Cerita Memancing – Lupakan Dapur Sekejap

Share

 

Cerita Memancing – Lupakan Dapur Sekejap

Tugas sebagai suri rumah memang tidak pernah habis. Mengurus makan pakai anak-anak dan suami, membasuh, memasak, menyapu, mop sana…mop sini, jadi sekali-skala turun memancing dapatlah release tension kata orang.

 

Bila pelampung bergedik-gedik, tenggelam timbul, tenggelam timbul dan tenggelam terus maka tunggu apa lagi, teruslah sentap. Nak kau…bapak puyu menggelupur di hujung kail.

Bila ia mengembangkan sirip dan insangnya yang tajam, tak kuasa nak memegangnya. Tak fasal-fasal luka pula kang. Suami yang jadi mangsa. Dialah yang melepaskan mata kial dan memasukkan ikan ke dalam karung.

 

 

Seekor lagi cengkerik dicangkuk pada mata kail. Yang ini hitam pekat warnanya. Bila umpan sudah tenggelam, mata tertumpu ke arah pelampung selipar jepun yang dipotong dadu.

 

Tiba-tiba pelampung hilang daripada pandangan. Tali tangsi tegang habis. Terus joran teleskopik 8 kaki dirembat ke atas. Melengkung habis kali ni. Mama keli pula yang mengambil giliran untuk berhimpit dengan beberapa ekor puyu di dalam karung plastik beras.

 

Umpan dah habis. Tang tinggal Cuma seekor sahaja. Itu pun cengkerik yang sudah penyek.

“Boleh… boleh guna lagi tu,” kata suami. Beberapa saat sahaja cengkerik itu berada di dalam air, seekor ikan selat atau potok (kaum kerabat belida agaknya) berjaya didaratkan dan menggelepar di atas tanah.

 

 

Memancing memang seronok. Boleh jadi ketagih dibuatnya. Sebab itu, ada suami yang ‘tak makan dek saman’. Hujan ke, panas ke, ribut pasir mereka semua tak peduli. Janji dapat tengok air paya, kolam, sungai pun sudah memadai.

“Dapat ikan ke tidak, itu nombor dua,” kata suami saya.

 

Bila terjebak di dalam dunia memancing ini, rupa-rupanya betullah. Bila ikan dah di hujung jari, terlupa dapur sekejap. Tarik jangan tak tarik!

Published by
Amang