Lain tempat lain caranya… itulah pengalaman saya melihat sendiri bagaimana geng nelayan Pulau Aman di Pulau Pinang mencari sotong kurita untuk dijadikan umpan. Sotong kurita sememangnya menjadi antara umpan kegilaan kaki pancing terutama yang mahu menaikkan spesies seperti jenahak.
Harga sotong kurita sebagai umpan boleh mencecah sehingga RM8 hingga RM10 seekor ketika ini. Memang lumayan. Tapi tahukah anda bagaimana nelayan pantai mendapatkan sotong kurita untuk dijual? Menongkah merupakan cara bagi komuniti di Pulau Aman mencari sotong kurita.
Terma menongkah popular di sekitar Pulau Aman
Ads
Menongkah mencari sotong biasanya dilakukan pada waktu malam dan ketika air surut sehingga timbul beting berselut. Jika turun ke dalam selut ini, anda boleh tenggelam sehingga paras pinggang.
Kayu lapis atau papan dijadikan sebagai peluncur atau kenderaan untuk menongkah selut.
Peralatan lain selain papan untuk menongkah ialah lampu (headlamp) dan baldi untuk mengisi sotong.
Ads
Sewaktu menongkah lampu akan disuluh ke permukaan selut untuk melihat jika terdapat sotong kurita.
Ads
Jika tersuluh sotong kurita, cepat-cepat pegang kepalanya dan masukkan ke dalam baldi.
Jika sotong masuk ke dalam selut, cepat-cepat gali dan cekak kepala sotong tersebut.
Kawasan menongkah sotong biasanya di kawasan selut yang tidak mempunyai kerang-kerangan.
Tip lain ialah, sotong ini mencari ketam sebagai makanannya. Jadi tumpukan pada kawasan selut yang mempunyai ketam. Kelihatan mudah bukan?
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Di Malaysia, pancingan ikan baung kuning bukanlah sesuatu yang asing, malah amat diminati oleh sesetengah kaki pancing air tawar. Kebanyakan pancingan ikan baung tertumpu pada waktu malam atau pun di kawasan badan air yang keruh.
Pancingan ikan baung kuning menjadi terkenal kerana keasyikannya yang mampu membuatkan pemancing leka melayan spesies bermisai ini. Biasanya, jika memancing ikan baung pada waktu malam, tarikan demi tarikan spesies ini berterusan dan tidak memakan masa yang lama untuk menunggu umpan diragut sang baung.
Selain waktu malam, pancingan ikan baung kuning juga boleh dilakukan pada waktu siang terutama jika kawasan sungai atau air yang keruh selepas hujan. Disebabkan spesies ikan bermisai menggunakan deria pengesan daripada filament barbelnya untuk mengesan umpan, spesies ini lebih aktif dalam keadaan air keruh berbanding air yang jernih.
Bagi kebanyakan pemancing, selain keasyikan melayan tarikan demi tarikan ikan bermisai ini, kelebihan lain spesies ini ialah keenakan dagingnya. Spesies ini tidak seperti kebanyakan spesies air tawar yang lain, selain tidak mempunyai tulang yang banyak, rasanya juga amat enak jika dimasak dengan apa cara sekalipun.
Antara masakan yang paling sesuai bagi baung ialah masakan gulai tempoyak ikan baung, kukus, masak lemak cili padi dan ia menu wajib lebih-lebih lagi jika trekking dan memancing di atas boathouse.
Tidak hairanlah, ikan baung kuning mampu meraih harga yang tinggi bila dijual, terutama jenis baung sungai. Manakala baung akar yang memiliki badan lebih panjang dianggap memiliki rasa yang lebih sedap berbanding baung biasa.
Umpan Pilihan
Tidak sukar untuk mencari umpan khusus bagi memancing spesies baung kuning. Antara umpan asas, mudah dan paling mujarab ialah cacing tanah. Umpan universal ini memang tidak disangkal antara umpan memancing yang paling mujarab termasuk untuk pancingan baung.
Selain itu, cengkerik dan anak udang juga turut berkesan untuk memancing spesies ini. Selain umpan asas, terdapat juga umpan yang lebih kompleks namun cukup ampuh menjerat baung. Umpan busuk seperti umpan tapa yang berasaskan bau juga merupakan umpan popular bagi memancing ikan baung. Cuma ia bergantung kepada pemancing sama ada sanggup untuk menggunakannya atau tidak.
