Lokasi terakhir kami ialah memancing di sebuah Empangan yang berhampiran dengan Pantai Desaru iaitu Empangan Sungai Lebam. Kami menyewa sebuah bot laju untuk casting di empangan ini.
Empangan ini sangat dikenali oleh kaki pancing yang tinggal berhampiran kerana populasi toman yang banyak mendiami Empangan ini. Selain itu dikhabarkan juga, terdapat patin dan tapah bersaiz gadang pernah ditewaskan oleh pemancing sebelum ini di sini.
Cuaca yang berangin dan mendung memberi kelebihan untuk casting sepanjang hari. Memancing di empangan ini tidak mengecewakan. Banyak ikan toman berjaya diperoleh di sini. Gewang minnow dan selaman dalam cukup laku lebih-lebih lagi buat toman bersaiz remaja.
Ads
Terdapat juga di beberapa lokasi empangan ini diselaputi rumput-rumput panjang. Kami dapati, toman juga banyak menghendap mangsa di celah-celah rumput yang panjang.
Umpan katak tiruan kalis sangkut juga yang dibawa memberi banyak kelebihan semasa memancing di sini. Artoz juga berjaya menangkap seekor haruan yang beratnya hampir 2 kg. Setiap hasil tangkapan di empangan ini kami lepaskan semula dengan selamat.
Ads
Kembali Pulang
Tamatnya memancing di Empangan Sungai Lebam, bermakna kami telah mengakhiri trip marathon kami di Johor Bahru.
Ads
Lokasi berbeza-beza serta variasi pancingan yang pelbagai telah kami kunjung sepanjang 5 hari kami berada di Negeri Johor. Pancingan di kolam, muara, laut dan empangan ternyata telah memberi kami satu kepuasan memancing yang maksimum.
Walaupun tidak semua kunjungan kami berjaya, tetapi kami tetap gembira memancing di negeri Johor ini dan amat berterima kasih kepada warga JFT terutama Che Wan kerana sudi melayan kami sepanjang kami berada di sini. Kami pasti akan kembali lagi ke negeri Johor kerana banyak lagi spot-spot menarik untuk memancing yang belum kami kunjungi lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sejak sekian lama saya telah diapi-apikan dengan cerita tenggiri yang memasuki perairan Pantai Timur. Oleh kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, maka hajat untuk menduga perairan ini terpaksa saya tangguhkan ke tahun ini.
Segala perancangan dibuat bagi mendapatkan waktu yang sesuai untuk menduga perairan ini. Setelah menghubungi semua rakan-rakan kaki pancing tegar, maka tarikh telah ditetapkan pada bulan April untuk menguji perairan Pekan, Pahang.
Seminggu sebelum kami menyertai trip ini, tekong telah memberitahu bahawa ikan tenggiri telah menyerang perairan Pekan, Ini membuatkan kami tidak sabar untuk menduga perairan tersebut.
Pada awalnya kami disertai oleh 10 orang ahli, tetapi pada saat-saat akhir, hanya 8 orang yg mengikuti trip ini.
Trip ini juga disertai seorang otai bagi pancingan laut iaitu Uncle Chong. Beliau banyak memberi tip dan teknik untuk memancing di laut dalam.
Kami memulakan perjalanan dari ibu kota pada pukul 2.30 pagi. Kami tiba di Pekan pada pukul 6 pagi dan terus bersarapan di sana. Pada pukul 7, kami bertemu dengan tekong dan terus membawa kami ke jeti.
Kami menaiki bot sepanjang 36 kaki yang di kemudi oleh tekong Che Min. Tekong Supian bertindak sebagai awak-awak. Ini bermakna dalam trip kali ini kami disertai oleh 2 orang tekong yang mempunyai banyak pengalaman di perairan ini.
HARI PERTAMA
Kami memulakan perjalanan menuju ke Unjam yang terletak 20 batu nautika dari pantai untuk mendapatkan umpan hidup seperti tamban, kembung, selar dan kerisi.
Setibanya di unjam, tekong memberi isyarat untuk menurunkan apollo untuk mengutip seberapa banyak umpan hidup untuk dijadikan umpan untuk ikan tenggiri.
Sedang rancak kami mengunjun mata apollo, tiba-tiba kekili Ryobi Ecusima 6000vi milik Uncle Chong berdesing. Kami sangkakan sambaran tersebut adalah tenggiri, tiba-tiba seekor layaran terbang di permukaan.
Suasana terus menjadi riuh rendah melihatkan aksi layaran beberapa kali terbang di permukaan. Setelah hampir 15 minit bertarung, Uncle Chong berjaya mendaratkan ikan layaran seberat hampir 20 kg.
Selepas sesi bergambar, kami melepaskan semula ikan tersebut oleh kerana ikan layaran adalah spesies dilindungi di perairan Malaysia. Setelah selesai mendapatkan umpan hidup,
kami meneruskan perjalanan menuju Pulau Berhala yang terletak kira-kira 60 batu nautika daripada persisiran pantai.
