Selain digunakan secara terus (sebiji) dengan mencangkuknya pada mata kail, dihiris-hiris atau diperam terlebih dahulu, buah kelapa sawit juga boleh diproses untuk mendapatkan patinya.
Pati sawit yang berlemak dan aroma inilah sebenarnya yang menjadi kesukaan kebanyakkan ikan air tawar terhadap buah sawit.
Berikut merupakan perkongsian cara-cara untuk menghasilkan pati (minyak) sawit yang boleh digunakan sebagai bahan perisa untuk dicampurkan dengan makanan ikan seperti roti atau untuk dijadikan umpan berkesan memancing ikan.
Cara Penyediaan:
➡ Ambil kira-kira 50 biji buah sawit yang cukup masak dan tebal isinya.
➡ Hiris atau racik sehalus mungkin sehingga keluar jusnya yang berminyak. Boleh juga hirisan halus ini dikisar untuk mendapatkan pati yang lebih banyak.
➡ Cairkan dulu 1 tin kecil minyak sapi di dalam periuk kemudian masukkan pati sawit.
➡ Masaklah dengan api kecil sehingga ia mendidih (menggelegak macam lahar gunung berapi) dan matikan api.
➡ Biarkan ia menjadi sejuk, kemudian masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti sejuk.
Cara Penggunaan:
➡ Apabila ingin menggunakan pati ini, panaskan saja setakat mana yang ingin digunakan. Kemudian campurkan dengan bahan perisa lain (perisa pandan atau strawberi) atau sos umpan lain yang diinginkan.
➡ Untuk lebih berkesan, simpan pati campuran (umpan) ini di dalam bekas bertutup selama 3 hingga 5 hari sebelum digunakan bersama roti untuk memancing.