Ikan duri pulutan tidak terus menelan umpan, tetapi akan bermain dan mengutis terlebih dahulu sebelum melarikannya. Tapi jika pulutan terlalu banyak di kawasan sama pasti rebutan terhadap umpan semakin meriah dan bertambah galak.
Daya juangnya ketika melawan pemancing mempunyai keunikan tersendiri. Pemancing yang sudah masak dengan alunan dan riak spesies ikan duri ketika mata kail berada di mulutnya mudah mengagak ikan dari peringkat permulaan lagi. Gaya henjutan semacam pada pecutan sekata adalah ciri-ciri utama pulutan berlawan.
Melalui analisa saiz maksimum pulutan membesar tentu secara khusus pemancing boleh agak apakah saiz dan kombinasi peralatan yang sesuai untuk menawannya. Namun begitu keserasian peralatan yang bakal digunakan pula mestilah mengambil kira faktor kedalaman air, kelajuan arus serta jenis dan teknik memancing yang bakal dijalankan.
Sekiranya pantai menjadi pilihan, kekili yang boleh memuatkan tangsi 20lb sepanjang 200meter amat sesuai dan perlu dipadankan dengan joran 9 kaki ke atas.
Jika menggunakan bot atau sampan untuk memancing, joran 6 kaki dengan apa jua kekili maksima 30 lb sudah mencukupi. Jika padang pancing cetek dikunjungi saya lebih syorkan tangsi dipakai berbanding menggunakan tali sulam.
Selaras dengan tabiat ikan pulutan yang sentiasa berada di dasar lautan, teknik memancing dasar paling efektif. Maka pemancing perlu bijak menggunakan ladung yang sesuai dengan arus semasa supaya umpan tidak hanyut.
Pulutan dan hampir semua duri tidak cerewet pasal umpan. Begitu juga dengan saiz perambut dan mata kail. Bagaimanapun untuk memastikan sentapan berakhir dengan kejayaan, saiz mata kail paling sesuai ialah no 1/0 dan 3/0 sudah dianggap besar.
Perambut 30 lb sepanjang sekaki setengah merupakan stail kegemaran saya jika memancing di air kurang dari kedalaman 50 kaki. Tangsi 20lb-30lb paling lumrah saya gunakan untuk mana-mana teknik memancing muara.
Umpan
Kalau memancing mana-mana jenis ikan duri boleh dikatakan hampir semua jenama umpan disebatnya. Pulutan juga jarang dan tidak terlalu memilih umpan. Asalkan ia berada di kawasan laluan pasti tidak ditolaknya.
Dari udang hidup, perumpun, sotong cumit, jejari sotong kurita, hirisan sotong pasar, hirisan ikan pelaling, ikan beliak mata hidup dan mati, belanak dan perumpun. Paling mudah dan tidak ingin memeningkan kepala pasal umpan guna sahaja ikan pelagik seperti pelaling, selayang selar dan tamban mudah didapati di kebanyakan pasar utama.
Hirisan ikan-ikan pasar lebih mudah dan menjimatkan belanja jika sekadar untuk memancing suka-suka di pinggiran pantai dan muara. Hirisan jangan terlalu besar kerana pulutan tidak menelan terus umpan kerana saiz lazim kurang dari sekilo.