Dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Fadzli dan Rosdan tiba di Temerloh. Azhar yang menunggu mereka di stesen minyak Simpang Songsang mengajak mereka berdua singgah dahulu di sebuah warung untuk minum sambil berbincang tentang trip memancing pada sebelah malam nanti.
Lebih kurang jam 10.00 malam mereka turun memancing. Bot fiber biru muda yang dipadankan dengan enjin sangkut 15 kuasa kuda dipacu sederhana laju oleh Azhar.
Melihat keadaan air sungai yang surut dan tidak berapa keruh, membuak-buak semangat Fadli dan Rosdan untuk menewaskan spesies ‘ori’ yang selama ini diidamkan.
Tidak sabar rasanya mereka berdua hendak menaikkan kerai, patin, baung, temoleh, lampam, begahak dan tidak terkecuali udang galah.
Sepuluh minit perjalanan, mereka sampai di Lubuk Rakit. Azhar memperlahankan enjin bot. Setelah sauh dilabuh tanpa berlengah Fadli mencangkuk cacing air ke mata kail.
Menurut Azhar cacing air merupakan umpan power untuk penghuni Sungai Pahang. Rosdan pula memilih seluang janggut sebagai umpan sulung trip ini.
Sebaik sahaja umpan menyentuh dasar, hujung joran bergetar perlahan di getu anak-anak ikan. Tidak lama menunggu, joran tiba-tiba melengkung dan sepantas kilat Fadli menyentap dan mengepam tali ke dalam kekili. Seekor ikan pari sebesar pinggan berjaya disauk ke dalam bot.
“Fuh… tak sangka dapat pari. Kuat juga dia melawan, pari sungai” Fadli bersorak gembira dan sangat teruja dengan pari air tawar pertama buat dirinya.
Rosdan pula berjaya menaikkan seekor begahak sebesar betis.
“Jaga sikit Rosdan… guna playar. Gigi ikan tu kau tengoklah macam dinosaur!” Pesan Azhar yang pernah luka kerana gigitan ketika mahu mengeluarkan mata kail dari rahang begahak.
Bukan main ceria lagi mereka berdua. Azhar selaku tekong tumpang gembira dengan hasil sulung mereka berdua. Tidak sia-sia dia menjemput dua sahabat yang dikenali melalui forum pemancing datang menduga di sungai terpanjang di semenanjung Malaysia ini.
Semakin larut malam semakin galak ikan meragut umpan. Bekal jemput pisang dan kopi ‘o’ panas yang dibancuh isteri Azhar tidak sempat dijamah.
Asal taruk sahaja umpan tanpa menunggu lama pasti bersambut. Beberapa ekor udang galah juga berjaya dipancing.
“Betullah bang… Meriah betul lubuk ni” Azhar tersenyum dengan kata-kata Fadli. Lubuk Rakit adalah antara lokasi yang sering dikunjungi Azhar untuk menghanyutkan jaring atau memancing.
Di lubuk ini dia pernah bertarung dengan temoleh belasan kilogram. Patin buah juga banyak dia perolehi di sini.
Fadli melihat jam tangannya. Sudahpukul 2.15 pagi tetapi mata tidak mengantuk. Waktu dirasakan begitu pantas berlalu.
Walaupun cuaca semakin sejuk kerana embun mula turun menitis namun tidak diendahkan mereka bertiga. Keasyikan menaikkan ikan mengatasi segala-galanya.
Rosdan menerima satu strike. Nampaknya habuan yang besar kali ini. Hujung joran menunduk hampir mencecah air. Rosdan berdiri mengemas kekuda.
Manik-manik peluh mula membasahi dahi. Beberapa minit bertarung, Rosdan bersuara
“Bang, tolong bang… sangkut ke ni. Uhh.. beratnya” dengus Rosdan sambil menunggu Azhar mengambil alih perlawanan.
Azhar melangkah ke depan bot. Memang terasa berat. Azhar cuba mengarau tali tetapi tidak dapat memusing tombol pada kekili. Tangsi ditarik menggunakan tangan.
Jari terasa pedih kerana berat bebanan yang ditarik. Tambahan pula rintangan arus sungai.
Sedikit demi sedikit tangsi dihela ke dalam bot. Kelihatan berbalam-balam di dalam air sesuatu yang agak besar.
Terdetik di hati Azhar apakah gerangan penghuni lubuk yang semakin menimbul. Kalau ikan sudah tentu ada henjutan atau perlawanan tapi ini mengikit sahaja.
“Ya.. Allah! Hulur parang..cepat.. cepat!” Tiba-tiba Azhar melaung cemas.
Suasana di dalam bot menjadi kelam-kabut. Dapat dilihat dengan jelas mayat askar Jepun yang berbelit tali tangsi. Dengan tangan mengeletar Rosdan menghulur parang.
Azhar tergesa-gesa memotong tangsi. Mayat tersebut masih terapung. Beberapa kali tali penghidup enjin sangkut disentap. Dalam suasana cemas dan tergopoh-gapah akhirnya enjin dapat dihidupkan. Tali sauh dipotong dan Azhar terus memecut laju.
Di tengah perjalanan Fadli berteriak “Mayat..mayat!” Jari telunjuknya menuding ke dalam air sebelah kiri bot. Mayat askar Jepun mengekori bot mereka.
Semakin laju Azhar memecut semakin pantas mayat tersebut meluncur, tenggelam-timbul berhampiran bot. Tiba-tiba Rosdan mengangkat kedua-dua tangannya dan dirapatkan ke telinga.
“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Rosdan melaungkan azan sekuat hatinya. Sedikit demi sedikit mayat askar Jepun tenggelam ke dalam air dan lenyap dari pandangan.
Mereka berdua yang bermalam di rumah Azhar tidak dapat melelapkan mata. Wajah mayat askar Jepun masih terbayang-bayang. Apabila hari sudah siang barulah kedua-dua mereka boleh tidur.
“Bang… lain kali kalau kami datang ke sini, kami tak mahu dah ke lubuk tu. Patut lah banyak ikan.. ada hantu!”
Sempat Fadli berseloroh ketika berjabat tangan sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur. “Ok..lah, abang bawa ke pulau penanggal pulak nanti..” balas Azhar tersenyum sambil tangan dilambai kepada dua sahabatnya.
*Ketika Perang Dunia Kedua, satu batalion tentera Jepun yang sampai ke daerah Temerloh telah memakan bubur yang dimasak penduduk kampung.
Bubur tersebut telah di campur dengan ubi gadung yang beracun dan boleh membawa maut. Mayat-mayat tentera Jepun bergelimpangan mati dan yang jatuh ke dalam sungai, timbul umpama rakit yang memenuhi teluk di kawasan Lubuk Rakit.
Sehingga ke hari ini masih berlaku kejadian mistik dan gangguan ‘menghantui’ lubuk tersebut.