Ikan selat? Tentu ramai yang pernah memancing ikan seakan belida ketika mereka masih kecil, kan?
Secara fisiologi, ikan selat tidak banyak beza dengan saudara rapatnya dalam keluarga Notopteridae. Kesimpulannya, perbezaan antara ketiga-tiga spesies iaitu belida sungai, belida bintik dan selat hanya boleh dilihat pada corak badan serta saiz maksimum ikan ini.
Ikan selat mempunyai warna badan sekata seperti belida namun ia tidak mampu membesar sehingga besar maksimum ikan belida lainnya. Ada yang mengatakan ikan selat tidak memiliki badan yang `bongkok’ seperti belida.
Namun ia agak sukar untuk dibuat perbandingan ini pada pandangan mata kasar kecuali dapat meletakkan dua spesies yang sama saiz bersebelahan. Ikan selat dengan belida waktu tampak serupa. Nak beza senang saja… tengok pada bahagian bibir mulutnya. Kalau mulut panjang melepasi mata itu belida, bukan selat.
Satu perbezaan lain, kedua-dua selat dan belida ketika juvenil memiliki belang. Beza pada kedudukan mata lain sedikit dan anak selat biasanya berwarna putih kemerahan sedikit.
Spesies belida terkecil dalam family Notopteridae ini mudah ditemui dalam kepelbagaian habitat dan perairan negara. Ia bukanlah spesies buruan pemancing sukan sebagaimana ikan belida sungai dan belida bintik.
Tentu saja ikan selat tidak menjadi spesies sasaran dalam memancing berikutan saiz yang kecil. Ia biasanya terpancing dengan tidak sengaja, lazimnya ketika memancing ikan-ikan kecil lainnya seperti sepat atau puyu.