Ketuka itu adalah ketuka, bukannya pari kecil atau anak pari. Ia cuma keluarga pari tetapi berlainan dengan pari yang lain.
Memandangkan masih ada yang beranggapan bahawa ketuka itu ialah anak ikan pari, maka kami buat sedikit kaji selidik bagi membezakan pari dengan ketuka.
EKOR
Ini adalah perbezaan yang paling ketara untuk menentukan beza pari dan ketuka. Tidak seperti spesies pari yang berekor panjang (kecuali pari kelawar), ketuka hanya mempunyai ekor yang pendek sahaja, iaitu kira-kira kurang daripada sekaki atau 30 cm.
Namun harus diingat kedua-dua spesies ini mempunyai sengat yang sama di pangkal ekor. Oleh itu sentiasalah berwaspada ketika mengendalikannya.
Ads
WARNA
Ketuka mempunyai warna badan kecoklatan pucat pada bahagian atas dan perut berwarna putih. Sementara kebanyakan pari lain mempunyai corak dan pelbagai warna. Jika berwarna coklat tetapi lazimnya berwarna coklat yang lebih gelap.
SENGAT
Ads
Kebanyakan jenis pari mempunyai hanya satu sengat berbisa pada bahagian ekornya tetapi ketuka mempunyai dua sengat yang lebih kecil dan halus tetapi dikatakan lebih berbisa berbanding sengat pari lain.
SAIZ
Ads
Umum tahu bahawa ikan pari mempunyai saiz yang besar berbanding ketuka. Ketuka sememangnya sejenis spesies yang tidak membesar seperti ikan pari.
Menurut pengalaman peribadi penulis, ketuka yang paling besar pun sekitar 500 gram sahaja atau kurang daripada sekilogram, tidak seperti pari yang mampu menjangkau saiz puluhan kilogram.
Taksonomi Ketuka:
Order: Chondricthyes
Family: Dasyatidae
Genus: Himantura
Nama binomial: Himantura walga
Nama umum: Mangrove wipray
Nama tempatan: Ketuka
Taksonomi Pari (Pari Tanjung)
Order: Chondricthyes
Family: Dasyatidae
Genus: Dasyatis
Nama binomial: Dasyatis zugei
Nama umum: Sharpnose stingray
Nama tempatan: Pari ketuka / pari tanjung
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Lates calcarifer merupakan nama saintifik atau nama Latin bagi spesies ini. Selain di Malaysia dan kawasan Asia Tenggara, spesies ini juga sangat terkenal di Australia. Malah perkataan barramundi merupakan kata pinjaman dari sejenis bahasa di kawasan Queensland yang bermaksud ‘ikan sungai sisik besar’. Barramundi juga sebenarnya merujuk kepada ikan saratoga dalam bahasanya.
Barramundi atau kakap putih merupakan spesies ikan yang cukup terkenal di kalangan kaki pancing termasuk di Malaysia. Barramundi menjadi semakin terkenal sejak 1980-an. Selain daripada ikan sukan, ikan ini juga mula dikenali sebagai ikan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Sejak itu, profil spesies L. calcarifer ini semakin meningkat naik sehingga ke hari ini. Barramundi merupakan spesies ikan demersal yang biasanya tertumpu di kawasan muara, lagun dan sungai.
Kakap putih atau ramai yang lebih gemar memanggil siakap saja merupakan ikan catadromous dalam keluarga Latidae. Taburan spesies ini agak meluas terutamanya di kawasan perairan Indo-West Pacific.
Taburan ikan kakap putih boleh ditemui di pinggir timur Teluk Gulf sehingga ke China, Taiwan, selatan Jepun, selatan Papua New Guinea dan selatan Australia. Selain itu, kawasan perairan Asia Tenggara juga merupakan kawasan taburan spesies ini.
Di Malaysia, tidak sukar untuk menemui spesies ini kerana Malaysia dikelilingi oleh perairan yang panjang. Tidak hairanlah, kaki pancing di Malaysia cukup sinonim dengan spesies ikan ini. Antara kawasan yang sering menjadi tumpuan peminat kakap putih tertumpu pada bahagian muara dan tempat pertemuan laut dan sungai.
Ikan kakap putih merupakan spesies ikan yang mempunyai toleransi salitini yang sangat tinggi. Toleransi saliniti ini membawa maksud kepada daya toleran spesies ini terhadap sifat saliniti air atau kemasinan air.
Jadi, ikan kakap putih mampu hidup dalam keadaan air masin atau air tawar. Toleransi saliniti yang tinggi memberikan kelebihan kepada spesies kakap putih dalam memilih habitatnya.
