Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya akan mengisi masa tersebut dengan aktiviti memancing.
Sekiranya pada minggu tersebut ada pertandingan memancing berdekatan, maka saya akan sertai pertandingan tersebut.
Sekiranya tiada, maka saya akan isikan dengan aktiviti memancing sama ada memancing kolam air tawar berbayar, sungai atau juga lombong. Yang pasti, ia ialah aktiviti memancing.
Baru-baru ini, kira-kira dua bulan lalu, saya dipelawa oleh seorang rakan untuk menyertai kumpulannya memancing di kelong.
Walau pun ia bukanlah jenis pancingan yang selalu saya lakukan, tapi saya gemar juga pancingan air masin.
Cuma, disebabkan lebih menumpukan perhatian pada pancingan air tawar maka peralatan pancingan air tawar sahajalah yang saya miliki.
Trip memancing di kelong atau lebih tepat lagi di Kelong Tok Ram, Pasir Panjang, Port Dickson ini dianjurkan oleh kelab memancing Group Nelayan Kita.
Ads
Group Nelayan Kita sebenarnya ialah kelab memancing yang terdiri daripada gabungan guru sekolah dan guru yang sudah bersara.
Ia sebuah kelab memancing yang aktif juga dari Lenggeng, Negeri Sembilan. Bagi trip ke kelong ini seramai lapan orang ahli turut serta atau mengambil bahagian.
Walau bagaimana pun trip ini bukanlah trip yang terlalu beria sangat, sebaliknya lebih kepada konsep bersantai sahaja.
Rombongan kami seramai sembilan orang tiba di jeti Kg. Telok, Pasir Panjang kira-kira jam 6.30 petang.
Tanpa perlu menunggu lama kami terus sahaja dibawa ke kelong dengan menggunakan bot. Jarak jeti dengan kelong tidaklah jauh sangat sekitar 2 kilometer sahaja.
Ads
Dalam beberapa minit sahaja kami sudah pun berada di atas kelong.
Selepas Maghrib, semua ahli rombongan bersiap sedia dengan peralatan memancing dan tidak sabar untuk memperoleh tangkapan pertama sebagai lesen pembuka tirai.
Sememangnya kami tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh hasilnya tangkapan.
Kawasan sekitar kelong Tok Ram didiami pelbagai jenis ikan. Paling banyak tentu saja ikan gelama. Malah ikan gelamalah yang kebanyakannya menjadi lesen perkenalan kami di sini.
Ads
Selain gelama kami turut berjaya mendaratkan ikan gemang, senangin, gelama papan, ketuka, kerapu, duri, malong dan macam-macam lagi.
Walaupun saiz ikannya tidaklah sebesar mana, hanya saiz yang biasa didaratkan di mana-mana kelong, namun ia begitu menghiburkan dan tidak bosan kerana ikan dinaikkan bersilih ganti.
Jika tidak disebabkan cuaca kurang baik menjelang lewat malam dan hujan renyai, kemungkinan besar kami berjaga sehingga ke siang hari.
Setelah berehat beberapa jam, awal-awal pagi kami telah bangun dan menyambung aktiviti memancing sehinggalah ke tengah hari.
Setelah lewat tengah hari kami berkemas dan kembali ke jeti dengan penuh kegembiraan walaupun hasil yang kami bawa pulang tidaklah sebanyak mana.
(Sumber: Kd Negri)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Untuk menjayakan trip memburu black bass atau kanai di Sabah bersama Pak Sudir, saya telah merancangnya setahun lebih awal. Selama setahun jugalah saya membuat persiapan rod, reel dan lure yang sesuai untuk dibawa.
Diringkaskan cerita, sampai masa iaitu pada 3/8/2018, saya memulakan trip dengan menggunakan sampan bersama enjin 15 hp.
Pada hari pertama trip, saya tidak dapat merasakan tarikan black bass. Tiada seekor pun black bass yang berjaya dipancing. Bagaimana pun saya dapat juga menaikkan beberapa ekor siakap merah atau MJ yang bersaiz sederhana dan beberapa ekor barracuda.
Berdasarkan info yang saya dapat dari boatman (Pak Sudir), faktor air memainkan peranan penting dalam mendaratkan ikan black bass.
Hari pertama casting hanya tertumpu di kawasan Kuala Maruap. Pada hari kedua aktiviti casting tertumpu di kawasan Dagat yang memakan masa sekitar 2 jam perjalanan dari jeti Lasun.
