“Dengan Siapa Aku Mancing Tadi?”

Share

 

“Pukul 10 malam nanti kamu tunggu aku kat pondok tepi sungai tu!” teriak Aboy sambil berlalu pergi dengan Honda EX5nya.

Cadangnya, mereka berdua hendak memancing di Sungai Perak yang diketahui umum masih banyak lagi penghuninya. Menurut Aboy sekarang ni musim ikan patin dan tenggalan sedang galak meragut pancing. Lebih kurang 10.20 malam, kelihatan Rahimi tergesa-gesa menunggang motosikalnya menuju ke pondok yang dijanjikan.

 

“Iskh… macam mana boleh terlelap pulak tadi ni,” gerutu hatinya. Dia sudah terlewat daripada masa yang dijanjikan. Sampai sahaja di pondok, dilihatnya sesusuk tubuh seorang lelaki sedang menunggunya di situ. Walaupun keadaan malam agak kelam tapi dia kenal itu ialah Aboy yang sedang menunggunya.

 

“Minta maaf Aboy, aku tertidur tadi. Lama dah ke kamu tunggu?” tanya Rahimi sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pertanyaannya tidak dijawab oleh temannya itu. Masih marah agaknya kat aku teka Rahimi dalam hatinya. Tanpa sebarang jawapan, terus sahaja Aboy berjalan laju membawa perkakas memancing di hadapan dan Rahimi hanya mengekori sahaja.

 

 

Dengan bantuan lampu suluh, mereka berdua terus berjalan menuju ke Lubuk Batu yang terletak tidak berapa jauh dari pondok perjumpaan mereka. Dalam 15 minit sahaja berjalan kaki sudah sampai ke tempat yang agak popular di kalangan pemancing tempatan.

 

Lubuk ini bukan sahaja terkenal kerana penghuninya yang bersaiz mega tapi terkenal juga dengan pelbagai kisah misterinya. Tambahan pula di sebelah lubuk ini adalah kawasan perkuburan lama. Ini menambahkan lagi keseraman kawasan ini. Tapi, memancing punya pasal semua perkara itu ditolak ke tepi.

 

Sebaik sahaja sampai, tanpa berlengah lagi umpan dipasang untuk menduga penghuni lubuk itu. Umpan buah ara yang dipotong dadu diharapkan dapat memikat ikan patin atau apa sahaja ikan yang ada di sini. Tidak sampai 5 minit, joran Rahimi melengkung dengan kuat tanda umpannya sudah mengena. Sepantas kilat Rahimi terus mengepam talinya.

 

 

“Baru baling terus kena!!” teriaknya sambil melayan tarikan ikan dengan berhati-hati agar tidak terlucut. Hasil pertamanya ialah ikan patin seberat 2 kilo. Dengan semangat berkobar, segera dicangkukkan lagi umpan buah ara untuk mendapatkan hasil yang kedua.

“ Aku dapat lesen dah ni. Kamu bila lagi?” gurau Rahimi kepada Aboy yang dari tadi senyap tidak bersuara.

 

Sejam sudah berlalu, tapi Rahimi masih tidak putus-putus menerima sentapan dan tarikan ikan. Memang banyak rezeki dia malam tu. Tong yang dibawanya hampir penuh dengan ikan.

 

Dalam melayan sentapan ikan hatinya berasa tidak sedap hati kerana rakannya langsung tidak bersuara. Hanya duduk membatu memandang ke sungai sambil memeluk kedua kakinya. Dia baru perasan cahaya bulan malam tu seolah-olah menembusi tubuh temannya. Rahimi mula rasa gelisah.

 

 

Tiba-tiba temannya berpaling memandangnya. Dengan mata yang dan wajahnya yang menakutkan mengejutkan Rahimi. Barulah disedarinya bahawa itu bukan Aboy temannya. Dalam situasi yang tidak disangka itu ia teringat pesanan orang tua iaitu jika terjumpa dengan benda misteri buat seolah-olah tidak nampak sahaja.

 

Makhluk itu menghampirinya. Jantung Rahimi seperti hendak gugur berdegup kencang tetapi digagahinya juga seolah-olah dia tidak nampak makhluk itu yang sudah duduk di sisinya. Dalam kesunyian malam itu tiba-tiba makhluk itu berbisik ke telinga Rahimi.

“Pura-pura tidak nampak iye.…..”

 

Tidak tahu betapa lajunya Rahimi berlari ketakutan meninggalkan lubuk itu. Segala peralatan memancingnya ditinggalkan.

 

Inilah pertama kalinya dia mengalami pengalaman sebegini. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh walaupun cuaca malam itu dingin sekali.

 

 

“Rahimi!! Rahimi!” teriakan suara memanggil namanya mengejutkannya.

Kelihatan Aboy sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya.

 

“Aku minta maaf sebab tak dapat ikut kamu memancing semalam. Mak aku tiba-tiba kena lelah. Aku kena hantar dia ke hospital semalam. Aku tak sempat nak beritahu kamu malam tadi,” tutur Aboy.

 

Rahimi terpinga-pinga. Dia kelihatan keliru dan wajahnya sekali lagi bertukar menjadi pucat. Dia teringat tentang ‘Aboy’ yang bersamanya memancing malam tadi tanpa suara. Patutlah selama ini, pesan orang-orang tua di kampungnya selalu berkata kena beringat ketika memancing dan hendaklah berteman, lebih-lebih lagi di waktu malam, terutama di Lubuk Batu.

 

 

Dia yang selama ini, tidak pedulikan langsung teguran dan nasihat, akhirnya akur perlu sentiasa berhati-hati ketika keluar memancing. Selepas menceritakan apa yang berlaku Aboy, ternyata Rahimi begitu fobia untuk keluar memancing, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Published by
Amang