Apabila mendapati kehadiran ikan cencaru mula memasuki kawasan kelong, gunalah ikan tamban ini sebagai umpan. Ikan tambah dibuang sisik dan kemudian dipotong kecil. Isi ikan ini kemudian dicangkukkan pada mata kail apollo saiz 12 hingga 16.
Apollo enam mata kail ini tidak perlu digunakan kesemuanya. Memadai hanya menggunakan 3 mata saja dengan cara memotongnya kepada dua bahagian. Secara tidak langsung ia lebih menjimatkan.
Ads
Apollo 3 mata kail yang telah dicangkukkan isi ikan tamban itu kemudiannya dilontarkan ke spot berdekatan kelong. Ia tidak perlu dilontar jauh. Biarkan batu ladung mencecah dasar dan kemudian sekadar tegangkan tali pancing dan tunggu. Konsepnya sama seperti pancingan dasar memancing ikan merah dan lain-lain lagi.
Kawasan sekitar kelong boleh dianggap sebagai cetek. Oleh yang demikian kebanyakan ikan pemangsa atau pelagik seperti cencaru akan turut turun ke dasar jika menemui makanan.
Ads
Disebabkan inilah memancing ikan cencaru menggunakan sabiki atau apollo yang diletakkan umpan segar lebih berkesan berbanding sekadar menggunakan apollo saja.
Korang pernah strike siakap merah aka mangrove jack (MJ) ke tidak… lemah! Tidak lemah saudara… kalau langsung tak pernah niat nak strike MJ baru lemah. Memancing MJ tidak semudah yang dibayangkan. Perlu juga ada ilmu dan teknik yang betul, selebihnya terserah pada rezeki.
Dalam konteks ini, saya lebih suka bereksperimentasi pelbagai cara, hingga pernah terfikir untuk merendam gewang. Memasang ladung dengan hujungnya berumpankan Rapala Shad Rap. Mujurlah saya terlebih dahulu belajar teknik yang lebih baik dari itu.
Mungkin sudah ramai yang tahu perihal habitat ikan ini. Di kawasan sungai atau estuari berbakau, siakap merah lebih tertumpu di kawasan bereba (akar bakau atau pokok mati). Ini kerana, ia spesies predator yang menjadikan ikan-ikan kecil sebagai diet dan kawasan itu menjadi tempat persembunyiannya menghendap mangsa. Memadai jika umpan dihulurkan di tepi tebing berhampiran reba yang berpotensi.
Untuk memancing siakap merah dari tebing (landbase), tidak perlulah umpan dibaling jauh ke tengah kecuali memancing di kolam berbayar. Andai kata mahu juga baling ke tengah, silakan, kemudian perlahan-lahan karau sehingga umpan berada tidak jauh dari tebing. Pun boleh juga.
Antara teknik terbaik memancing siakap merah adalah dengan menghanyutkan umpan, yakni, tidak menggunakan ladung. Umpan ekonomi – udang pasar sudah memadai. Umpan yang dibawa arus perlahan akan bergerak ke atas dan ke bawah seterusnya menggiurkan si ikan untuk menerkam.
Ibarat si suami pada malam pertama. Teknik ini sangat sesuai ketika arus perlahan. Labuhkan umpan sehingga arus menghanyutkannya ke arah reba. Namun keadaan arus mati atau laju mungkin tidak sesuai dengan teknik hanyut ini. Dalam keadaan arus laju, ladung kecil boleh digunakan untuk mengelak umpan timbul di permukaan.
Kalau hendak dikira, sudah berpuluh atau mungkin hampir mencecah ratus bilangan MJ berjaya didaratkan oleh saya dan rakan-rakan melalui teknik ini. Tidak kira saiz penuh kuali atau dua jari, teknik ini jarang menghampakan. Namun bagi pemancing yang beretika, amalkan ‘bag limit’ dan yang kecil dilepaskan semula agar menjadi penyambung generasi.
Suka saya mengingatkan supaya ‘drag’ kekili dibuka ketika menunggu umpan digetu ikan bagi mengelak kejadian joran melompat terjun ke sungai ala atlit papan anjal yang akhirnya membuatkan anda berputih mata. Pengalaman itu pernah saya lalui sendiri.
Sebarang ikan yang menyambar umpan pemancing bukan berdasarkan kepada jenis peralatan, harga, saiz, jenama dan empunya pancing. la lebih tertakluk kepada cara penyampaian, umpan, lubuk serta nasib pemancing itu sendiri.
Untuk aruan tasik, jika pemancing menggunakan peralatan aksi ringan tentu bagai nak tercabut lengan melawannya. Kalau cekap mengawal peralatan, episod separuh jalan mungkin dapat dihindarkan.
Sebagai mana sifat ikan berkulit ‘Melayu’ ini yang amat rakus melarikan tangsi, peralatan kelas menengah ke atas disyorkan dengan kekuatan tangsi dari 15-30lb.
Joran pendek (joran bot) lebih sesuai dengan lenturan parabolik agar mudah pemancing mengepam dan memujuk ia menyerah diri. Denyutan hujung joran berulang kali membuatkan ramai pemancing bertambah gian untuk bertarung dengannya lagi.
Memancing dari bot lebih senang kerana spesies ini lebih tertumpu di luar pantai. Gancu juga perlu jika anda berminat untuk membawanya pulang, jika tidak, potong saja tali perambut atau biarkan saja ia memutuskan perambut ketika menggelupur di permukaan air tanpa mencederakannya.
Untuk sportfishing, disyorkan agar menggunakan mata kail jenis ketajaman kimia (chemical sharpness) yang mudah reput apabila berada lama di dalam air.
