Dibuli Tembaring Sungai Paitan – (siri 1/2)

Share

 

(oleh : Asrin Ahmad)

Ikan tembaring atau kanai memang spesies yang saya idamkan untuk memancingnya sejak sekian lama.

Namun belum pernah ada kesampaian lagi untuk memancingnya. Kalaulah Sabah tu dekat sahaja dan boleh berkereta dari Semenanjung, tentu sudah lama saya sampai.

 

Perkenalan dengan rakan dari Sabah, iaitu Ralf dan Alam yang bekerja di Semenanjung telah membuka pintu untuk saya sampai ke sana.

Itupun selepas mereka meracun saya dengan gambar-gambar tembaring dalam trip mereka terdahulu.

 

Selepas berbincang, lepak di kedai makan dan bersembang di whatsapp, saya akhirnya menjejakkan kaki kali pertama di bumi Sabah atau lebih tepat lagi di Sandakan iaitu di kampung halaman mereka sendiri.

 

KHAMIS (Day 1/6)

 

Setibanya di Lapangan Terbang Sandakan, kami bertiga, saya, Ralf dan Alam dijemput oleh adik Alam, Ulek dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju ke Kampung Sugut yang terletak kira-kira 4 jam perjalanan dari Sandakan.

 

Hari pertama tiba di Kampung Sugut, kami hanya berehat sahaja di rumah dan saya mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar kampung.

Malamnya kami menyiapkan peralatan senjata tempur.

Perasaan saya agak bercampur baur memikirkan bagaimanakah memancing ikan ini. Akhirnya saya terlelap buat kali pertama di bumi Negeri Di Bawah Bayu ini.

 

JUMAAT (Day 2/)

 

Selepas bersarapan, kami menuju ke di jeti berhampiran kampung berkenaan. Hanya lima minit sahaja dari rumah Alam dan lokasi pencarian tembaring adalah di Sungai Paitan.

Selain nama tembaring dan kanai, orang di sini juga menyebutnya dengan nama ‘temaing’.

 

Di situ telah tersedia dua buah bot dan rakan lain yang menunggu kami. Saya, Ralf, Ujang menaiki bot yang dibawa oleh Daus.

Manakala sebuah bot lagi yang dibawa oleh Farhan dinaiki oleh Ustaz Syukri, Alam dan Ulek.

 

Selepas 30 minit menaiki bot, kami memulakan trolling dan juga casting. Menurut Daus, mereka di sini lebih gemar bermain trolling dan bottom.

Sesekali sahaja melakukan kaedah casting. Namun pagi tersebut, kami kumpau sekumpaunya.

 

Selepas solat Jumaat, kami sekali lagi turun ke lokasi tidak jauh dari susur sungai yang pertama tadi.

Hasilnya kami berjaya memperoleh siakap merah, kerapu, baby GT dan juga anak alu-alu. Tiada tembaring berjaya di perolehi.

 

Setibanya dia sebuah persimpangan sungai yang agak strategik dengan keadaan struktur kayu bakau dan nipah yang tenggelam kami memberhentikan sampan.

Menurut tekong, inilah lokasi di mana banyak tembaring bersaiz mega pernah dinaikkan.

Apa lagi tanpa membuang masa saya dan Ralf memulakan sesi casting. Setelah lama memujuk penghuni dasar tiada seekor pun yang sudi menjamah.

 

Kami meneruskan sesi trolling di kawasan tersebut. Baru seminit Ralf menunda rod Megabass Destroyer dipadankan dengan kekili Shimano Exsense DC telah menerima sentapan kasar.

Gewang Zerek saltwater series dengan kekuatan tali sulam 40lb berserta tali perambut Sufix 50lb ditekan ke bawah.

Keadaan menjadi kelam kabut disebabkan tali keluar mencurah-curah. Hanya beberapa minit bertarung ikan berjaya melepaskan diri.

Kami melihat kesan ragutan ikan memang sah ini tembaring. Jelas tertera gigitan bersaiz 1 inci seperti pontianak bak kata tekong kami. Anggaran saiz dalam 3 kilo ke atas.

 

Di penghujung waktu petang, saya dikejutkan bunyi sambaran yang kuat oleh bot di sebelah. Rupa-rupanya Ustaz Syukri yang melontarkan gewang pensil ke arah tebing, telah mendapat satu sentapan kuat.

Saya melihat bagaimana Ustaz Syukri bergasak menahan tali dari terus keluar dari spool kekilinya.

 

Disebabkan setup yang digunakan oleh Ustaz Syukri agak kasar, iaitu rod PE 1-3, kekili Penn Conflict 4000, tali braided 40lb dan perambut 50lb, akhirnya tembaring seberat 3.7 kg memihak kepadanya.

Kami semua tumpang gembira dengan tangkapan tersebut, lebih-lebih lagi empunya diri yang baru berjinak dengan teknik casting.

Ini menambahkan lagi semangat kami yang tengah berkobar-kobar memburu ikan pujaan kaki casting  Lewat petang, kami pulang semua ke jeti Kampung Sugut sambil memujuk hati saya, “esok masih ada”.

…bersambung

 

GALERI

 

Published by
Amang