Cara Terbaik Untuk Strike Ikan Bayan!!

Share

 

Pada permulaannya, bayan akan memberi tekanan yang paling maksimum, jelas kelihatan joran akan membengkok. Kita tidak perlu merasa panik dan tunggu saja, di mana tidak perlu terburu-buru membuat karauan.

 

Sekejap saja tekanan semakin kendur dan mulalah mengarau kekili anda, pasti akan merasa seakan menarik seketul batu yang besar.

 

Daya juang bayan memang kuat sebaik saja meragut umpan, tetapi sekejap saja ia akan mengangkat bendera putih. Tetapi yang penting, kita dapat mengawalnya daripada menyelinap ke dalam lubang atau struktur berbatu dan karang.

 

 

Sekiranya ikan terlebih dahulu menyelinap ke dalam struktur berbatu, lupakan niat anda ingin bergambar dengan spesies cantik berwarna-warni ini.

 

Perambut kasar 80lb atau lebih disarankan. Ini bukan kerana gigi kapak yang tajam, tetapi untuk mengelakkan perambut mudah putus sebaik saja bergesel dasar berbatu dan berteritip.

 

Panjang perambut cukuplah sedepa, paling elok sekiranya anda dapat meletakkan umpan anda betul-betul di atas struktur berkarang, dengan batu ladung diangkat sedikit ke atas.

 

 

Drag hendaklah dikunci mati, di mana kita tidak boleh bermain tarik tali dengannya. Memancing bayan disarankan menggunakan joran yang agak keras dengan kekili berkualiti tinggi, agar sistem tegangan berfungsi dengan baik.

 

Pernah sebelum ini seorang pemancing menggunakan kekili murah. Sebaik saja dihentam bayan, tali masih lagi keluar dari spool, walaupun sistem tegangan sudah di tahap paling maksimum. Mungkin bayan besar sudah membaham umpannya. Ia satu kerugian yang amat dikesali.

 

Published by
Amang