Dengan panduan Pak Sudir, sebaik saja sampai di spot Dagat, saya pun casting menggunakan Fangbait 140dr.
Setelah casting selama 4 jam, saya tidak juga dapat merasakan tarikan black bass. Faktor cuaca juga tidak menyebelahi kami dengan turunnya hujan lebat yang lagi merumitkan proses mencari black bass. Dengan tidak berputus asa, saya pun meneruskan pencarian black bass.
Pada hari ketiga, kali ini kami tertumpu di kawasan Sungai Segama dan Hulu Segama. Hari ketiga boleh dikatakan amat bagus kerana akhirnya saya dapat mendaratkan beberapa ekor black bass yang bersaiz kecil. Disamping itu ada juga spesies lain yang saya dapat dapat seperti barracuda, MJ, dan baby GT.
Untuk hari keempat kami meneruskan aktiviti casting di kawasan Pangalungan. Menurut Pak Sudir, keadaan air pada hari keempat amat bagus dan harap dapat mendaratkan black bass yang melebihi 5 kg.
Saya amat gembira bila air sungai amat bagus untuk mencari black bass dan saya pun casting bertubi-tubi. Akhirnya saya mendapat strike yang amat kuat! Saya cuba sedaya upaya untuk mendaratkannya tetapi nasib tidak menyebebelahi saya. Tali utama 72 lb yang saya gunakan meletup.
Namun ia tidak mematahkan semangat saya yang meluap-luap. Dengan segera saya mengambil set up pancing yang lain dan meneruskan casting di kawasan pokok yang tumbang. Dengan beberapa kali cast saya mendapat strike dan dapat menaikkan seekor black bass monster!
Sukar untuk saya beritahu perasaan saya ketika itu kerana berjaya menaikkan black bass seberat 9.12 kg! Dan black bass 9.12 kg itu menjadi penamat atau tangkapan yang last untuk hari yang keempat.
Pada hari kelima kami meneruskan casting di kawasan hulu Sungai Segama dengan harapan dapat menaikan black bass yang melebihi 9.12 kg pula.
Pada sebelah pagi tiada strike langsung. Pada sebelah petang pula dapat strike ikan tarpon (ikan bulan), MJ dan baby black bass.
Hari kelima merupakan hari yang last untuk trip ini. Saya amat berterima kasih kepada Pak Sudir yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang trip dan tidak lupa juga Ng Yam Pin (Ironman), NSA atau One Nation Anglers yang banyak memberi sokongan untuk menjayakan trip black bass sehingga menjadi kenyataan. Keesokannya saya terbang pulang ke Johor Baharu dengan hati puas.
Musim sotong pada tahun itu, saya bersama enam lagi rakan mengambil keputusan mencuba mencandat sotong di sekitar perairan Setiu, Terengganu.
Menaiki kereta dari Petaling Jaya menuju ke Kampung Mangkuk, Penarik, Terengganu sememangnya cukup jauh dan biasanya kami akan berehat dahulu dengan menyewa mana-mana chalet sebelum turun ke laut.
Kami bertolak ke lokasi sekitar jam 3 petang dan perjalanan menaiki bot ke lokasi mencandat mengambil masa kira-kira sejam setengah.
Dalam perjalanan, tekong beberapa kali singgah ke beberapa unjam kerana ada permintaan rakan yang mahu melabuhkan appolo mencari ikan lauk.
Tiba di lokasi, hari beransur petang dan mulai gelap dan bermulalah aktiviti mencandat. Beberapa buah bot turut kelihatan mencandat sotong.
Pada awalnya banyak juga sotong yang dinaikkan oleh kami, namun menjelang jam 11.00 malam, sotong agak berkurangan dan langsung tiada selepas itu.
Beberapa orang rakan ada yang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Tekong pula menyediakan air kopi O, apalagi time makanlah terlebih dahulu. Masing-masing membuka bekalan nasi, roti dan kudapan lain.
Dalam ramai-ramai rakan saya, hanya Mat kali pertama turun ke laut. Kesannya, Mat mulai pening dan mabuk sejak petang tadi dan akhirnya dia tewas juga apabila muntah. Walaupun telah berehat di dalam kabin, kesian kami melihatnya apabila muntah beberapa kali selepas itu.
Tekong kemudiannya mengambil keputusan untuk mengubah lokasi. Kira-kira 15 minit kemudian, enjin bot pun dimatikan. Tekong perasan terdapat objek pelik di permukaan laut. Rupa-rupanya gerombolon sotong berada sedang berada dalam kedudukan menegak.