Setibanya di lubuk yang berhampiran, tekong melabuhkan sauh dan kami terus melempar umpan. Ada juga yang mempraktikkan teknik jigging dan casting.
Sedang kami menunggu, tiba-tiba teknik casting yang dimainkan oleh Solihin mendapat sambaran. Setelah 10 minit bertarung, beliau berjaya menaikkan alu-alu seberat 3.7 kg.
Tidak berapa lama kemudian umpan milik Adrin (Meng) pula mendapat sambaran tenggiri.
Setelah didaratkan, kami mendapati ikan tenggiri dalam lingkungan berat 3 kg tersebut telah dibaham di bahagian ekor. Mungkin dimamah oleh penghuni monster di bawah sana. Pada sebelah petang kami menukar lubuk untuk mencandat sotong.
Hasilnya kurang memberangsangkan, kerana sotong belum berada di perairan Pekan. Tetapi tidaklah mengecewakan. Kami berjaya menaikkan tidak kurang dari 10 ekor sotong bersaiz antara 200-500 gram.
SERANGAN HENDAP
Selepas senja, tekong menyediakan santapan malam untuk mengisi perut kami yang kosong. “Ikan tak mahu makan, kami yang makan”.
Setelah selesai makan, kami meneruskan sesi pancingan kami. Ada yang menghanyutkan umpan dan ada yang mempraktikkan pancingan dasar.
Satu sambaran diterima menyebabkan kekili Banax fx5000 milik saya berdesing, sentapan dilakukan dan pertarungan dimulakan. Beberapa minit kemudian, ‘tasssss”, perambut putus.
Pada malam ini sahaja, banyak umpan yang rabut dikerjakan tenggiri. Pada tengah malam, sedang kami berehat, kami diserang hendap oleh segerombolan ikan cupak. Tidak menang tangan kami dibuatnya.
Selang beberapa minit, pasti ada cupak bersaiz 500 gram -1.5 kg dinaikkan. Banyak juga ikan tetanda bersaiz 200-700 gram berjaya dinaikkan pada malam tersebut.
Dalam pada itu, sekali lagi Uncle Chong mencuri tumpuan apabila berjaya menaikkan cupak bersaiz 2 kg dan kerapu bersaiz 1.5 kg. Ikan todak berskala 2 kg juga berjaya dinaikkan beliau.
HARI KEDUA
Pada awal pagi, kami meneruskan aktiviti pancingan kami di beberapa lubuk sekitar Pulau Berhala. Pada pagi ini, teknik menghanyut mendominasi pancingan kami.
Umpan semakin berkurangan, oleh itu beberapa orang rakan pemancing kembali mencari umpan menggunakan teknik apollo. Kami terus menanti sentapan daripada ikan tenggiri. Tiba-tiba sekali lagi umpan Uncle Chong mengena.
Selang beberapa minit, kelibat tenggiri muncul di permukaan. Tenggiri seberat 3.8 kg berjaya didaratkan. Setelah matahari tegak, kami memulakan perjalanan balik ke jeti.
Dalam perjalanan balik kami sempat singgah di unjam berhampiran untuk mendapatkan sedikit sebanyak ikan kembung, selar, tamban dan kerisi untuk dibawa pulang.
Apabila tiba di lokasi unjam, kami sekali lagi menggunakan teknik hanyut untuk mencuba nasib. sambil memerhatikan rakan yang lain ‘meng-apollo’, umpan saya disentap kuat sehingga menyebabkan separuh tali dari kekili keluar tanpa henti.
Walaupun drag telah diketatkan tali masih lagi keluar. Sedang bertarung, kami sekali lagi menyaksikan seekor ikan layaran melompat di permukaan. Saya terus menggulung tali dan pertarungan telah masuk 20 minit.
Sedang asyik melayan asakan mangsa, umpan milik awak-awak yang hanya menggunakan koyan mendapat sambaran dari seekor lagi layaran. Pertarungan saya hampir ke-30 minit dan mangsa akhirnya berjaya dihela menghampiri bot.
Awak-awak terus menaikkan ikan layaran tersebut dan dianggarkan berat melebihi 35kg. Di sebelah kanan, pertarungan masih lagi berlangsung.
Apabila ikan menghampiri bot, sekali lagi ikan berjaya melepaskan diri. Selepas selesai ‘meng-apollo’, kami meneruskan perjalanan pulang ke jeti.
Apabila tiba di jeti, kami membahagikan hasil tangkapan kami kepada semua pemancing. Kini barulah badan kami terasa letih. Tetapi, bagi kami trip kali ini berbaloi kerana hasil tangkapan memuaskan hati kami.
Lebih-lebih lagi, dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman bertarung dengan ikan layaran. Bukan sekali tapi 3 kali dapat melihat aksi ikan tersebut melakukan akrobatik di udara.
Selepas ini mungkin kami akan kembali ke sini untuk menduga ikan di dasar pula. Ini kerana banyak lagi lubuk yang masih belum lagi kami kunjungi untuk menguji kekuatan penghuni dasarnya.
