Untuk memikat senangin, terutama sekali pemancing harus tahu keadaan pasang surut air. Pada kebiasaannya, paras air pasang dari 1.8 ke 3.0 meter merupakan waktu yang terbaik.
Apabila air mula pasang, tunggu sehingga paras air naik ke separuh nak penuh baru boleh cuba untuk memikat senangin. Keadaan air pula wajib berarus.
Tetapi tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan. Cubalah memikat sehingga paras air hampir pasang penuh.
Apabila air sudah pasang penuh, senangin agak kurang makan dan tidak aktif. Tunggulah sehingga air mula bergerak sudut dan mencuba lagi memikat sehingga paras air surut dan kembali normal.
Lazimnya senangin sangat suka dengan keadaan dasar yang berpasir dan tidak terlalu dalam. Jangkaan dalam 2-3 meter kedalaman air.
Untuk memikat senangin, pemancing boleh cuba teknik top water (popping), gewang crank selaman dalam dan micro jig (10-20 gram) mengikut tempat dan kelajuan air.
Pemilihan gewang sebaiknya tidak terlalu besar. Memadai gewang bersaiz 7cm hingga 9 cm. Untuk teknik popping pula, pemancing harus memilih popper yang agak bising (bunyi kuat) untuk menarik perhatian senangin.
Selain itu teknik karauan juga memainkan peranan. Kebiasaannya, karauan laju dan jerk menjadi keutamaan. Bagi penggunaan gewang crank selaman dalam pula, lakukan karauan seperti biasa sahaja.
Hanya baling dan karau santai. Bagi penggunaan micro jig pula, teknik jerk hujung joran dan karau untuk dua atau tiga pusingan dilakukan berulang kali.
Sebaiknya setiap balingan ke sesuatu spot yang sama itu diulang beberapa kali sebelum beralih ke spot yang lain.
Kebiasaannya senangin memburu makanan secara berkumpulan. Oleh yang demikian, pemancing boleh melontar gewang di tempat yang sama apabila nampak ada pemangsa mula menyambar gewang. Kemungkinan senangin yang lain pula akan menyambar gewang yang anda lontarkan.
Senangin juga memiliki aksi akrobatik apabila terkena gewang. Seperti siakap, ia juga berkebolehan memutuskan tali pancing dengan pipinya yang tajam. Jadi pemancing harus pandai control drag sewaktu ikan mengena dan berhati-hati melayan sehingga ikan selamat didaratkan.
Untuk pengetahuan semua, tip dan panduan ini amat berkesan di padang pancing khususnya di muara Sungai Penor, Kuantan. Mungkin di lokasi lain sebelah pantai barat sedikit berbeza namun tiada ruginya jika pemancing ingin mencubanya.