Apa lagi, kami pun menurunkan set appolo candat, memang silih berganti kami naikkan. Tekong pun turut sama.
“Pesta-pesta” katanya! Rupa-rupanya kami telah bertemu secara tidak sengaja, kumpulan sotong yang besar. Memang rezeki kami.
Sedar tak sedar, empat tong Coleman yang kami bawa telah penuh dan menjelang subuh kumpulan kelibat sotong tidak lagi aktif.
Tepat jam 7.30 pagi, kami mengambil keputusan untuk pulang. Tiba di jeti, kami menimbangnya, lebih dari 100kg sotong berjaya kami naikkan. Syukur, kerana trip kali ini begitu lumayan.
Berau merupakan salah satu daripada kabupaten (daerah) di provinsi Kalimantan Timur, Indonesia.
Dengan keluasan 34,127 kilometer persegi , ia hampir menyamai keluasan negeri Pahang (35,960 kilometer persegi).
Untuk menjejakkan ke Berau dari Malaysia haruslah menaiki dua penerbangan (sekarang ini 3 penerbangan).
Dari KLIA ke Sultan Aji Muhamad Sulaiman International Airport (Sepinggan Airport, Balik Papan, Kalimantan Timur) dan seterusnya ke Kalimarau Hero Domestic Airport, Berau yang memakan masa 50 minit perjalanan.
Jika melalui jalan darat dengan jarak 580 kilometer, ia akan menelan masa sekurang-kurangnya 13 jam.
Dari Tanjung Redeb (ibu kota Berau) ke Kecamatan Kelay pula haruslah meredah jalan darat pergunungan sejauh 100km dengan tempoh perjalanan sekitar 3 jam.
Buka Jalan
Melalui Azuan Man @ Pak One yang sering ke Berau atas urusan kerja, satu trip dibuka dalam grup Whatsapp Alucast.
Tidak sampai setengah jam kuota 7 orang pemancing segera terisi. Saya agak bernasib baik apabila 2 orang pemancing terpaksa menarik diri dan tempat tersebut segera ditempah sebelum impian yang sekian lama terpendam terus berendam lagi.
Setelah melalui jalan udara, jalan tar, jalan tanah merah dan melelapkan mata buat seketika, keesokan paginya kami berlapan (Pak One, Haji Salleh, Haji Din, Nik, Bujeng,
Anhar dan Blue) barulah memulakan perjalanan sebenar menerusi jalan air ke rangkaian sungai di pergunungan Berau.
Hari pertama
Empat buah bot pancung enjin ekor biawak digunakan dalam ekspedisi rangkaian sungai pergunungan Berau ini.
3 buah digunakan untuk membawa pemancing dan sebuah lagi berperanan sebagai kargo. Perjalanan mudik ke hulu sungai merentas jeram-jeram kecil berbatu yang cetek airnya ke tapak perkhemahan yang memakan masa hampir 2 jam pula.
Tiba di tapak perkhemahan di tebing sungai yang landai dan berbatu, waktu sudah menjelang tengah hari.
Setelah berehat seketika mengisi perut dengan ala kadar barulah sesi yang teramat sangat dinantikan menjelma.
Dua buah sampan menongkah ke hulu dan sebuah lagi menghilir dengan kaedah casting sambil berhanyut.
Destinasi mudik ke hulu adalah lubuk berjeram yang merupakan spot kegemaran Pak One.
(Video : Jeram yang banyak dihuni sebarau saiz badong)
Sejurus tiba, masing-masing tidak menunggu lama untuk melepaskan keterujaan yang sekian lama terpendam.
Sebarau Berau ternyata bukan gurau apabila salah seorang boatman menjadi individu pertama berjaya mendaratkan dan memperkenalkan sebarau Berau dengan skala saiz 4 kilogram.
Sememangnya saiz sebarau Berau bukan gurau. Setelah hampir 20 tahun saya melibatkan diri dalam dunia hanyir, inilah buat pertama kali saya melihat dengan mata kepala sendiri sebarau yang selayaknya digelar badong!
Sebarau yang dilepaskan kembali ke lubuknya itu menjadi inspirasi kepada kami untuk memburu lesen sebarau Berau.
Setelah agak lama tanpa lesen, kami tongkah ke hulu lagi sehingga ke penghujung jeram cetek yang gagal diharungi sampan dan berhanyut turun sambil casting.