Saya telah diberitahu oleh rakan mengenai terdapat sebuah lombong tinggal yang berpotensi dan dihuni spesies ikan yang bersifat game fish peringkat air tawar. Memandangkan lokasinya tidak jauh, kurang dari 30 km dari tempat tinggal kami, maka kami memulakan perjalanan.
Rakan saya, Kamaruzaman yang ketika Itu menggunakan gewang pensil melontar ke arah kawanan spesies yang dipercayai toman dan dengan satu lontaran sahaja gewang disentap mangsa.
Toman yang masih dianggap masih ‘budak sekolah’ berjaya didaratkan. Beratnya selepas ditimbang hanya 300 gram dan selamat dilepaskan semula ke habitat asal.
Di sebabkan kawasan lombong ini Luas dan tidak mempunyai halangan, Asseri mempraktikkan teknik trolling dan membuat beberapa pusingan di sekeliling lombong.
Satu desitan tali terhambur keluar dari rod yang di pacak di bahagian belakang bot. Gewang selaman dalam keluaran hinomiya berwarna hijau telah mengena. Melentur lentur joran akibat Diasak dengan cukup kuat.
Hampir 10 minit bertarung akhirnya Belida bersaiz hampir 3 kilogram berjaya ditangkap. Mata tiga gewang kemas tertancap di mulut mangsa.
Asseri sekali lagi membuat pusingan untuk trolling dan tanpa disangka sekali lagi seekor belida yang sama saiznya dan dipercayai pasangan belida ini berjaya kami peroleh.
Walaupun lokasi ini terdapat banyak lagi kawanan toman dan belida, khabarnya Ia telah dimasukkan dalam perancangan pihak berkuasa untuk dibangunkan pada masa hadapan.
Cuma masa yang akan Menentukan sampai bilakah ia mampu bertahan dan jika benar, habislah satu lagi port memancing yang best di kawasan Rawang ini.
Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya akan mengisi masa tersebut dengan aktiviti memancing.
Sekiranya pada minggu tersebut ada pertandingan memancing berdekatan, maka saya akan sertai pertandingan tersebut.
Sekiranya tiada, maka saya akan isikan dengan aktiviti memancing sama ada memancing kolam air tawar berbayar, sungai atau juga lombong. Yang pasti, ia ialah aktiviti memancing.
Baru-baru ini, kira-kira dua bulan lalu, saya dipelawa oleh seorang rakan untuk menyertai kumpulannya memancing di kelong.
Walau pun ia bukanlah jenis pancingan yang selalu saya lakukan, tapi saya gemar juga pancingan air masin.
Cuma, disebabkan lebih menumpukan perhatian pada pancingan air tawar maka peralatan pancingan air tawar sahajalah yang saya miliki.
Trip memancing di kelong atau lebih tepat lagi di Kelong Tok Ram, Pasir Panjang, Port Dickson ini dianjurkan oleh kelab memancing Group Nelayan Kita.
Group Nelayan Kita sebenarnya ialah kelab memancing yang terdiri daripada gabungan guru sekolah dan guru yang sudah bersara.
Ia sebuah kelab memancing yang aktif juga dari Lenggeng, Negeri Sembilan. Bagi trip ke kelong ini seramai lapan orang ahli turut serta atau mengambil bahagian.
Walau bagaimana pun trip ini bukanlah trip yang terlalu beria sangat, sebaliknya lebih kepada konsep bersantai sahaja.
Rombongan kami seramai sembilan orang tiba di jeti Kg. Telok, Pasir Panjang kira-kira jam 6.30 petang.
Tanpa perlu menunggu lama kami terus sahaja dibawa ke kelong dengan menggunakan bot. Jarak jeti dengan kelong tidaklah jauh sangat sekitar 2 kilometer sahaja.
Dalam beberapa minit sahaja kami sudah pun berada di atas kelong.
Selepas Maghrib, semua ahli rombongan bersiap sedia dengan peralatan memancing dan tidak sabar untuk memperoleh tangkapan pertama sebagai lesen pembuka tirai.
Sememangnya kami tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh hasilnya tangkapan.
Kawasan sekitar kelong Tok Ram didiami pelbagai jenis ikan. Paling banyak tentu saja ikan gelama. Malah ikan gelamalah yang kebanyakannya menjadi lesen perkenalan kami di sini.
Selain gelama kami turut berjaya mendaratkan ikan gemang, senangin, gelama papan, ketuka, kerapu, duri, malong dan macam-macam lagi.
Walaupun saiz ikannya tidaklah sebesar mana, hanya saiz yang biasa didaratkan di mana-mana kelong, namun ia begitu menghiburkan dan tidak bosan kerana ikan dinaikkan bersilih ganti.
Jika tidak disebabkan cuaca kurang baik menjelang lewat malam dan hujan renyai, kemungkinan besar kami berjaga sehingga ke siang hari.
Setelah berehat beberapa jam, awal-awal pagi kami telah bangun dan menyambung aktiviti memancing sehinggalah ke tengah hari.
Setelah lewat tengah hari kami berkemas dan kembali ke jeti dengan penuh kegembiraan walaupun hasil yang kami bawa pulang tidaklah sebanyak mana.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...