Ikan talang-talang adalah ikan lautan tropika yang popular sebagai sasaran pemancing berikutan memiliki tenaga, kepantasan dan aksi akrobatik berulangkali di luar permukaan air dalam usahanya untuk melepaskan mata kail yang tersangkut pada mulutnya.
Ikan talang-talang secara umumnya hidup di laut luas dan mendiami perairan pantai dan sering didapati berenang secara berkumpulan. Ikan talang-talang bersaiz kecil atau juvenil boleh ditemukan di muara sehingga sempadan air payau. Manakala talang-talang dewasa biasa ditemukan mendiami kawasan perairan terbuka berhampiran dengan terumbu karang atau tanjung.
Ikan talang-talang boleh dipancing dengan menggunakan umpan hidup, umpan potongan ikan, pelbagai jenis umpan tiruan serta jig. Jika menggunakan umpan hidup (ikan, udang atau sotong) bolehlah gunakan teknik apungan, pertengahan air ataupun dasar.
Walaupun talang-talang adalah ikan pelagik, yang mencari makanan di permukaan dan pertengahan air, talang-talang turut meronda hingga ke dasar laut yang cetek.
Disebabkan talang-talang merupakan ikan pelagik atau pemangsa, maka ia turut boleh dipancing dengan menggunakan gewang tiruan dengan teknik casting, popping, trolling dan jigging. Untuk kepuasan sebenar memancing talang-talang disarankan menggunakan set peralatan ringan.
Biarpun talang-talang tidak memiliki gigi tajam seperti tenggiri atau alu-alu namun ia memiliki mulut atau bibir kasar yang boleh memutuskan tali perambut. Oleh yang demikian penggunaan perambut fluorocarbon adalah lebih baik berbanding perambut nylon atau monofilamen.
Sekiranya kawasan tersebut ada kewujudan tenggiri maka bolehlah guna perambut dawai sebagai insuran walaupun untuk memancing talang-talang.