Pancingan ikan belida mempunyai tarikan yang tersendiri. Kekuatan ketika pertarungan serta bentuk menarik ikan ini menaikkan nilai giant featherback sebagai salah satu ikan air tawar yang wajar diberikan pujian. Beberapa kaedah pancingan boleh dicuba untuk cuba memperdaya spesies ini.

 

Antara teknik yang boleh dicuba termasuklah kaedah dasar, pancingan menggunakan pelampung, casting serta teknik trolling. Ikan belida mampu mencapai berat sehingga 25 kilogram dengan panjang ukuran badan sehingga 1.5 meter. Tidak hairanlah ikan ini mampu menarik perhatian kaki pancing untuk diletakkan dalam senarai ikan wajib dipancing.

 

 

Dalam pancingan ikan belida, ketika sambaran berlaku pemancing harus bersedia kerana belida akan melakukan aksi lompatan ke belakang deras yang penuh karisma bagi cubaan menanggalkan mata kail.

 

Ketika ini, pemancing harus memastikan tali utama sentiasa dalam keadaan tegang ketika lompatan dibuat. Selain itu, ketika pendaratan juga, pemancing tidak boleh alpa kerana belida sering melakukan henjutan akhir tatkala telah hampir ke tebing atau ketika cuba disauk menggunakan jaring.

 

IKLAN

 

Ikan belida juga jarang memberikan kerjasama ketika pengendalian setelah dinaikkan. Biasanya ikan ini akan terus menggelepar sehingga kepenatan. Jika anda mahu melepaskan kembali, pastikan anda kendalikan dengan cermat. Pastikan juga ikan ini mendapat tenaga secukupnya sebelum dilepaskan semula dengan menghayun

ikan ini ke depan dan belakang untuk beberapa minit sehingga ekornya beralun dan dapat memegang badannya di dalam air.

 

Waktu terbaik untuk memancing belida ialah awal pagi dan juga lewat petang. Selain itu, mungkin anda mahu mencuba ketika waktu lepas hujan kerana belida juga gemar keluar memburu selepas waktu hujan.

 

Umpan

 

Untuk memancing ikan belida, teknik dasar atau pelampung boleh digunakan. Jika menggunakan kaedah pelampung anda boleh menggunakan cacing atau udang hidup sebagai umpan utama.

 

Selain itu, anda juga boleh menggunakan ikan kecil sebagai umpan. Teknik pancingan dasar juga merupakan salah satu teknik paling efektif untuk pancingan belida. Umpan yang boleh digunakan termasuklah cacing, ikan seluang, ikan puyu, ikan lampam serta ikan sepat.

 

Jika menggunakan umpan, pastikan anda menggunakan perambut yang halus diameternya kerana belida antara ikan yang agak sensitif. Spesies ini akan meluahkan semula umpan yang diambil jika merasakan terdapat tegangan pada perambut.

 

 

Gewang

 

Selain penggunaan umpan, penggunaan umpan tiruan juga efektif menjerat pemangsa nokturnal ini. Penggunaan gewang minnow yang kecil, spinner serta sesudu mampu untuk memperdayakan belida untuk menghentam gewang yang digayakan.

 

Kaedah mengilat boleh digunakan dengan variasi karauan yang pelbagai. Namun oleh kerana kawasan lingkungan teknik mengilat agak terhad, mungkin anda boleh mencuba kaedah trolling.

 

Kebanyakan belida tumpas dengan teknik trolling kerana lingkungan kawasan yang boleh dilalui oleh gewang anda lebih luas. Belida tidak akan teragak-agak untuk membaham gewang anda jika gewang anda lalu di hadapannya.