Kolam Memancing Alang Saleh yang terletak di Rantau, Negeri Sembilan adalah antara kolam air tawar yang menjadi tumpuan kaki pancing terutamanya dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Jarak pemanduan dari Kuala Lumpur juga tidak jauh hanya memakan masa lebih kurang 45 minit melalui lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan serta lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS).
Secara umumnya, kolam ini mengenakan bayaran masuk serendah RM10 untuk 3 jam (boleh rujuk yuran terkini dengan pihak kolam) dan pemancing boleh memancing di kolam utama berhampiran dengan kaunter pembayaran. Manakala sebuah lagi kolam di bahagian belakang dikhaskan bagi pancingan tangkap dan Lepas (C&R) dengan kadar bayaran RM20 untuk setiap pemancing tanpa sebarang had masa.
Bagi sesetengah pemancing pasti akan berpersepsi ‘apa kelas main ikan asrama’. Ada juga yang beranggapan bahawa ikan kolam komersial tidak memberi tentangan yang diharapkan. Namun, sekiranya kena dengan kolamnya pasti tanggapan anda akan berubah sama sekali. Salah satu kolam yang saya maksudkan tentulah di kolam Alang Saleh ini sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa ikan-ikan di kolam ini memang kuat tentangannya.
Semasa kunjungan kami ke sini, kami menyasarkan untuk mengilat ikan pacu sebagai target utama kerana pada kunjungan beberapa rakan sebelumnya, pacu di sini begitu ramah meragut gewang dan saiznya begitu mengujakan.
Ads
Kami tiba seawal jam 8.00 pagi dan terus memulakan sesi mengilat. Pada pengamatan kami, banyak ikan yang aktif bermain di permukaan air pada waktu ini. Balingan demi balingan dilakukan, pelbagai gewang telah dicuba namun tiada sebarang sambaran diperolehi selama hampir 2 jam. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk menukar strategi.
Mujurlah saya ada membawa 3 buku roti putih yang pada asalnya untuk dijadikan alas perut kami namun bertukar menjadi ‘insurans untuk mendapatkan strike’.
Memandangkan kami tidak membawa sebarang peralatan untuk membottom dan ikan pula masih lagi terus aktif bermain di permukaan air, kami mengambil keputusan untuk mengapungkan roti dengan mengepalnya pada popper yang berperanan sebagai pelampung.
Ads
Perubahan taktik membuahkan hasil kerana kami berjaya mendapat sambaran demi sambaran. Patin yang banyak mendominasi tangkapan kami. Perlawanannya begitu menghiburkan dan mendebarkan.
Pacu yang menjadi sasaran juga dapat didaratkan dengan saiz yang begitu mengujakan. Kami berpuas hati kerana masing-masing dapat merasai tarikan padu penghuni kolam pada kunjungan kali ini.
Ads
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat menjalankan aktiviti yang sihat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh sambaran itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan setiap pemancing.
Hargailah lapangan pancingan kita tidak kiralah sama ada di kolam-kolam komersial mahu pun di lombong, tasik, sungai mahu pun muara dengan sentiasa menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata demi keselesaan bersama.
Sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati.
Tanamkan inisiatif bagi membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Faktor angin dan hujan sememangnya banyak mempengaruhi aktiviti memancing. Tiada siapa pun pun yang boleh menjangka keadaan cuaca apatah lagi hasil trip memancing yang bakal ditempohi sehingga hari kejadian. Begitulah yang kami hadapi apabila memilih tarikh trip yang berpotensi untuk memunggah hasil, tetapi berhadapan dengan cuaca yang kurang mesra pada hari kejadian.
Hujan yang turun pada awal pagi hari tersebut menyebabkan beberapa buah bot memancing menangguhkan seketika aktiviti memancing di perairan Teluk Kemang. Hujan sebenarnya bukanlah menjadi penghalang sebaliknya angin yang bertiup agak kencang bersama hujan itulah yang menyebabkan para tekong tidak berani untuk mengambil risiko membawa pemancing ke laut.
Setelah lebih satu jam termenung di pangkalan dan cuaca seperti mengizinkan, barulah para tekong bersedia membawa kami mencuba nasib. Saya bersama tiga orang rakan memancing hari itu turut sama turun memancing dengan menggunakan khidmat tekong tersohor perairan Port Dickson, Shariman atau lebih dikenali dengan nama Apex Kecil.
Berikutan cuaca yang masih berangin, kami sepakat sekata untuk tidak pergi memancing jauh ke tengah laut. Justeru cadangan tekong untuk jigging spesies senangin di dalam kawasan teluk segera dipersetujui oleh semua ahli trip.