Dengan ini, mata tertanggal dengan sendiri dan ikan bebas seperti biasa untuk pertarungan di masa akan datang. Mata kail jenis Octopus untuk umpan hidup dan O’Shaughnessy untuk umpan mati dengan saiz 1 hingga 4 adalah disyorkan.
Teknik Dan Umpan
Aruan tasik sentiasa berkeliaran mencari mangsa di kawasan yang memiliki makanan yang banyak. Mangsa pula terdiri dari anak-anak ikan pelagik, sotong, udang, ketam dan anak-anak ikan lain yang berada di habitat laluannya seperti anak kunyit.
Oleh kerana berketurunan pemburu, menggunakan umpan ikan mati tidak menjadi masalah untuk menawannya. Jika ia ada berdekatan, umpan ikan tadi akan menjadi mangsa sementara aruan tasik akan menjadi milik anda.
Walaupun aruan tasik sejenis ikan pelagik, memancing dasar mempunyai peratus sentapan yang lebih tinggi berbanding pertengahan air dan permukaan (teknik hanyut atau guna belon). Selain itu, teknik menunda juga berkesan untuk mendapatkan aruan tasik.
Gewang ikan, sotong atau skirt boleh digunakan untuk menunda aruan tasik. Kawasan pilihan menunda ialah di sekitar pulau, luar kawasan unjam dan kawasan pantai berbatu karang. Jangan menunda berdekatan dengan unjam dan pelampung bubu kerana pasti gewang anda tersangkut pada tali yang berserangkai.
Lengkapkan peralatan anda dengan umpan pilihan tadi dan padankan dengan perambut di antara 40-60lb. Perambut tangsi memadai dan berkonsepkan ‘satu aruan tasik, satu perambut’.
Biasanya perambut tangsi akan calar akibat bergeser dengan barisan gigi halusnya. Aruan tasik mempunyai kekuatan larian dan junaman yang kuat, konsisten dan suka berlegar di permukaan sebelum membuat junaman di saat akhir.
Banyak kes putus perambut di permukaan air terjadi apabila teknik menggancu tidak betul. Pada masa ini bukan saja aruan tasik, spesies-spesies lain juga mampu membuat junaman apabila badan tersentak atau sakit (kena sipi) ketika si pemancing sudah yakin ikan tersebut dalam genggaman.
Jika terjumpa aruan tasik berlegar di sekitar bot, sistem tegangan perlu ‘disetkan’ pada tahap sesuai bagi membenarkan larian junaman selepas mata pancing sudah tersusuk pada bahagian mulutnya. Kalau anda tersilap, sarang burung terjadi atau tangsi kehabisan dipecutnya.
Dalam dunia memancing, ikan terbul disebut dalam dua keadaan. Pertama, ikan terbul yang dipancing sebagai ikan sasaran dan kedua, ikan terbul yang digunakan sebagai umpan (lazimnya sebagai umpan hidup) untuk memancing ikan pemangsa.
Di tasik kenyir sebagai contoh, ikan terbul sebesar saiz ibu jari merupakan ikan hidup yang popular digunakan untuk memancing ikan sasaran seperti sebarau, belida dan juga baung.
Ikan terbul sebenarnya ialah yang mampu menghadirkan keseronokan memancing jika bertemu dengan spesimen yang kasar melebihi 20 cm. Pecutannya agak kencang umpama pecutan ikan rohu.
Tidak menghairankan ikan terbul ini turut digelar ikan turbo berikutan kuasa pecutannya. Disebabkan ia merupakan menjadi diet utama kebanyakan ikan pemangsa maka untuk bertemu dengan spesimen yang kasar amat sukar.
Pancingan ikan terbul sebenarnya lebih menjurus kepada aktiviti santai pemancing remaja di kawasan perkampungan luar bandar. Ini kerana perairan yang kurang tercemar seperti di perkampungan luar bandar ini habitat yang sesuai untuk survival ikan terbul. Walau bagaimana pun memancing ikan terbul mempunyai pelbagai teknik dan cara.
Bila memperkatakan tentang pancingan ikan terbul ini ia secara tidak langsung akan mengimbau kenangan zaman kanak-kanak kebanyakan pemancing hari ini. Ia antara aktiviti sampingan apabila tiada permainan yang ingin dilakukan bersama kawan lain. Peralatan pancing pun ringkas dan mudah.
Memadai dengan hanya tali tangsi atau tali benang yang digunakan untuk bermain layang-layang dan mata kail sahaja sudah boleh digunakan untuk memancing terbul. Joran pula sekadar batang buluh Cina atau tin susu saja. Umpan pula cacing tanah yang boleh dicari di tepian sungai.
Jika inginkan keseronokan sebenar memancing ikan terbul dengan penggunaan joran dan kekili maka pilihan terbaik adalah set pancingan ultra ringan. Kaedah memancing ikan terbul hampir sahaja dengan memancing lampam sungai atau temperas.
Namun mata kail sebaiknya yang halus atau mata kail udang saiz 2-4 amat sesuai digunakan. Selain cacing, terbul amat menyukai biji kekabu dan hirisan kelapa sawit.
Sekiranya anda biasa memancing ikan kelah, pasti anda faham bagaimana pentingnya teknik bersembunyi ketika memancing. Begitu jugalah jika memancing terbul terutamanya jika memancingnya di sungai yang jernih airnya. Ini kerana daya penglihatan ikan terbul amat baik dan tidak akan menghampiri umpan sekiranya terlihat kelibat anda.
Seperkara lain, untuk menarik perhatian terbul menghampiri umpan, anda haruslah kerap menabur umpan. Inilah rahsia sebenar untuk pancingan ikan apa-apa pun. Pastikan kumpulan ikan terus kekal berada di kawasan anda melontar umpan bermata kail. Cubalah, pasti anda akan terhibur dengan pancingan ikan terbul juga enak digoreng kunyit.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...