Habitat ikan kakap putih biasanya tertumpu kepada kawasan muara sungai. Oleh kerana kakap putih mempunyai daya toleransi saliniti yang tinggi, maka spesies ini boleh ditemui dalam keadaan air masin, air tawar dan air payau. Selain itu, kawasan berstruktur besar seperti batu dan kayu besar juga menjadi habitat pilihan.
Hari ini, beberapa buah tasik dan empangan di Malaysia, telah pun didiami. Antara yang paling popular ialah kakap putih air tawar di Tasik Kenyir. Kemunculan kakap putih dalam tasik atau empangan merupakan hasil daripada pelepasan oleh manusia dan menjadi kegilaan kepada kaki pancing. Selain di Tasik Kenyir, kakap putih bersaiz mega juga kini telah didapati di Tasik Beris dan Empangan Muda di Kedah.
Ikan kakap putih mempunyai bentuk badan yang memanjang dengan mulut condong yang besar. Bahagian rahang atas spesies ini memanjang sehingga ke bahagian belakang mata. Bahagian pipi atau operkulumnya mempunyai duri kecil yang mampu melukakan. Sementara itu, sisiknya pula dalam kategori ctenoid. Kepalanya pula melengkung ke bawah.
Selain itu, ikan kakap putih mempunyai sisik yang agak besar. Sisik pada badannya berwarna perak di mana mungkin boleh menjadi semakin cerah atau semakin gelap mengikut keadaan persekitaran habitatnya.
Spesies ini boleh hidup dalam keadaan air yang jernih sehingga kepada keruh dalam lingkungan suhu air 26°C-30°C. Kakap putihjuga merupakan spesies ikan catadromous iaitu bersifat migrasi dari kawasan air tawar ke air masin untuk melepaskan telurnya.
Kakap putih menjadikan moluska, krustasia dan ikan kecil termasuk spesiesnya sendiri sebagai diet makanannya. Jadi ikan kakap putih boleh dikategorikan sebagai pemangsa yang bersifat karnivor.
Ketika bermula musim monsun, kakap putih jantan akan masuk ke muara untuk mencari pasangannya untuk pembiakan. Ketika ini ikan kakap putih betina mampu menghasilkan sehingga beberapa juta telur untuk dilepaskan.
Kakap putih juga merupakan spesies ikan yang bersifat hermaphroditic di mana mampu untuk bertukar jantina ketika musim mengawan. Kebanyakan spesimen kakap putih dewasa yang ditemui merupakan spesimen betina. Selepas melepaskan telurnya, induk kakap putih tidak akan menjaga telur atau anak yang akan menetas.
Peminat sukan memancing di Malaysia wajib tahu dan kenal spesies ini. Spesies pemangsa air tawar ini bolehlah ditabalkan sebagai pemangsa teratas dalam rantaian makanan dan antara spesies air tawar yang kuat dan ganas.
Aksi ganas, kekuatan dan stamina ikan ini cukup membuatkan kaki pancing berpeluh untuk mendaratkannya.
Dengan bentuk kepala seperti ular yang besar, spesies Channa micropeltes atau giant snakehead merupakan spesies yang cukup sinonim dengan kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Tidak syak lagi sesiapa saja yang mempunyai hobi memancing atau mengilat ikan air tawar, pasti akan kenal dan sedia maklum akan kerakusan sang toman dalam pertarungan.
Secara global, ikan toman lebih dikenali sebagai giant snakehead. Tergolong dalam famili Channidae, sama sebagaimana haruan dan bujuk namun toman mampu membesar sehingga saiz trofi.
Ikan toman juga merupakan salah satu spesies natif atau spesies ikan asal di Malaysia.
Taburan spesies
Taburan ikan sangat meluas terutama di kawasan Asia Tenggara. Bagi kebanyakan lokasi di Asia Tenggara, ikan toman merupakan spesies natif kepada tempat ini.
Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya, Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera merupakan antara kawasan yang mempunyai taburan ikan toman.
Selain itu, ikan toman terdapat di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun bukan merupakan spesies asal.
Oleh sebab kesan daripada aktiviti manusia yang memperkenalkan spesies ini ke perairan mereka, beberapa tempat dikatakan telah didominasi oleh spesies ini.
Antara kawasan tersebut termasuklah Wisconsin, Maryland dan Virginia.
Habitat dan ekologi
Ikan toman merupakan spesies yang hidup di persekitaran air tawar. Toman biasanya boleh dijumpai di sungai-sungai bertanah rendah, paya, tasik dan terusan.
Bagi toman juvenil, biasanya akan bergerak dan memburu makanan secara berkumpulan.
Bagi kebanyakan kaki di Malaysia, lokasi utama mencari toman ialah seperti tasik semula jadi, tasik buatan, sungai-sungai, lombong atau paya yang terbiar.
Toman juga gemar pada kawasan berarus perlahan dan dalam.
Morfologi dan biologi
Seperti ramai yang sedia maklum, anak-anak toman atau fri toman berwarna merah dan bergerak berkumpulan.
Pergerakan ini biasanya oleh sepasang induk toman atau lebih bagi mengelakkan anak-anak ini menjadi mangsa serangan kepada ikan atau pemangsa lain.
Selepas lebih kurang dua bulan, warnanya akan berubah menjadi oren dengan jalur hitam akan muncul pada garisan lateral.
Apabila semakin membesar, ikan toman akan kehilangan warna merah dan jalurnya akan pecah dan akan menghasilkan corak seakan batik pada badannya.
Warna merah pada badannya akan hilang dan akan menjadi warna biru kehitaman pada bahagian atas ikan ini.
Ikan toman merupakan spesies yang paling agresif berbanding 35 spesies snakehead yang lain. Spesies ini juga boleh membesar sehingga mencapai panjang lebih 2 meter dan berat mencecah 20 kg.
Selain mempunyai barisan gigi yang tajam seperti pisau, ia turut memiliki rahang yang sangat kuat. Paduan gigi dan rahang toman ini merupakan senjata yang menggerunkan.
Ikan toman biasanya memburu ikan yang lebih kecil daripadanya sebagai diet makanan utama.
Selain ikan, toman juga kadangkala menjadikan krustasia dan haiwan amfibia sebagai dietnya.
Apabila musim mengawan, ikan toman akan memilih kawasan yang mempunyai tumbuhan akuatik yang agak banyak sebagai tempat melepaskan telur.
Pemburu berkepala ular yang agresif
Ketika memburu mangsanya, toman akan membengkokkan dirinya seperti huruf S sebelum melakukan pecutan dengan menghentam mangsanya.
Mulutnya yang siap dengan barisan gigi tajam akan membaham mangsanya. Kekuatan rahangnya juga memberikan impak yang lebih kuat semasa membaham mangsanya.
Secara kasarnya, ikan toman boleh memberikan satu imaginasi yang agak menakutkan. Dengan sepasang rahang kuat dan dibarisi dengan gigi tajam serta berbadan tegap dan
padu, cukup memberikan impak sebagai pemangsa yang rakus. Apatah lagi dengan kepala berbentuk ular dan corak pada badannya menambahkan lagi kegerunan pada spesies ini.
Walaupun terkenal dengan kerakusan dan sifat agresifnya, ikan toman merupakan induk yang sangat baik.
Sepasang induk (kadangkala lebih) akan menjaga sarang tempat penetasan telur dan akan menjaga serta mengawasi anak yang baru menetas.
Induk ini akan menyerang dan bertindak lebih agresif ketika proses menjaga anak-anaknya.
Ia akan menjaga sehingga anak-anaknya cukup dewasa untuk hidup sendiri atau sehingga musim mengawan berikutnya.
Susah juga untuk menjawab persoalan ini kerana tidak dijelaskan bentuk perbezaan apakah yang diinginkan. Oleh yang demikian, saya jawab berdasarkan apa yang saya faham. Pada hemat saya, perambut yang dimaksudkan di sini ialah leader yang disambung bagi menghubungkan tali utama (tali sulam atau braided) dan bukannya perambut yang mengikat mata kail.
Ini kerana leader itu sendiri ada pelbagai jenis iaitu monofilament leader (perambut biasa), shock leader (perambut kejutan) dan fluorocarbon leader. Selain material yang berbeza, kegunaannya juga berbeza-beza.
Terlebih dahulu kita perlu tahu apa kegunaan atau fungsi perambut tersebut. Penggunaan perambut atau leader bertujuan untuk menyerap regangan terutama jika menggunakan tali utama daripada jenis tali sulam.
Tanpa perambut ia akan memberi tekanan kuat pada mata kail, kekili dan joran yang boleh mengakibatkan kemusnahan. Sama ada mata kail akan melurus atau patah, joran akan patah atau gear kekili akan rosak.
Material perambut pula lazimnya terbahagi kepada beberapa kategori sama ada nylon atau polymer sepenuhnya, campuran nylon dan fluorocarbon atau dan fluorocarbon sepenuhnya. Berikutan bahan yang berbeza tentu saja sifat dan fungsinya juga berbeza. Paling ketara perbezaannya ialah perambut tangsi ini lembut dan fluorocarbon pula keras.
Kesan di dalam air pula, perambut tangsi yang didatangkan dengan pelbagai warna termasuklah berwarna jernih bersifat tampak manakala fluorocarbon pula lebih bersifat halimunan. Dari aspek aksi pula perambut tangsi lebih berbuai di dalam manakala flurocarbon lebih bersifat pegun.
Dan dari segi ketahanan pula, fluorocarbon ternyata lebih lasak menahan geseran dan tidak mudah kerinting atau hilang sifat regangan. Diharap penjelasan ini menepati soalan anda.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...