Hampir setengah jam berjigging, nasib ternyata menyebelahi saya apabila jig slow pitch 80 gm disambar pemangsa sekitar beberapa kaki dari dasar. Setelah melayan pecutan dan lariannya seketika, akhirnya seekor senangin berskala saiz sederhana berjaya didaratkan.
Kejayaan itu sedikit sebanyak merangsang semangat kami untuk kekal lebih lama di teluk tersebut. Tidak lama kemudian giliran tekong pula mempamerkan kehandalannya. Namun nasib lebih menyebelahi senangin apabila berjaya meloloskan diri dari mata kail sejurus tiba di permukaan air untuk didaratkan.
Setelah beberapa kali berhanyut di spot yang sama, saya berjaya menerima strike namun pemangsa yang dipercayai adalah senangin bersaiz kasar atau gubal ghaib ketika dalam pertarungan.
Nasib yang sama turut dialami oleh tekong. Malah ia berlaku lebih dari sekali. Ketika seperti hampir menjadi mangsa buli senangin, muncul Shahrul menjadi penyelamat keadaan apabila berjaya mendaratkannya setelah turut sama dibuli sebelumnya.
Episod dibuli senangin semakin berterusan apabila Shahrul berjaya mendaratkan seekor lagi senangin. Selepas itu hampir kesemua ahli trip hanya sempat merasai jig disambar pemangsa sebelum rabut begitu sahaja.
Dan kemuncak kami menjadi mangsa buli senangin apabila seekor senangin bersaiz kasar yang menyambar jig saya melakukan aksi akrobatik di hadapan mata kami semua dan berjaya memutuskan tali utama.
Selepas kejadian itu tiada sambaran yang kami terima sekaligus mengakhiri pemburuan kami. Walaupun kami berjaya mendaratkan tiga ekor senangin namun pembulian hampir sepuluh kali yang kami terima benar-benar menguji kesabaran kami. Sekaligus menjadi trip yang meninggalkan memori manis buat kami berempat.
Kami meneruskan sesi slow jigging ke tengah laut namun hanya ramah buat beberapa jam sahaja. Tidak tahan dengan alun kian bergelora, kami kembali ke teluk tersebut untuk mencuba nasib sekali lagi. Selepas satu jam mencuba tanpa sebarang sambaran, kami memutuskan untuk kembali ke darat dan mencari kedai makan untuk menikmati senangin segar tersebut.
Bila sebut sahaja perihal tarpon atau di sini kami sebut ikan bulan Malaya, tak ramai pemancing yang pandang. Atau ramai yang pandang sebelah mata sahaja. Mungkin sebab ia mudah didapati bahkan turut dianggap sebagai ikan sampah, malah dagingnya yang kurang sesuai untuk dijadikan menu serta banyak tulang maka ia seperti spesies yang dipinggirkan.
Namun bagi kaki-kaki casting terutamanya penggemar teknik pancingan ultralight, ikan bulan atau tarpon ini merupakan salah satu spesies buruan utama kami. Satu kerugian besar jika tidak memburu tarpon sekiranya berkelapangan.
Memandangkan sekarang ini musim hujan, saya cuba jejakkan kaki ke kampung Segantang Garam,Merbok, Kedah. Di kampung Segantang Garam ini bolehlah dikatakan syurga sang bulan. Berbekalkan kekili Shimano Curado 71HG yang saya padankan dengan joran Nemesis 2-6lb, saya cuba memujuk sang bulan.
Lazimnya ikan bulan dipujuk menggunakan softplastic lure atau sinking pencil lure yang bersaiz kecil (mikro), tetapi kali ini kawan saya yang merupakan pengusaha kedai pancing yang saya kenal mengesyorkan penggunaan gewang permukaan atau popper yang baharu tiba di kedai beliau.
Popper kecil yang beratnya cuma 3gram berwarna merah berkilau menjadi senjata percubaan. Ternyata ia begitu tidak menghampakan dan menerima sambutan luar biasa daripada sang bulan. Terkaman demi terkaman saya terima.
Pada peringkat awal banyak terkaman yang diterima berakhir dengan kegagalan. Banyak yang lucut atau tidak lekat pada mata kail. Setelah saya tempo kayuhan dan daya strike, berjaya juga saya daratkan sang bulan yang rata-ratanya berskala berat 400 hingga 800gram. Saiz demikian mungkin kecil tetapi dalam skop pancingan ultra ringan, ia adalah saiz yang cukup menghiburkan.
