Toman adalah spesies ikan air tawar yang digemari para pemancing kerana ‘tarikannya’ yang kuat ketika menyambar gewang.
Gewang pilihan untuk menjerat toman terdiri daripada popper, pencil, minnow, crankbait, spinnerbait, buzzbait dan jump frog yang menjadi pilihan pemancing.
Namun, bukan semua toman akan terbuka seleranya menyambar gewang-gewang berkenaan.
Sebagai pemancing kita perlu mencuba setiap gewang berlainan jika ikan kurang menyambar gewang. Lihat situasi dan keadaan ketika itu.
Contohnya, jika di empangan atau di spot yang air dalam, penggunaan top water mungkin tidak begitu efisien digunakan seharian dan kita perlu juga menggunakan gewang selaman dalam.
Trip casting
Trip kali ini diajak oleh seorang rakan yang kerap memancing menggunakan botnya sendiri di sebuah empangan di utara tanah air.
Terus sahaja saya bersetuju untuk menyertai komplot tersebut. difahamkan air di empangan ketika itu sangat rendah dan target kami ialah casting haruan dan juga mencari toman.
Pada awal pagi, kami terlebih dahulu mencari sebarau. Tiada sebarau besar diperolehi, hanya sebarau juvenil yang sudi menyambar gewang kami.
Namun, tanpa disangka rakan saya, Howg mendapat satu sambaran yang kuat apabila gewang DUO Realis Vibration sampai dasar dan terus mendapat strike dan ikan baung seberat 2 kg dinaikkan.
Ads
Haruan
Air empangan yang surut, menyebabkan haruan begitu frenzy dan galak menyambar gewang ketika kami tiba di spot haruan.
Baling apa sahaja, begitu mudah mendapat sambaran. Pada pengalaman saya, penggunaan untuk casting haruan adalah satu teknik yang sangat unik kerana kita perlu
tahu mengubah dan mencuba teknik yang berlainan seperti karuan perlahan, cepat, berhenti beberapa saat atau pun sedikit henjutan.
Ia lebih mengasyikkan berbanding cara biasa menggunakan jump frog.
Toman
Pada sebelah petang kami keluar mencari toman pula. Setibanya di lubuk, kami melihat beberapa ekor toman yang muncul di permukaan air dan terus saja saya melontar ke arah ia timbul.
Dengan beberapa karauan dibuat, saya berjaya memperoleh strike dengan menggunakan gewang deep diver.
Ads
Di lubuk ini, kami memperoleh dua ekor toman dan lagi dua sambaran, tetapi tidak lekat sebelum kami berpindah ke lubuk lain.
Setup untuk toman
Bagi saya, jika untuk memancing toman jangan malu untuk menggunakan tali utama (main line) yang kasar.
Sebabnya lubuk toman sekelilingnya bangkar-bangkar kayu yang timbul dan tumbang. Kebaikan menggunakan tali utama bersaiz kasar adalah untuk mengheret toman keluar
dari lubuknya dan ia dapat bertahan lebih lama jika bergeser pada pokok ketika di dalam air.
Bagi saya, tali utama 40-50lb lebih baik daripada tali 15-25lb. Bayangkan, seandainya menggunakan tali berdiameter halus, bila toman timbul dicelah-celah pokok, pastinya kita tidak berani nak cuba casting kerana bimbang tali akan putus bila bergeser dengan pokok.
Gewang Pilihan Deep Diver untuk Toman:
Ads
Pada pengalaman saya, penggunaan dan pemilihan gewang sangat penting untuk menjerat toman.
Bukan setakat memilih gewang tetapi aksi memainkan gewang juga penting. Kita perlu mencuba berbagai-bagai teknik untuk memainkan gewang jika ikan kurang aktif.
Anda boleh membuat karauan perlahan, laju atau sedikit henjutan untuk memainkan aksi crank bait.
Saya gemar menggunakan jenama Evergreen Combat Crank dari jepun. Model ini terdapat beberapa jenis kedalaman yang berbeza.
Evergreen Combat Crank
Gewang model pilihan saya ialah Combat Crank 250, 320 & 400 untuk menjerat toman di empangan.
Jika di lubuk yang lebih cetek, anda boleh memilih saiz 60, 120 dan 180. Ia terpulang kepada anda dan padang pancing yang berlainan.