Sebelum lewat petang dan menamatkan sesi memancing hari pertama, saya berjaya juga memperolehi lesen sebarau Berau anggaran 3 kilogram.
Sekitar 4 jam sesi memancing pada sesi hari pertama, hampir 50 peratus ahli gagal untuk memperoleh lesen sebarau Berau.
Namun ia bolehlah dianggap sebagai sesi pemanas badan kerana masih ada 3 hari lagi untuk casting sampai lebam.
Sementara itu Pak One awal-awal lagi sudah memperbaharui lesen tersendiri. Bukan lesen sebarau sebaliknya lesen sapan! Sapan adalah nama tempatan bagi kelah merah.
(Video : Aksi Pak One di jeram kegemarannya)
Hari Kedua
Hujan di bahagian hulu menyebabkan paras air sungai sedikit meningkat dan keruh. Berbekalkan makan tengah hari kami terus ke lubuk jeram.
Dua buah sampan berhenti di lubuk jeram dan sebuah lagi terus menongkah ke hulu.
Memadai hanya setengah hari, bukan saja kesemua ahli berjaya memperoleh lesen sebarau Berau malah lesen sapan juga.
Hanya di satu lubuk sahaja, berbelas ekor sebarau berjaya didaratkan dan saiz-saiznya seperti sukar untuk dipercayai. Semuanya purata saiz 3 hingga 5 kilogram.
Jumlah tangkapan sebarau dan sapan terus meningkat apabila sesi memancing dengan sampan diteruskan sehingga lewat petang.
Sekali gus menjadi hari terbaik kepada semua ahli trip.
Hari Ketiga
Hari ketiga kami mengambil keputusan menghilir keluar sambil memancing untuk ke sungai utama dalam rangkaian sungai pergunungan berau.
Sungai yang lebih luas dan panjang. Meskipun banyak masa dihabiskan dalam perjalanan dan sempat memancing beberapa jam sahaja.
Dari segi kuantiti tangkapan agak merosot sedikit, namun rekod tangkapan sebarau dan sapan terbesar dengan skala saiz melebihi 6kg berjaya didaratkan.
Hari Terakhir
Sementara pada hari keempat yang merupakan hari terakhir, sesi pancingan agak santai sambil berhanyut keluar dan kembali ke pangkalan di perkampungan para boatman.
Sejurus tiba di pangkalan pada lewat senja, kami segera bergerak pulang ke hotel penginapan di Tanjung Redeb melalui jalan bukit pergunungan yang sempit dan mendebarkan.
Berehat dan bermalam seketika sebelum bangkit di awal pagi agar tidak terlepas penerbangan ke Balik Papan dan seterusnya terbang ke tanah air.
4 hari memancing terasakan begitu pantas berlalu.
Tiada kenangan pahit yang dibawa pulang melainkan manis-manis belaka. Semanis isi sapan yang menjadi santapan kami sepanjang bergurau di Berau, sebarau Berau bukan gurau!
Apa kata pemancing:
Azuan Man aka Pak One
“Setelah beberapa kali melakukan trip survey dan terbukti sebarau berau bukan gurau adalah realiti, saya rasakan umpama satu dosa yang tidak terampun sekiranya saya sendiri saja yang menikmatinya tanpa membuka peluang kepada rakan-rakan pemancing lain.”
Nik Mahalil
“Trip freshwater terbaik setakat ini yang pernah saya sertai. Alhamdulillah… Merasalah jugak casting kelah menggunakan gewang.”
Shuk Rahim
“Kerjasama serta ukwah di antara para peserta menjadikan trip ini bukan setakat berjaya malah menjadi satu pengalaman dan kenangan manis yang tak dilupakan. Guide tempatan juga wajar dipuji dengan servis yang diberikan.”
Haji Salleh
“Trip yang sangat tidak mendukacitakan. Memang cukup teruja dan puas hati dengan tarikan ikan yang mega-mega. Sebarau 4.5 kg… Kelah 5.5 kg. Memang pengalaman yang tidak dapat dilupakan.”
Bujeng
“Pada setiap lontaran terasa macam ada bapak-bapak ikan yang akan membaham! Memang tak jumpa yang saiz S seolah-olah ikan-ikan di sini beranak… Bukannya bertelur!”
Anhar
“Satu pengalaman yang terlalu abstrak untuk diceritakan. Bagaimana mahu diungkapkan apabila anda menikmati realiti dalam fantasi anda.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...