Sesi casting hari di kampung Segantang Garam yang menghiburkan mendorong saya untuk kembali lagi keesokan harinya. Kali ini saya bawa bersama teman-teman sehobi. Namun nasib kami sedikit malang berikutan ketibaan kami disambut oleh hujan yang sangat lebat.
Setelah hampir sejam menunggu penuh sabar hujan pun berhenti dan sang suria kembali memancar. Kata orang,ikan bulan lebih aktif selepas hujan. Dan ia terbukti benar dan hujan bukanlah membawa malang sebaliknya rahmat. Balingan demi balingan gewang disambut rakus oleh sang bukan. Malah kali ini saiz bulan lebih kasar dan benar-benar menghiburkan kami.
Negeri Johor antara negeri di Semenanjung yang memiliki banyak tasik sama ada yang buatan mahupun semula jadi.
Antaranya Machap, Bekok, Sembrong, Lebam, Labong, Ulu Sedeli dan banyak lagi yang majoritinya berfungsi sebagai kawasan tadahan air.
Namun, bukan semua boleh dimasuki sembarangan oleh orang awam kerana pihak bertanggungjawab tidak mahu ia terdedah kepada risiko pencemaran.
Di tengah-tengah antara bandar Kulai, Kota Tinggi dan Kluang terdapat sebuah tasik yang berfungsi sebagai sebuah empangan.
Kunjungan kami ke sini di undang oleh seorang rakan bernama Amri yang memberi lampu hijau untuk menduga spesies yang ada tasik berkenaan.
Tanpa banyak soal, saya ‘on’ sahaja. Tidak terkecuali beberapa lagi rakan juga ingin turut serta.
Lantas jalinan akrab grup whatapps diwujudkan bagi memudahkan meng ‘update’ perjalanan trip.
Air surut
Tinggal dua minggu sebelum trip dijadualkan berlangsung, kami diberitahu berita kurang gembira oleh Amri yang mengatakan paras air empangan berkenaan surut dengan begitu
mendadak, ekoran airnya telah dilepaskan bagi operasi pembersihan muka sauk empangan.
Walaupun kurang syok mendengar (kerana terbayangkan suasana surut di empangan lain seperti di Air Ganda), kami tetap ‘on’ juga.
Lagipun ada rakan yang dah awal-awal ambil cuti dan kami pula majoritinya belum pernah melihat dengan mata sebenar rupa tasik ini.
Namun, kami mengambil keputusan mengurangkan dari 3 hari 2 malam kepada 2 hari 1 malam sahaja.
Jam 11 malam saya bersama Zul Caster, Pikok, Pacai, Man Cenonet, Cikgu Misbah dan Fahiz Hussin bergerak dari Shah Alam menaiki dua buah kenderaan dan tiba di Bandar Tenggara sekitar jam 5 pagi.
Di sini kami bersua muka dan berjabat tangan dengan Amri yang telah pun menunggu kami bersama Pak Don dan juga Yob yang akan turut serta.
Usai solat Subuh dan membeli sedikit lagi kudapan, kami bergerak masuk. Agak jauh jugalah kerana ia melewati kawasan lading kelapa sawit, kebun dan juga hutan sekunder sebelum sampai sejam selepas itu.
Hari pertama
Di situ, kami diperkenalkan dengan seorang lelaki yang menggelar dirinya sebagai Wak yang telah pun sedia menunggu kami.
Dialah yang menguruskan makan minum dan aktiviti pancingan kami selama 2 hari 1 malam di sini.
Dalam erti kata lain, pondok yang kami berteduh ini adalah miliknya kerana Wak juga seorang nelayan darat yang mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menangkap ikan di sini.
Selepas tiba dan mengemaskan peralatan, semua ahli komplot dan rakan-rakan telah pun bersedia di gigi air untuk turun casting.
Benarlah kata Amri bahawa air di tasik ini sedang surut ke hampir ke paras maksimum.
Sebanyak 3 buah bot digunakan dengan Amri, Yob dan Pak Don berperanan sebagai guide dan semua bot berpecah menuju destinasi masing-masing.
Sasaran kami di tasik ini adalah sebarau dan juga toman. Tidak terkecuali spesies zebra tilapia yang dikatakan bersaiz pinggan turut mendiami tasik ini.
Seperti biasa, suak-suak dan juga reba kayu balak menjadi sasaran kami melontarkan gewang. Namun segala-galanya kosong.
Di kawasan highway, kami mencari riak air tanda sang toman muncul di permukaan mengambil udara.
