Cara Menyelamatkan Hasil Pancing Jika Tak Bawa Tong Ikan

Share

 

Tidak semua jenis pancingan membolehkan anda menyimpan hasil tangkapan dengan sempurna. Kebanyakan situasi pancingan dari daratan membataskan peralatan yang ingin dibawa ke lokasi. Contohnya jika memancing di sungai pergunungan. Tentu saja sukar untuk bawa tong ikan dan juga air batu. Walau bagaimana pun, ada cara-cara tertentu yang boleh diilhamkan.

 

 

Bagi pemancing dari atas batu tebing pulau, tangkapan boleh disimpan dengan meletakkan ia ke dalam bekas jaring yang direndam dalam kolam batu berair. Tangkapan kemudiannya bolehlah disiang sebelum pulang.

 

 

Kolam batu yang terlindung lebih baik dari yang terdedah dek panas matahari. Jika tiada lindungan semulajadi, ia boleh dilakukan dengan cantuman tuala, beg, kayu atau lebihan joran. Atau sekurang-kurangnya lindungkan ikan dengan tuala basah dan sentiasa disegarkan dengan air laut yang sejuk dan bersih.

 

 

Pemancing pantai pula boleh menyimpan tangkapannya dari terikan matahari dengan cara menggali lubang pada pasir pantai yang basah. Kemudian, kambus tangkapan itu sehingga waktu pulang.

 

Apa pun cara yang anda pilih, buatlah usaha sama untuk mematikan dan menyiang ikan sebaik sahaja ia dipancing. Seterusnya cari tempat sesuai untuk menyimpan ikan itu selembap dan sesejuk yang mungkin. Jika dibiarkan ikan berjemur, rosaklah hidangan yang berpotensi keenakannya.

 

 

Pemancing yang menggunakan bot sememangnya tiada alasan untuk membawa peti simpanan ikan dengan kuantiti ais berpatutan. Disamping itu, peti ini juga boleh menyimpan air minuman sejuk, makanan segar dan umpan.

 

 

Published by
Amang