Selain pancingan dasar, terdapat juga sesetengah keadaan spesies baung menghentam gewang. Jangan tak percaya jika dikatakan baung juga menyambar gewang. Walaupun tidak begitu popular, namun kaedah casting dan trolling menggunakan gewang jenis selaman dalam atau sederhana dan gewang rattlin mampu menaikkan spesies baung jika gewang tersebut lalu di hadapannya.
Untuk menjerat baung bersaiz besar (biasanya kaedah taut) umpan yang terbaik, tidak lain tidak bukan ialah menggunakan anak ikan yang disauk seperti ikan terbul, lampam sungai bersaiz 2-3 jari.
Mata kail perlu dicangkuk di bahagian atas badan atau ekor sebelum dibiarkan hidup di permukaan air dan boleh juga kaedah pancingan dasar.
Apa sekalipun, ternyata spesies baung bukanlah spesies yang liat memakan umpan. Cukup hanya menggunakan umpan asas seperti cacing tanah, meluangkan masa untuk memburu spesies bermisai ini memang berbaloi lebih-lebih lagi jika dilakukan bersama rakan-rakan terdekat.
Ikan handalan ini mampu mengeluarkan tali pancing milik pemancing dengan mudah, memaksa joran aksi berat anda menerima tekanan berterusan, kemudian pemancing itu sendiri terpaksa minta bantuan, setelah tidak mampu lagi menangani berseorangan.
Para pemancing perlu ketahanan fizikal supaya dapat menyerap asakan solid ikan aya irip kuning ini. Malah ia diiktiraf sebagai salah seekor ikan gamefish paling popular buat kaki pancing. Sesetengah ikan ini boleh dikesan dengan kehadiran kumpulan ikan lumba-lumba dan juga burung camar.
Apabila berjumpa fenomena ikan lumba-lumba berebut makanan di permukaan air, burung camar menujah dari atas ke dalam air manakala pada masa yang sama juga ikan-ikan aya akan menyerang mangsa dari bawah.
Ketiga-tiga pemburu ini mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain mengekori pergerakan anak ikan terutama bilis. Mereka berkongsi habuan hasil tanpa permusuhan di kalangan spesies ini.
Teknik Dan Umpan
Teknik hanyut, menunda dan pertengahan air paling mujarab memburu ikan aya kuning sesuai dengan sifatnya berlegar di pertengahan dan permukaan air. Usah dihulurkan umpan anda hingga dasar yang dalam. Jika ditinjau di beberapa kawasan tumpuan dunia memancing aya sirip kuning, setiapnya mengamalkan teknik pancing yang berbeza.
Teknik tradisional masih diamalkan secara meluas bagi tujuan komersial. Cara moden pula melibatkan kos tinggi dan kebanyakannya dipelopori oleh pemancing profesional dan pemancing bangsawan sahaja.
Jika diperhatikan cara tempatan dengan nelayan Maldives pula, saya rasa cara Maldives lebih senang dan mudah. Tangsi tidak perlu panjang hanya 7 hingga 15 kaki berbanding nelayan kita mengunakan satu gelung tangsi sama.
Cara mereka memanggil ikan datang rapat ke permukaan dan merembat terus ikan ke permukaan manakala cara tempatan pula menunggu ikan sama ada pertengahan dan permukaan air serta melayan dengan berhati-hati ketika bertarung dengan ikan.
Aya sirip kuning adalah sejenis ikan memburu secara berkumpulan. Mangsanya terdiri dari ikan-ikan pelagik juga turut sama mendiami kawasan laut dalam. Selain itu spesies aya lebih kecil juga sebahagian dari dietnya. Yang lain termasuklah sotong dan krustasia tapi sotong lebih banyak terutama ketika musimnya.
Selain dari itu ia mudah ditipu dengan pergerakan bulu putih (bulu itik) itik dan jig. Setengahnya menyambar kedua-dua umpan tiruan ini ketika perebutan mendapat makanan berlaku.
