Udang lipan merupakan antara umpan mujarab yang semakin banyak digunakan dalam aktiviti memancing dasar laut dalam. Di Selat Melaka khususnya ia merupakan umpan utama untuk memburu ikan jenahak, kerapu dan lain-lain lagi. Maka tidak hairanlah harganya semakin meningkat.
Bagi pemancing, nilai udang lipan terletak pada nyawanya. Ia tidak seperti sotong kurita yang berkesan sama ada digunakan ketika hidup mahupun sudah mati. Justeru udang lipan perlu disimpan hidup dengan sempurna. Kesilapan kaedah penyimpanan bakal mengakibat pemancing berputih.
Udang hidup haruslah disimpan di dalam bekas yang terdapat air masin (laut) dan oksigen mengalir masuk ke dalamnya. Manakala bekas simpanan udang lipan pula sebaiknya tertutup atau tidak terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.
Kunci utama bagi menjamin jangka hayat udang lipan adalah kualiti air masin yang diletakkan di dalam bekas simpanan. Air laut atau air masin yang digunakan harus terkawal tahap kemasinannya. Air masin yang sudah tercemar atau bercampur dengan air tawar bakal mengganggu ketahanan udang tersebut.
Begitu juga dengan pam udara yang digunakan haruslah berfungsi dengan baik. Lagi banyak pam yang digunakan maka lebih banyak oksigen yang dapat disalirkan.
Manakala bekas simpan seperti tong menyimpan ikan yang biasa digunakan haruslah dalam keadaan bersih dan bebas dari bau-bauan yang boleh menjejaskan kualiti air masin yang digunakan.
Cara cangkuk pada mata kail
Sebelum menjadikan udang lipan sebagai umpan, terlebih dahulu perlu diketahui cara-cara pengendalian udang tersebut bagi mengelak sebarang kecederaan berikutan keupayaan kuasa jentikan kaki depannya.
Udang lipan perlu dipegang dari arah belakang dengan menekan kepala dan ekornya sehingga berlipat. Jangan pula melipat udang terlalu kuat hingga boleh merosakan badannya.
Kemudian barulah guna mata kail dicangkukkan pada sisi ekornya. Jika ingin menggunakan dua mata kail, satu lagi dicangkuk pada sisi abdomen badannya. Kulit udang lipan agak keras, jadi pastikan guna mata kail yang kuat dan betul-betul tajam.
Sekiranya anda mengendalikan secara bijak dan berhemat, anda tidak risau kemungkinan akan dicederakan oleh kaki berpedangnya. Dan peganglah ia dengan penuh yakin… jangan macam acah-acah saja.