Di Malaysia terdapat dua jenis spesies ikan lampam yang popular. Selain lampam ekor merah (ikan asal), satu spesies lampam yang popular ialah lampam jawa (spesies import). Kedua-dua spesies ini datang daripada genus yang sama iaitu Barbonymus.
Perbezaan paling ketara bagi spesies ini terdapat pada nama umumnya. Sebagaimana namanya lampam jawa, spesies ini merupakan ikan pendatang dari Indonesia yang dibawa masuk ke Malaysia atas tujuan akuakultur. Sementara lampam ekor merah pula merupakan ikan natif atau ikan tempatan.
Jika spesies bagi lampam ekor merah Barbonymus schwanenfeldii, nama saintifik bagi lampam jawa ialah Barbonymus gonianotus. Jika lampam ekor merah dikenali sebagai tinfoil barb, lampam jawa pula dikenali dengan nama silver barb.
Taksonomi Lampam Jawa
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus: Barbonymus
Species: Barbonymus gonianotus
Nama lain: Lampam, Lampam jawa, silver barb
Nama silver barb sepadan dengan morfologi luaran bagi lampam jawa yang mempunyai warna perak hampir keseluruhan badannya. Lampam jawa mempunyai bentuk badan yang lebih mampat berbanding lampam ekor merah yang kelihatan lebih lebar.
Selain itu lampam jawa mampu membesar sehingga 45 cm panjang. Dalam kebanyakan kes, ikan lampam jawa bersaiz kasar (melebehi 1 kg) lebih mudah ditemui berbanding lampam ekor merah.
Barbel pada bahagian mulut lampam jawa lebih pendek berbanding lampam ekor merah. Selain itu, bentuk kepala lampam jawa lebih kecil dan runcing berbanding lampam ekor merah.
Sirip lampam jawa pula berwarna perak atau kelabu dengan terdapat kehadiran warna merah pada hujung siripnya. Ini berbeza dengan lampam ekor merah yang mempunyai warna sirip merah dengan kehadiran margin hitam yang jelas.
TAKSONOMI LAMPAM EKOR MERAH
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus: Barbonymus
Species: Barbonymus schwanenfeldii
Nama lain: Lampam, Lampam sungai, Tinfoil barb