Peralatan pancing
Apakah peralatan pancing paling sesuai untuk ikan berskala purata 2 meter panjang dan berat hampir 100 kg berat? Selain menggunakan koyan berskala tangsi 200 lb?
Berhadapan dengan pecutan tiba-tiba, henjutan seluruh joran dan tekanan sepanjang masa membuatkan rami terfikir, ‘buat apa susah-susah pancing ikan terlalu besar… dapat pun susah sangat nak naikkan. Baik cari yang table size lagi bagus buat lauk!”
Bayangkan, bila anda mengetat habis sistem tegangan kekili atau drag, tapi tangsi masih ditarik keluar! Ketika inilah sesetengah pemancing terfikir betapa kerdilnya mesin tersebut berbanding dengan kekuatan ikan aya sirip kuning. Kekuatan ikan aya sirip kuning ketika merembat mata pancing tidak lama, sebelum ia lemah.
Aya sirip kuning akan bergegas melarikan tali pancing sebaik sahaja menelan umpan. Ketika membuat sentapan balas, ia akan menujah ke kawasan lebih dalam, bertahan sehingga ia letih. Setelah Puas ia mengeluarkan tangsi pemancing barulah ia mengikut arah masuk tangsi pula, ketika ini ia mudah dipujuk rapat ke arah bot sebelum ditewaskan.
Peralatan tugas berat seperti Penn International 50 SW, Shimano Tiagra , Shimano 50 TLD maupun Alutechnos, Accurate BOSS adalah kelas utama untuk bermain dengan speises aya ini.
Peralatan ini perlu mampu menyimpan tangsi yang panjang kekuatan minimum 50 paun mono atau 100 paun tali sulam. Perambut disyorkan adalah jenis clear minimum 70 paun. Saya biasa mengunakan perambut Berkley Big Game Leader 60 paun, 100 paun dan 150 paun.
Mata kail pula haruslah dari 6/0 hingga 12/0 yang kuat serta tajam. Jika berhajat 50 kg ke atas pemilihan mata kail dan perambut perlu diteliti dengan tepat. Anehnya nelayan luar masih ada mengunakan mata berskala 1/0, tetapi ia mampu mendaratkan specimen hampir lebih dari 50 kg. Tiada mustahil jika ada keyakinan tapi letihlah sikit sambil melayan dan berharap agar mata kail tidak patah atau lurus!.
Selain itu tali pinggang (fighting belt) dan penahan perut sekali (hardness) perlu disediakan sebagai alatan sampingan. Ada masa kita perlukan ia apabila bot yang disewa terutama bot nelayan tidak dilengkapi peralatan sampingan ini.
Akhir sekali ketahanan mental, fizikal dan isi poket amat diperlukan memandangkan belanja untuk mendakap spesies ini bukanlah murah.
Sentiasa pastikan di mana kedudukan batu ladung dan mata kail sebelum membuat balingan. Elakkan dari melakukan balingan sekiranya ada sesiapa yang bergerak di belakang anda.
Cuba elak daripada mengamalkan teknik balingan secara putaran untuk mendapatkan momentum balingan kecuali tiada sesiapa di kiri dan kanan anda.
Pastikan tiada halangan atau sesuatu yang terbelit sebelum melakukan lontaran. Dengan momentum balingan yang kuat, tali pancing atau hujung joran boleh patah sekiranya terdapat halangan.
Jika anda bukan seorang perenang yang baik, sebaiknya jangan lakukan balingan di dalam air melebihi paras pinggang, apatah lagi ketika permukaan laut agak berombak. Risiko ditarik ombak ke tengah laut kemungkinan besar akan berlaku.
Pastikan drag kekili diketatkan sebelum melakukan balingan. Sebaiknya juga alas jari anda dengan plaster atau memakai sarung tangan. Seretan tali sulam dengan mudah menghiris jari umpama mata pisau.
Selepas melakukan balingan, longgarkan drag kekili dan sebaiknya jangan pancangkan jorak melebihi sudut 90 darjah. Sentapan ikan bersaiz monster boleh menyebabkan hujung joran patah.
Sekiranya ingin melakukan lontaran dari dalam air, pastikan kawasan tersebut bebas dari kewujudan ulat bulu laut. Atau sebaiknya jangan berkaki ayam ketika meredah masuk ke dalam air.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...