Cara Tradisi Mengail Ikan Kerisi Gergasi

Share

 

Oleh kerana ibu kerisi lebih tertumpu di kedalaman melebihi 30 meter, teknik pancingan yang betul perlu diambil kira terutama memastikan umpan tidak berpintal pada perambut utama. Ini perlu saya jelaskan berkali-kali kerana masih ada lagi yang menunggu durian runtuh dan lepas sebatang demi sebatang rokok dinyalakan namun ikan masih enggan menyentuh umpan selayang segar yang dilabuhkan.

 

 

Masalahnya umpan tadi berbelit dengan tali utama, berpintal sehingga umpan berkenaan seolah-olah terjerut pada pukat. Mana ikan nak makan! Tambahan pula, apabila umpan berpintal dengan tali utama, kekusutan mudah berlaku. Sekaligus menyebabkan umpan tidak dapat dibuai arus atau persembahan umpan menjadi kaku. Mangsa pasti tidak berminat, apatah lagi melihat tali tangsi dan tali sulam berselerak berdekatan umpan.

 

Penggunaan pengimbang sama ada tanduk, keluli tahan karat dan jenis plastik adalah perlu. Ketiga-tiga jenis pengimbang ini bertujuan untuk menjarakkan tali utama dengan umpan ketika ia turun ke dasar. Panjang perambut, saiz pemberat dan kelajuan umpan dihulurkan mempengaruhi kemungkinan perambut dan tali utama bersimpul.

 

 

Satu lagi teknik yang digemari tanpa menggunakan pengimbang, ialah teknik apollo. Teknik ini sesuai memancing hanyut dan dasar. Bagaimanapun ia jarang dipratikkan oleh kebanyakan pemancing laut dalam kecuali para nelayan.

 

Apabila merujuk kepada peralatan pancing untuk air dalam, sudah tentu kekili menegak atau multiplier bersaiz 30 ke atas iaitu aksi berat yang sesuai digunakan. Berat di sini merujuk kepada apa-apa jenama yang boleh memuatkan tali lebih dari 300 meter.

 

 

Gelendung yang besar mampu menyimpan tali lebih banyak agar tali utama berada dalam keadaan cukup dan standby sepanjang tempoh anda berada di lautan.

 

Umpan pilihan

 

Umpan pilihan ialah ikan selayang, tamban dan kembong. Sotong cumit, jarum dan kurita boleh digunakan terutama waktu malam. Jika ditinjau dari segi keberkesanan umpan, yang terbaik adalah diet setempat iaitu makanan yang biasa diperolehi oleh spesies terbabit di wilayah buruannya. Keduanya pula ialah umpan segar dan lebih baik lagi umpan hidup. Kemudian barulah teknik persembahan umpan mengambil tempat.

 

 

Selain itu hirisan ikan, hirisan kepingan sotong boeh digunakan bila-bila waktu. Cuma ramai tidak gemar mengunakan umpan jenis ini kerana cepat habis dikerjakan anak-anak ikan terlebih dahulu. Cangkuk umpan mengikut jenis, saiz dan kesesuaian sambil anda pastikan saiz mata kail ngam, tidak terlalu kecil atau besar.

 

Saiz standard dari 3/0 hingga 5/0 dan saiz setengah kg ibu kerisi boleh menelan habis mata kail 6/0 kerana mulutnya bersaiz XL juga. Perambut tangsi 50lb hingga 80lb sudah lebih dari memadai kerana barisan gigi termasuk gigi taring jarang berfungsi sebagai pisau pemotong tali.

 

Published by
Amang