Saya sendiri juga mencuba deep diver jenama yang berlainan dan model yang tak sama tetapi saya akan beralih balik ke gewang Evergreen Combat Crank kerana gewang ini di
reka sangat sempurna dari segi berat, aksi, rattle, boleh cast jauh dan rekaan gewang ini tidak dibawa angin seperti gewang lain dan yang penting, gewang ini juga boleh dimainkan dengan karauan laju dan gewang masih beraksi dengan bagus sekali di dalam air.
Bukan semua gewang crank bait boleh di karau laju dan selalunya anda akan perasan gewang berputar sampai ke permukaan air dan tidak dapat menyembahkan aksi yang sepatutnya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
8 Julai bersamaan 14 Syawal, ketika kebanyakan orang lain sibuk menganjur atau menghadiri rumah terbuka sempena Aidilfitri, saya bersama sembilan lagi rakan yang berkongsi hobi sama, meraikan rumah terbuka dengan konsep yang berbeza.
Setelah menyuarakan perancangan dan mendapat sambutan menggalakkan dari rakan-rakan yang maka kami jayakan trip memancing dengan konsep hari raya.
Secara tidak langsung ia perjumpaan hari raya tanpa perlu bertandang ke rumah antara satu sama lain untuk berhari raya.
Sebagai yang dirancang saya, Junaidah, Fazila, Azimah, Shana, Hanim, Mastura, Anum, Ekin dan Ira bertemu di atas kelong kupang, di Sabak Bernam lengkap berpakaian hari raya.
Setelah bersalaman dan berbual sebagaimana laku kaum hawa bertemu di musim perayaan, kami segera melaksanakan matlamat utama ke kelong kupang ini, apa lagi kalau bukan memancing!
Hakikatnya bukan saya seorang, malah hampir semuanya tidak sabar-sabar lagi untuk menghayun joran dan mengayuh kekili setelah lama berehat panjang.
Tambahan pula ketika kami tiba di kelong ini air sedang pasang. Jadi kami tidak mahu melepaskan waktu memancing yang ideal ini begitu sahaja.
Berbekalkan udang hidup yang ditempah daripada tuan kelong dan udang mati yang dibawa sendiri, kami memulakan sesi memancing dengan penuh kegembiraan.
Tanpa perlu menunggu lama, umpan yang kami labuhkan tidak jauh dari kawasan kelong menerima getuan ikan.
Ikan-ikan lazim yang biasa ditemui di kawasan kelong seperti gelama, bulus, duri dan tetanda menjadi tangkapan awal yang diperoleh.
Boleh dikatakan semua joran ahli trip mengena. Walaupun ia bukanlah ikan sasaran utama namun ia tetap menggembirakan kami.
Kami tak kisah ikan apa yang nak makan umpan kami. Nama pun memancing di kawasan kelong yang sememangnya menjadi habitat ikan-ikan tersebut.
Jika ada rezeki dan bersabar, pasti akan muncul juga ikan-ikan idaman seperi pari, jenahak, senangin serta kerapu.
Sebelum lewat petang seekor sotong kurita memakan umpan dan tersangkut pada mata kail. Tanpa berlengah saya segara menjadikan sotong kurita itu sebagai umpan.
Setelah tiga puluh minit menanti tanpa sebarang sambaran, saya karau kembali pancing yang menggunakan umpan sotong kurita tersebut.
Kemudian saya lontar kembali sotong kurita yang sudah mati dan hanya tinggal badan dan kepala sahaja. Tanpa disangka-sangka lima belas minit kemudian joran saya melengkung dan tali pancing diseret keluar.
Pantas saya mencapai joran dan gigih berusaha menjinakkan ikan yang memakan umpan sotong kurita mati tersebut. Beberapa minit kemudian saya berjaya juga mendaratkan seekor ikan pari dalam anggaran tiga kilogram ke atas kelong.
Biarpun ikan pari tersebut merupakan tangkapan terbesar dalam trip ini namun saya belum berpuas hati kerana tangkapan rakan-rakan lain turut hebat.