Ada, tapi sayangnya jauh-jauh ia timbul dan bila kami ke sana, ia timbul jauh. Akhirnya tak terdaya kami mengejarnya.
Apa boleh buat, bila toman tidak agresif. Saya menyarankan kepada Amri agar mencari punca sungai pula untuk casting.
Tapi sayangnya, bot tidak lagi boleh melaluinya alur sungai kerana laluan masuk amat cetek dan ‘terpagar’ dengan tunggul-tunggul kayu yang begitu banyak berceracak kelihatan.
Jam 12 tengah hari semua bot pulang ke jeti dan berkumpul semula di bangsal milik Wak untuk makan tengah hari dan berehat.
Keputusannya pada sebelah pagi menyaksikan beberapa ekor sebarau curut berjaya diperoleh oleh Pacai, Zul Caster dan Man Cenonet menggunakan mikro jig. Yang lain keputusannya kumpau.
Pada pemerhatian saya agak sukar mengesan kedudukan ikan memandangkan bot kami tidak dapat rapat ke suak-suak-suak berpotensi kerana faktor keselamatan bimbang terlanggar tunggul kayu yang tidak kelihatan.
Selain itu, paras air yang surut juga membuatkan kualiti air agak teruk, iaitu keruh dan berkeladak, terutama di kawasan-kawasan cetek.
Petang itu saya bersama Cikgu Misbah turun menaiki bot yang dikemudikan oleh Wak.
Agak lewat kami berdua turun berbanding 3 buah bot yang lain kerana terpaksa menunggu botnya ditampal kerana mengalami sedikit kebocoran.
Saya berhasrat ingin menduga sang toman seperti pagi tadi, tetapi tiupan angin pada petang itu agak kuat sehingga permukaan tasik menjadi gelora.
Wak kemudiannya membawa kami menyusuri kawasan berteluk yang cukup banyak tunggul-tunggul balak.
Dia berkata di sinilah istana sang bujuk, kerandang dan juga haruan semasa waktu biasa.
Namun, sudah nasib kami agaknya, seekor spesies snakehead langsung tidak kelihatan walaupun spot tersebut memang cantik. Kosong! Pelik betul.
Cikgu Misbah berjaya juga memperoleh seekor sebarau. Walaupun berstatus juvenil, janji dapat lessen sebarau negeri Johor katanya.
Saya pula berjaya memperoleh strike yang dipercayai sang sebarau bersaiz kasar.
Sayangnya, ia terlebih dahulu membelit di celahan bangkar kayu yang berselerak di dasar tasik dan dengan mudah ia putus.
Tiba di bangsal, kelihatan Amri sedang sibuk menyiang ikan-ikan yang sebagai makan malam.
Rupa-rupanya petang tadi sempat juga Amri memancing dasar berumpankan cengkerik. Zul Caster, seorang caster tegar akhirnya terjebak bila turut memancing dasar.
“Terpaksa beb. Asyik geng bottom je yang dapat,” katanya.
Malam itu, sekali lagi Amri bersama Pak Don turun memancing baung. Tetapi agak kurang mendapat getuan, mungkin salah perkiraan lubuk agaknya atau cuaca yang sudah lama tidak hujan membataskan nafsu sang baung untuk berkeliaran.
Hari terakhir
Pagi hari kedua dan terakhir ini, semangat untuk memancing sedikit menurun disebabkan hari semalam yang boleh dikatakan tidak memberangsangkan ekoran faktor air yang begitu surut mendadak.
Pun begitu, kami semua bertekad untuk turun lagi. Alang-alang hari terakhir ini.
Kali ini, dua buah bot sahaja yang turun. Sebuah bot yang dinaiki Faiz dan Zul Caster sejauh mana yang boleh.
Kata Faiz dan Zul Caster, tak kisah ikan apa pun yang bedal gewang, janji strike. Tetapi nasib malang kami berterusan tetap tiada sambaran yang memberangsangkan.
Hanya anak toman bersaiz lengan saja yang diperolehi oleh Pahiz. Mama nya tetap timbul, tetapi apabila bot cuba rapat, ia timbul di tempat lain pula.
Tengah hari tersebut, kami kembali ke jeti. Selepas berkemas, kami menikmati dahulu hidangan tengah hari istimewa sebelum berangkat pulang ke Shah Alam.
Walaupun hasil pancingan tidak seberapa dan ada rakan yang kumpau, tapi kami semua bersyukur kerana dapat juga merasai pengalaman memancing dan menikmati pemandangan indah tasik di Bandar Tenggara ini.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...