Selang beberapa bulan sebelum trip ini, kami ada merancang untuk memancing ke sebelah timur semenanjung untuk melampiaskan nafsu memancing yang semakin bergelora. Namun hajat dan gejolak nafsu ini terpaksa kami batalkan kerana padang pancing yang diidamkan untuk kami turun bertarung masih lagi bergelora.

Monsun barat daya masih menghasilkan lambungan ombak setinggi dua hingga tiga meter. Kadar ketinggian yang mampu membuatkan si pemancing diam terkedu pening tanpa mampu memancing. Maka perairan sebelah barat semenanjung lah yang menjadi pilihan kami.

 

Lokasi pilihan

Dikaren Gigil Pulau Jarak

Pulau jarak merupakan lokasi yang menjadi impian ramai pemancing baik baru mahu pun yang lama untuk menguji peralatan, skil dan teknik pemancingan terkini. Di pulau jarak ini jugalah ramai pemancing tumbang dek kekurangan skil namun ada juga yang terus ketagihan kerana ‘tersampuk’ listrik dari kekuatan tenaga ikan-ikan ‘big game’ yang bermastautin di perairan ini.

Pulau ini tidak mempunyai sebarang pantai. Ia lebih kepada dinding-dinding batu granit vetikal yang menganjur ke lantai laut. Ini menjadikan lokasi ini lokasi yang ideal untuk pembiakan plankton, batu-batu karang lalu menjadi rumah yang sesuai untuk banyak spesies ikan. Malah ia menjadi lokasi yang cantik untuk penyelam datang menyelam dan menyingkap rahsia isi kandung laut di perairan jarak ini.

Empat orang pemancing berkumpul di kuala lumpur pada petang 11 januari lalu bagi merealisasikan impian dan meleraikan ketagihan memancing yang sudah beberapa bulan tidak bertarung dengan spesies rakus di pulau jarak. Bob, dan panglima ghaib merupakan pemancing yang pernah dan juga agak kerap turun ke sini untuk memancing. Manakala Mahfudz dan Bernard yang masih baru dalam arena jigging, ingin mencuba nasib di perairan ini.

 

Dikaren Gigil Pulau Jarak

 

Gelora gigil

 

Jam 6.45 pagi, suara garang enjin menderum menandakan bot sudah sedia untuk berlepas ke lokasi. Cuaca yang cantik terzahir pada langit yang membiru terang dan deruan angin yang berhembus selesa lalu menambahkan ‘gelora gigil’ tangan masing-masing. Perjalanan ke pulau jarak yang mengambil masa satu jam tiga puluh minit dirasakan sekejap kerana ombak tidaklah begitu tinggi. Keadaan ini cukup selesa buat kami menuju ke lokasi tanpa banyak perlu bot menghempas ombak.

Ads

Lokasi yang menjadi sasaran kami adalah kawasan yang mempunyai tunggul-tunggul karang atau struktur bukit laut. Satu lokasi yang mempunyai struktur yang menganjur naik dari lantai laut yang membentuk bukit-bukit kecil di dasar laut. Kawasan ini sangat subur dari segi jumlah batu-batu karang dan tumbuhan laut yang lain.

Dikaren Gigil Pulau Jarak

 

Teknik pilihan

 

Teknik jigging sambil berhanyut pada jarak sekitar antara 60 meter hingga 100 meter dari kawasan bukit dasar laut merupakan teknik pilihan atas nasihat tekong abang lan. Matahari yang cukup terik menemankan kami di geladak bot dimana masing-masing berdiri berposisi untuk jigging. Peralatan ‘light-jigging’ sudah lama tersedia sejak dari dalam perjalanan ke sini tadi.

Daripada bacaan radar ‘echo-sounder’ yang terpasang di bot, kedalaman di padang pancing ini adalah sekitar antara 50 meter sehingga 90 meter. Agak dalam juga perairan ini dan peralatan yang menjadi pilihan untuk ‘bermain’ disini antaranya dari siri pe1 sehingga pe4. Kekili yang dipilih untuk bertarung terdiri dari siri 4000 hingga 6000 berserta tali sulam antara pe2 hingga pe4. Perambut yang mampu bertahan di sini adalah dari skala 50lb hingga 70lb.

Kepingan besi jig hampir kesemuanya mempunyai berat di antara 150 gram sehingga 180 gram digunakan. Ini kerana arus yang agak laju mampu ‘melayangkan’ atau ‘mengapungkan’ gewang jig jika berat yang digunakan berskala 100gm ke bawah.

Jig-jig yang banyak menjadi pilihan di sini adalah terdiri dari yang berprofil gemuk dan pendek (leaf type), jig madai dan warna yang memang ‘hit’ ketika itu ialah yang berwarna biru dan mempunyai adunan warna putih dan perak. Jig jenis ini sangat sesuai dimainkan di separa air dengan kelajuan yang sekata dan mempunyai renangan ‘vertikal’ dan ‘horizontal’ yang cantik dari lantai ke permukaan air.

