petang untuk mencarinya. Kalau kena pada musimnya, sekali turun mencari senang-senang saja boleh dapat lima enam kilo tapi kalau di luar musim, memang agak sukar kecuali dikumpul sedikit demi sedikit.

“Insyaallah, lusa nanti dapatlah kita kumpulkan Mah. Semalam pun dah ada dekat-dekat tiga kilo. Pagi ni awak tak payah tolong saya. Biar saya seorang yang pergi cari,” cadang Haji Sulaiman sambil bangun untuk menukar kain pelikat yang dipakai.

Tidak sampai sepuluh minit, dia sudah keluar dengan memakai seluar track suit lusuh dan baju kemeja lengan panjang. Hajah Halimah menghulurkan termos air panas dan bekalan makanan berupa lempeng dan sambal tumis ikan bilis.

“Kalau tengah hari saya tak balik, maknanya saya zuhur di sana ya. Insyaallah lepas asar baru saya balik,” laung Haji Sulaiman sambil menghidupkan enjin motosikal Honda buruknya. Dengan membawa baldi dan satu batang kayu pendek, motosikalnya menghala ke kawasan pinggir kayu bakau yang terletak hanya dua kilometer daripada rumahnya.

Sampai sahaja tempat dituju, terus Haji Sulaiman meletakkan motosikalnya di bawah pokok ru. Dengan ucapan bismillah, langkahnya dihayun menuju ke arah belukar kayu bakau. Tempat dia mencari rezeki dengan mengutip siput yang selalu juga dipanggil dengan nama ‘siput sedut’.

Jam sudah menghampiri ke angka lapan malam. Hajah Halimah menanggalkan telekung yang dipakai. Sudah habis doa dan surah Yassin yang dibaca namun kelibat suaminya masih belum kelihatan. Kerisauan sudah bergayut di tangkai hati. Ke mana pulak dia pergi ni? Takkan tersesat pulak, bisiknya di dalam hati.

Apabila jam menghampiri jam sembilan, hati Hajah Halimah sudah tidak keruan lagi.mencapai telefon lalu mendail nombor anak sulungnya, Raziman. Marah juga Raziman apabila ibunya lambat memberitahu tentang kehilangan ayahnya. Bersama tiga orang kawan, mereka mencari Haji Sulaiman di kawasan paya bakau itu, namun hanya motosikal dan bekalan makanan yang dijumpai. Bekalan makanan itu seolah-olah tidak diusik langsung!

Bimbang dengan keselamatan ayahnya, Raziman membuat laporan polis tentang kehilangan ayahnya itu. satu pasukan yang dianggotai oleh pihak polis, bomba dan ahli dari Jabatan Pertahanan Awam segera dikerah untuk misi menyelamat. Malam itu, penduduk Kampung Pasir Dula gempar dengan kehilangan Haji Sulaiman yang keluar untuk mencari siput sedut.

Seluruh kawasan paya bakau itu diselongkar dengan bantuan anjing pengesan namun kelibat Haji Sulaiman masih belum ditemui. Pihak keluarga meminta bantuan daripada pengamal perubatan tradisional untuk membantu mencari kerana dikhuatiri kehilangan Haji Sulaiman mungkin berkaitan dengan alam mistik namun usaha itu masih juga gagal.

Akhirnya, seorang ustaz muda meminta izin untuk mengalunkan azan sebanyak tujuh kali. Betul-betul di bawah sebatang pokok besar yang akarnya terjuntai hingga ke tanah. Selesai azan kali ketujuh itu dilaungkan, ustaz muda itu membuat solat hajat dua rakaat.

Tidak sampai lima belas minit, terdengar suara riuh rendah mengatakan Haji Sulaiman sudah dijumpai dalam keadaan letih lesu berhampiran kawasan bakau. Dia kelihatan seperti orang mamai dan tidak mampu bercakap. Hanya baldi birunya yang berisi siput sedut yang dipegang erat ketika dijumpai.

“Pakcik rasa sekarang pukul berapa?” Tanya seorang anggota bomba apabila Haji Sulaiman sudah diberikan rawatan oleh paramedik yang sedia menunggu.

“Agaknya tujuh malam…” jawab Haji Sulaiman dengan suara yang lemah. Dia jadi hairan apabila melihat orang ramai berada di situ. Kenapa pula mereka semua berkampung ni? Bisiknya hairan.

“Pakcik, sekarang dah pukul empat setengah pagi. Hampir seharian pakcik hilang di sini. Apa yang terjadi sebenarnya?” Tanya pegawai bomba itu lagi.

Haji Sulaiman termenung. Mustahil….getus hatinya. Namun sempat dia mengerling jam tangan yang dipakai oleh Raziman. Memang sah, pukul empat setengah pagi. Ya Allah, rupanya dia sudah tersesat di kawasan yang sama hampir 19 jam lamanya. Sebenarnya, pada perkiraan dirinya, dia cuma berlegar-legar di tempat yang sama.

Setiap kali dia cuba untuk melangkah mencari jalan pulang, dia akan menuju ke tempat yang sama. Dia pasti itu tempat yang sama kerana di situlah dia memacak kayu pendek yang dibawanya ke dalam kawasan selut untuk tandaan kawasan. Nasib baiklah air laut tidak pasang penuh dan melimpah masuk ke dalam kawasan paya bakau itu. Kalau tidak, tentu hanya mayatnya saja yang akan ditemui. Sejak hari itu, Raziman tidak membenarkan ayahnya keluar mencari siput sedut lagi. Sesungguhnya dunia Allah ini memang banyak misterinya yang tak terungkap!.

 

Published by
Amang