Ada yang berjaya menaikkan senangin dan ada juga yang berjaya dapat jenahak. Justeru itu sejurus kembali ke daratan keesokan petangnya, saya bertekad untuk kembali lagi ke kelong kupang untuk mencari jenahak pula.
Tidak lama dulu, sempena cuti hujung tahun, saya berkesempatan melawat sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak. Memandangkan saya peminat pancingan sungai pegunungan, peluang tersebut tidak disia-siakan dengan membawa set memancing ringkas untuk menduga penghuni sistem sungai di Ulu Baram, salah satu sungai terbesar di Sarawak selepas Sungai Rejang.
Namun, kerana kekurangan informasi mengenai keadaan di sana, saya dibuli teruk kerana set tidak sepadan dan kekurangan peralatan. Dari itu, saya telah merancang rapi satu trip ‘balas dendam’ setahun berikutnya dan berjaya merasai sendiri pengalaman hebat bergasak dengan ikan yang digelar raja sungai pegunungan dengan kaedah casting atau mengilat.
Setibanya di Miri, di mana saya bersama isteri dan adik yang juga kaki mengilat telah dijemput oleh Henry Agang selaku guide kami dan bermulalah perjalanan Ke hulu Sungai Baram melalui jalan balak selama 8 jam.
Kami tiba di sebuah perkampungan etnik Kenyah kira-kira jam 7.00 petang. Tidak banyak info yang boleh dilakukan malam itu kecuali menyiapkan diri serta peralatan untuk keesokan harinya.
Tempat penginapan kami boleh dikatakan mewah dengan keadaan rumah panjang yang cantik dan bersih, bekalan air pegunungan yang tiada had serta generator untuk bekalan elektrik.
Pagi berikutnya, walaupun saya bangun awal kerana tidak sabar untuk melontar gewang, namun perjalanan belum dapat diteruskan kerana masalah bot dan enjin sangkut. Menjelang tengah hari barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.
Long Buang, salah sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Baram menjadi sasaran kami, hanya terletak kira-kira 30 minit menghulu dari perkampungan tersebut namun perjalanan terasa amat lama kerana keadaan sungai yang cetek dan deras dengan bongkah-bongkah batu besar di tengah-tengah sungai membuatkan enjin 15hp bagaikan hanya berkuasa 2hp lajunya.
Setibanya di Long Buang, kami terpaksa meninggalkan bot di muara kerana air sungai terlalu cetek. Rancangan asal adalah untuk terus berjalan kaki ke hulu di mana terdapat banyak lubuk besar dan dalam namun memandangkan kami hanya mempunyai masa setengah hari untuk memancing maka rancangan diubah untuk hanya menduga lubuk-lubuk kecil berdekatan muara.
Saya menggunakan set padanan Abu Garcia Revo MGX dengan rod custom 4-7lb, satu set ringan kerana berpendapat kawasan dekat muara ini tiada saiz ‘monster’ berikutan lubuknya yang kurang dalam. Namun lontaran pertama sesudu Abu Island II Gold 12 gram terus sahaja bersambut.
Saya dapat menjangkakan bahawa ini perbuatan sebarau kerana sambaran diterima ketika sesudu baru tenggelam dan larian pertamanya yang padu namun agak singkat. Setelah dihela ke tebing seekor sebarau dua belang dalam anggaran berat 500 gram berjaya dinaikkan.
Saya difahamkan, di lubuk ini hanya sebarau dua belang sahaja yang menghuni. Dan berdasarkan pengalaman memancing spesies ini di kebanyakan lokasi di Sarawak, daya juang sebarau dua belang jauh lebih hebat daripada saudaranya satu belang.
Dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang, badan yang lebih ‘ streamline’ dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan ‘sebarau Borneo’ ini.
Memandangkan hari semakin lewat tengah hari, kami memutuskan untuk casting secara ‘rapid’ dalam usaha mendapatkan lauk untuk makan tengah hari kerana kami hanya membawa nasi sahaja sebagai bekalan makanan.
Lagipun menurut guide kami, adalah senang untuk mendapat lauk-pauk di dalam perjalanan sebab banyak paku-pakis dan tumbuhan hutan lain yang boleh dimakan bersama ikan yang dipancing nanti.
Sebarau dan anak tengas rata-rata dalam lingkungan berat 500-900 gram berjaya kami naikkan. Dalam masa lebih kurang setengah jam casting hasil keseluruhan 3 orang ‘caster’ untuk dijadikan lauk kami adalah lebih kurang 15 ekor.
Agak menyedihkan, kerana terpaksa mengambil juvenil untuk dijadikan hidangan. Nak buat macam mana, survival.
TRIP PETANG
Setelah makan, kami berkemas untuk meneruskan agenda sebenar trip. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meminimumkan bunyi bising dan setiap kumpulan diberi lubuk masing-masing untuk digempur.
Di satu lubuk yang dalam, lontaran pertama saya terus bersambut. Sesudu Abu Island II 12 gram disergap pemangsa jauh di dalam lubuk ketika dibiarkan tenggelam.
Drag kekili Abu Garcia Mgx disetkan tinggi namun tali mencurah-curah keluar. Saya terpaksa menambah tegangan dengan ibu jari menahan spool yang ligat berpusing. Ikan berjaya dihalang daripada masuk ke kubunya dan dilayan sehingga letih.
Kira-kira 2 minit kemudian ternampak kelibat ikan di dalam air yang sejernih kristal. Agak kecewa kerana apa yang menonjol adalah dua garisan melintang di tengah badan ikan.
Badong rupanya… ingatkan kelah sebab tarikannya memang syok habis. Yelah kan, penulis belum ada pengalaman bertarung dengan kelah, masih kurang arif dengan lariannya. Bacaan pada ‘lip grip’ menunjukkan angka 5 lb. Lebih kurang 2 kilo lebih. Memang puas hati.
Berita daripada kumpulan lain agak kurang memuaskan. Hanya sebarau juvenil yang banyak dinaikkan untuk hari pertama. Memandangkan hari semakin lewat kami bergerak balik pada pukul 5.00 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami merancang untuk memancing dasar pada malam harinya, namun selepas sahaja berehat, semuanya terus hanyut tertidur dek keletihan. Keesokan harinya, kami bertolak agak lambat kerana porter dari suku kaum Penan yang diupah untuk mengangkat enjin sangkut ke perahu datang lambat.
Jam 10 pagi barulah kami dapat bergerak ke Long Buang. Hari ini, kami merancang untuk pergi lebih jauh ke hulu demi mendapatkan lubuk-lubuk besar yang dalam. Sepanjang ‘trekking’ menghulu tersebut, saya sempat melempar sesudu di kawasan-kawasan yang difikirkan berpotensi.
Sebarau amatlah banyak, sehingga ‘blind cast’ pun bersambut. Sekali-sekala anak-anak tengas juga turut terjerat. Strategi hari ini juga seperti hari sebelumnya.
Kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk meneroka lubuk-lubuk. Jam 2 petang kami berkumpul semula untuk rehat makan. Sementara menunggu api hidup dan memasak, saya mencuba di sebuah lubuk berdekatan lokasi kami berehat.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan walaupun dalam keadaan bising dengan semua anggota trip berkumpul dan memasak. Saya masih lagi mencuba beberapa balingan.
Dalam satu balingan yang ‘miss q’, tali dalam spool menjadi kusut. Sesudu terus tenggelam ke dasar sementara saya membetulkan tali.
Pada karauan pertama, sebaik sesudu terangkat dari dasar,terasa satu terjahan padu menghentam dan menarik tali mencurah-curah dari kekili. Setelah dilayan seketika, menyerahlah seekor kelah dalam anggaran 600gram.
Selain sesudu, saya turut mencuba gewang selaman dalam berwarna terang yang menyerupai buah-buah hutan. Rapala Fat Rap 5cm berwarna Golden F1 Red (GFR) amat laku di sini. Dua kali tali utama 30 lb saya putus.
Mungkin kesilapan saya sendiri kerana menggunakan tali yang terlampau halus. Tali Gtech walaupun kuat, ia mungkin tidak dapat menahan geseran dengan batu-batu di dasar sungai lalu terputus.
Menjelang petang, kami bertolak balik dengan azam untuk ‘repeat’ keesokan harinya. Namun keesokannya, niat kami terbantut apabila hujan lebat turun sepanjang hari menyebabkan sungai menjadi keruh.
Kami memutuskan memancing dasar berumpankan cacing di Sungai Baram. Keputusannya beberapa ekor baung berjaya kami perolehi. Highlight hari ketiga ini adalah pertarungan isteri saya, Lydia dengan ikan misteri yang berjaya melepaskan diri walaupun dilayan dengan menaiki bot.
Menurut guide, mungkin angkara ikan ‘Keramu’ (bahasa Kenyah) iaitu spesies baung besar berwarna kelabu.
HARI TERAKHIR
Keesokannya harinya, cuaca begitu baik dan kami mengambil keputusan kembali ke Long Buang yang telah kembali jernih. Saya bergerak seorang diri menghulu sungai, mendahului ahli-ahli yang lain.
Keadaan lebih sunyi dan ikan kurang menyedari kehadiran pemancing menyebabkan penulis ‘lost count’ sambaran sebarau dan anak kelah yang dinaikkan tapi sayang tiada orang untuk merakamkan detik pertarungan.
Bergambar pun jadi malas sebab tiada sebarau dan kelah ‘monster’ sudi menjadi model. Namun, purata berat ikan-ikan yang dinaikkan tidaklah mengecewakan, memang ada ‘fight’! Kira-kira jam 4.00 petang kami bergerak balik menyusuri sungai. Sedih meninggalkan syurga sebarau ini. Namun kami akur dengan keadaan masa yang mencemburui kami.
Dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, saya meminta agar bot berhanyut kerana mahu melontar gewang di sepanjang Sungai Baram sehingga ke kawasan kampung. Beberapa minit kemudian, lontaran Rapala Fatrap 5cm GFR ke satu sudut lubuk disergap sesuatu ketika gewang menyelam maksimum. Berdasarkan kedalaman strike zone itu, saya dapat membuat tekaan angkara siapa.
Sentapan balas dibuat dan larian tiada henti pun berlaku. Berdesit-desit tali keluar dari kekili. Penulis hanya mampu berharap tali utama, perambut, ikatan FG knot, swivel, split ring dan segala macam peralatan dapat bertahan.
Mujur perahu yang digunakan berada jauh dari tebing maka ikan dapat dihalang daripada masuk ke mana-mana reba yang sememangnya banyak di kawasan tebing sungai.
Apabila dirasakan ikan menyerah kalah, tali dikarau dengan cepat dan berhati-hati, manalah tahu pecutan tiba-tiba berlaku. Putih mata dibuatnya kalau putus lagi.
Kira-kira 10 minit kemudian,ikan berjaya dihela ke permukaan dan satu kilauan perak yang besar kelihatan. Gembira bukan kepalang apabila melihat ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘jembala’ oleh penduduk tempatan menyerah kalah di tepi bot.
Namun kegembiraan itu tidak lama, digantikan dengan ‘sense of urgency’ untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot kerana cangkukan mata treble VMC 4X di mulut ikan kurang kemas.
Sejurus terlantar di lantai bot, gewang terlepas dari mulut ikan. Mujur sempat dinaikkan. Gambar diambil sambil membelek kagum kecantikan ikan tersebut.
Dengan kejayaan menaikkan kelah tersebut, maka berakhirlah trip idaman bagi penulis, namun kejayaan ini telah menanamkan tekad untuk kembali lagi suatu masa nanti.
Bagi penggemar spesies peacock bass ataupun ikan raja mengikut panggilan orang tempatan, taburan lombong di sekitar Air Kuning yang terletak di negeri Perak ini sudah tidak asing lagi bagi kaki-kaki pancing yang menggunakan teknik casting serta fly fishing.
Pasti ramai yang bersetuju peacock bass atau ramai juga yang menyebutnya ikan PB di sini boleh diperolehi dalam kuantiti yang banyak dan bersaiz agak kasar berbanding tempat-tempat lain.
Maka, tidak hairanlah mengapa ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasakan tarikan padunya.
Tambahan pula ia mudah ditemui kerana populasinya yang begitu baik sekali di kawasan ini disebabkan sumber makanan yang begitu banyak serta kemampuan spesies ini untuk membiak dengan begitu mudah dan cepat.
POTENSI SPOT PANCINGAN
Saya sendiri tidak melepaskan peluang untuk menjejak spesies pendatang yang semakin mendapat tempat di hati kebanyakan kaki pancing yang meminati teknik mengilat.
Kegilaan peacock bass di sini menghentam gewang-gewang permukaan pada awal pagi dan lewat petang serta ada kalanya sewaktu matahari tegak di atas kepala menyebabkan saya sering gigil tangan kerap ‘repeat’ ke Air Kuning.
Spot-spot lazim seperti Bird Sanctuary, Little Kenyir, Peacock Point dan Port Kandang menjadi port biasa yang sering saya kunjungi setiap kali ke sini.
Setelah beberapa kali menduga dan mengamati tabiat ikan di sini, saya dan pendapat beberapa orang rakan pengilat lain berpendapat bahawa paras air yang paling sesuai untuk
memancing adalah semasa air sedang menurun dari paras paling tinggi selepas musim hujan.
Waktu itu, akan banyaklah kelibat peacock bass menghambur anak ikan di permukaan air terutamanya pada waktu awal pagi.
Namun ada juga pemancing yang gemar mengilat spesies predator ini sewaktu paras air benar-benar surut kerana pada ketika itu PB banyak berlegar di luar kawasan samai yang telah cetek.
Sedar atau tak, sudah agak lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies pendatang ini.
Malah, bukan hanya di Air Kuning sahaja, tetapi di sekitar lombong di Malim Nawar, Temoh, Mambang Di Awan, Kampung Pisang dan Kampung Gajah juga sudah banyak diperkatakan tentang kewujudan populasi PB.
Malah, sejak tahun 90-an lagi ramai yang sudah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini.
POTENSI SAMBARAN
Sama seperti tempat lain, peacock bass Air Kuning tidak segan silu menghentam pencil dan popper berukuran 5-7cm lebih-lebih lagi ketika ia begitu galak menghambur anak-anak ikan di permukaan air.
Malah, toman, haruan, sebarau dan jelawat juga banyak diberitakan gemar menghentam gewang permukaan.
Gewang-gewang seperti Megabass dog-x, Jackall mudsucker, Ofmer catwalk, Yo-zuri 3D/3DS popper serta Jackson RA Pop sering diperkatakan akan keberkesanan penggunaannya di kalangan pengilat yang berkunjung ke sini.
Warna lazim adalah skema terang seperti fire tiger, merah dan oren. Warna natural dan transparent juga begitu efektif untuk digunakan di sini semasa matahari telah semakin meninggi.
Waktu ini, penggunaan gewang selaman, suspending dan sinking lebih praktikal terutamannya Storm flutterstick, Lucky Craft wander dan Smith pannish.
Penggunaan soft plastic dan clouser spinfly yang diikat pada pemberat juga antara yang popular digunakan bagi memujuk PB yang berlegar jauh di bahagian dasar lombong.
Satu lagi kaedah yang efektif untuk diaplikasikan di sini adalah teknik tundaan menggunakan gewang selaman dalam.
Antara spesies lain yang biasa didaratkan dengan menggunakan teknik ini adalah belida, toman, baung dan juga tapah.
MOMEN INDAH SEORANG PEMANCING
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat melakukan aktiviti bersama rakan yang berkongsi minat yang sama.
Ada kalanya kegembiraan memancing dengan rakan-rakan baik sudah cukup memadai biarpun kumpau seharian. Kalau beroleh sambaran tu sudah dikira bonuslah bagi seorang pemancing.
Justeru, saya menyeru kepada kaki pancing semua untuk bersama-sama mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika memancing demi menjamin alam sekitar kita supaya terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Faktor keselamatan diri juga harus dititikberatkan oleh oleh kaki pancing. Kadang-kadang dengan sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah.
Bagi yang gemar boating di Air Kuning, saya menyeru gunakanlah sentiasa jaket keselamatan sebagai langkah keselamatan diri. Malang tidak berbau.
Perlu diingat lombong Air Kuning adalah bekas lombong bijih timah dan ia adalah dalam!
Selain itu, demi memastikan stok ikan terutamanya spesis-spesis tempatan di perairan kita sentiasa terpelihara, amalkanlah ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun mengehadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).
Bukannya apa, semoga dengan usaha yang kita amalkan ini turut sama dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan terutama untuk anak cucu kita pada masa hadapan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...