Ads

Dikaren Gigil Pulau Jarak

 

Bila jig jadi tukun

 

Dikaren Gigil Pulau Jarak

Bagi mahfudz yang baru lagi berjinak dengan arena jigging ini, teknik menghanyut masih lagi asing baginya. Beberapa keping jig menjadi makanan karang. Hanyutan jig yang terlalu hampir pada lantai laut membuatkan kepingan jig kerap tersangkut pada tunggul karang.

Dalam kelekaan meleraikan kekusutan fikiran angkara batu karang yang membaham jig, joran xzoga bertuankan Bernard melendut keras. Laluan diberi kepada bernard dengan semua kawan-kawan serta merta menggulung tali masing-masing. Laluan kini terbentang luas untuk bernard yang pertama kali memancing di perairan ini. Senyum dalam terpaksa buat bernard kerana hentakan ikan di bawah semakin meruntun jiwa.

Tangan semakin sakit, pinggang semakin keras. Duduk yang selesa tadi kini sudah menjadi tidak keruan. Selepas 15 minit bertarung, akhirnya ikan menyerah kalah. Gerepoh (giant trevally) berskala hampir 11kg tersadai di pangkuan bernard.

Ads

Selepas itu, kekili abang lan pula menjerit nyaring. Dengan belasan tahun pengalaman memancing di laut, jenahak 2kg tidak langsung menjadi masalah langsung buat abang lan. Hanya beberapa minit diperlukan untuk mendaratkan ikan tersebut. Usai jenahak didaratkan, sekali lagi gerepoh membaham jig. Kali ini joran panglima ghaib melentur dengan disertakan dengan larian yang agak kuat dari pemangsa di bawah bot. Gerepoh berskala 4kg melarikan jig 150gm yang menjadi pilihan untuk mengunjun di perairan jarak kali ini.

 

Karen pemancing baru

Dikaren Gigil Pulau Jarak

Selesai sahaja bergambar dengan spesies tangkapan yang kuat melawan ini, giliran bob pula beraksi. Rod poseidon ‘spin jerker’ pe2.5 yang dipadankan dengan kekili daiwa saltiga z4500 kini mengambil bahagian beraksi di kala air mula mahu beralih dari surut kepada bunga pasang.

Joran poseidon yang berkekuatan pe2.5 ini cukup cantik beraksi dengan mudah menumpaskan seekor lagi ikan gerepoh (giant trevally) yang dianggarkan seberat 5kg. Bernard yang sedari tadi hanya memerhati dan membantu, kini turut beraksi sekali lagi hanya beberapa minit selepas bob melepaskan ikan gerepoh tadi. Tiada masalah bagi bernard kerana kali ini ikan gerepoh yang didaratkan hanyalah seberat 6kg, namun ia tidak mudah mengalah. Ini membuatkan bernard berjanji akan ke sini lagi bila ada peluang. Dah kena ‘karen’ la tuu…

 

Menjelang jam 3 petang, jig dihulurkan panglima ghaib disambar kasar penghuni dasar. Tali beberapa kali mencurah keluar dari kekili saltiga game 3500. Jig tersebut disambut di pertengahan air maka tidak syak lagi, mangsa pasti gerepoh bersaiz kasar. Pertarungan selama 15 minit akhirnya berpihak ke panglima ghaib yang tersenyum menaikkan gerepoh seberat 12kg.

Seketika kemudian, joran mahfudz pula direnggut kasar dan beberapa sentapan padu dilakukan untuk memastikan tancapan kemas mata kail, akan tetapi permainan hanya berlangsung beberapa saat. Diam seketika. 5 minit berlalu tanpa aksi dan gewang jig ini dirasakan telah tersangkut di karang.

Namun setelah dinasihatkan oleh abang lan, mahfudz hanya sabar menanti dan cuba merentap tali pada kekili avet jx 6/3 miliknya, dan kedapatan satu larian ke atas membuatkan mahfudz sedikit kaget. Rupanya gewang jig tadi ditelan oleh seekor kerapu yang cukup cantik.

Sesudah beberapa hanyutan terakhir dilakukan, akhirnya sekali lagi jig mahfudz bersambut kasar, mahfudz menyentap kemas dan cuba mengangkat tinggi joran dari posisi jigging yang normal dan terasa joran dihentak kasar membenam ke dasar. Hanya 6 minit sahaja diperlukan untuk mengarau seekor jenahak montel berskala 3kg ke atas bot. Mahfudz tersandar lega. Muka ada senyumm..!

Itulah ikan terakhir dalam trip ‘balik hari’ kali ini. Ini merupakan satu kejayaan pendek bagi pemancing baru seperti bernard dan mahfudz, sehinggakan mahfudz terlupa seketika dengan set pancing layang yang baru dibelinya.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI