Sebelum memancing sesuatu spesies ikan adalah penting untuk mengetahui diet atau makanannya terlebih dahulu. Ikan kaloi merupakan spesies ikan omnivor. Ikan ini memakan apa sahaja seperti rumpai air, ikan kecil, katak, cacing, organisma akuatik yang kecil malah hidupan akuatik yang telah mati juga dimakan oleh ikan kaloi.
Begitu pun, diet spesies ini lebih cenderung kepada tumbuhan. Dalam sektor akuatik, spesies kaloi juga digunakan sebagai haiwan pengawal rumpai air kerana keupayaannya untuk memakan dan mengawal tumbuhan vegetative akuatik dan alga yang tidak dikehendaki. Ini kerana, ikan kaloi yang dewasa mampu untuk memakan tumbuhan akuatik yang bersifat fiber secara terus.
Berbalik kepada dunia pancingan, spesies ikan kaloi bukanlah antara spesies ikan yang boleh dipancing setiap hari. Apa yang penulis maksudkan ialah, spesies boleh dikatakan spesies ikan yang agak jarang juga dinaikkan menggunakan teknik pancing. Lubuk pancingan spesies kaloi juga bukanlah di lokasi mudah diakses.
Biasanya, spot yang sesuai untuk memancing ikan kaloi ialah di kawasan sungai atau tasik yang mempunyai keadaan air yang bergerak perlahan. Ini kerana ikan kaloi biasanya memilih kawasan air berarus perlahan sebagai habitatnya. Spot sebegini yang mempunyai struktur seperti kayu mati di dasarnya juga antara spot menarik dan berpotensi.
Biarpun jarang dijadikan spesies target utama, ikan kaloi sebenarnya mampu memberikan tentangan yang kuat kepada pemancing. Henjutan kaloi yang bersaiz besar mampu membuatkan adrenalin pemancing mengalir laju.
Jangan dipandang remeh kerana spesies ini mampu membesar sehingga mencapai saiz 70cm panjang. Dengan sirip kaudal pedunkel yang kuat, ikan kaloi mampu membuatkan tali pancing putus dengan hanya satu henjutan. Selalunya pemancing perlu berwaspada ketika ikan kaloi melakukan henjutan secara tiba-tiba.
Dalam pancingan ikan kaloi, teknik yang terbaik ialah teknik pelampung dan dasar, namun penulis lebih cenderung memilih teknik pelampung kerana ikan ini bukannya ikan demersal. Antara umpan yang boleh dipilih jika ingin menduga spesies Giant gourami ini ialah, lipas kayu, cengkerik, udang sungai, cacing dan belalang atau pepatung.
Jika anda mahu mencuba umpan berasaskan tumbuhan pula, beberapa jenis umpan boleh dipilih. Antaranya ialah buah ara, sawit peram atau sawit masak dan juga umpan pisang separuh masak yang dipotong kecil atau dipotong dadu sebelum dicangkukkan pada mata kail.
Jarang sekali kaloi menjamah umpan tiruan seperti gewang, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Kebelakangan ini sudah terdapat beberapa kejadian pemancing berjaya memancing kaloi dengan menggunakan gewang. Selain dry flies dan teknik pancingan layang juga berpotensi menggoda spesies gourami gergasi ini gewang tiruan berbentuk ala-ala udang dipercayai antara gewang terbaik yang boleh dicuba.