Carilah kawasan-kawasan yang ditumbuhi pohon rendang dan buahnya boleh dimakan oleh ikan. Kawasan pohon rendang seperti pokok ara kerana kebiasaannya ada ikan seperti patin yang menanti buah-buahan gugur dari pokok.
Carilah kawasan tunggul kayu yang biasanya tegak di tengah-tengah sungai. Ikan kelah dikatakan amat gemar bermain arus pada tempat begini sambil menangkap buih-buih yang terhasil daripada kesan arus yang “membelah” tunggul tersebut.
Carilah kawasan yang dalam dan airnya kelihatan agak gelap. Ikan gemarkan tempat dalam kerana arusnya tidak terlalu laju berbanding kawasan cetek.
Ads
Carilah kawasan arus yang mengalir agak perlahan atau lambat dan terdapat air yang berpusar. Ia agak sukar untuk dikesan tetapi sekiranya ditemui jarang menghampakan.
Carilah kawasan air berpusar membawa makanan masuk ke dalam air dan sudah pasti ada ikan menanti di kawasan seperti ini.
Ads
Carilah kawasan yang dilitupi atau ditumbuhi hidupan air seperti kangkung, teratai. Ia merupakan kawasan persembunyian ikan untuk menghendap mangsa.
Carilah kawasan rumpun buluh yang menganjur ke dalam sungai. Ikan-ikan seperti lampam dan kelah amat gemar memakan ulat buluh yang terjatuh ke dalam sungai.
Ads
Carilah kawasan yang mempunyai timbunan sampah yang tersekat di dalam sungai. Ikan keli dan kaloi amat gemar lokasi yang sebegini.
Carilah kawasan tebing yang kelihatan berlubang-lubang pada musim kemarau. Ikan baung biasanya bersembunyi di dalam lubang-lubang tersebut pada musim air kering dan akan keluar apabila air besar.
Carilah kawasan tepi jambatan, jeti, sangkar ikan atau empangan. Ikan gemar bermain di kawasan seperti ini sekaligus mengundang ikan pemangsa lain.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perairan Sabah sememangnya lokasi kegemaran bagi memburu ikan-ikan yang jarang-jarang bertemu di perairan Semenanjung. Misi tetap diteruskan meskipun kegagalan 4 orang ahli asal yang tidak dapat turut serta atas alasan cuti dan terikat dengan pekerjaan yang tidak dapat pelepasan daripada majikan.
Tanpa gantian kami terpaksa menampung sedikit perbelanjaan dan kos tambahan disebabkan kekurangan ahli. Trip selama 4 hari 3 malam ini menggabungkan separuh ahli yang pernah bertandang dan separuh lagi ingin merasai sendiri pengalaman memancing di Sabah. Di lapangan terbang Kota Kinabalu, kami dijemput oleh pemilik bot dan terus dibawa ke jeti di mana bot sedang menunggu.
Perjalanan panjang
Kali ini bot Seastar III dengan tekong Abdol digunakan. Lewat petang bot memperlahankan kelajuan, berlegar seketika sebelum sauh diturunkan ke dasar. Kunjungan pada lewat hari pertama kami disambut dengan angin yang sedikit kurang mesra terhadap pemancing dari Semenanjung.
Apa pun ia tidak mematahkan semangat ramai yang seperti lazim tidak sabar menurunkan set pancing masing-masing setelah sekian lama menunggu untuk merasai ikan laut Sabah.
Basung (selayang) bersama ikan kayu atau tongkol menjadi sandaran umpan pada sesi pembukaan. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk ahli yang ingin jigging. Ketika memasang kekili pada joran, Muslim antara yang mula-mula menurunkan set pancing beliau mengena ikan pertama trip ini.
Seekor ibu kerisi menyuntik semangat buat semua. Bacaan kedalaman pada set kekili elektrik yang digunakan ialah 90 meter, masih cetek lagi jika dibandingkan di sesetengah kawasan laut Sabah. Angin nampaknya lebih kuat daripada arus sehingga semua tali hanyut menuju ke tali sauh.
Depan sudah jadi posisi belakang, satu situasi sukar untuk memancing. Menjelang senja seekor merah coreng membuatkan Hj Din menjadi orang kedua mendapat hasil. Jarak masa sejam sudah menampakkan ikan kurang di lokasi pertama, memaksa tekong berpindah lubuk.
Umpan sotong
Di lubuk kedua, tekong dan awakawak menumpukan usaha mencandat sotong yang kebetulan cukup banyak timbul di permukaan. Lubuk berkenaan juga adalah tempat ikan jenahak dan siakap merah. Walaupun deruan angin semakin bertambah kelajuan, sotong begitu galak mengejar candat twist saiz kecil.
Umpan cantik tapi ikan dasar pula enggan membuka selera. Kutisan dan getuan ikan dengan sotong cumit hidup cukup lama. Namun satu getuan saiz ikan yang menelan sotong boleh dibanggakan. Sehingga awal pagi ikan terus menyepi apabila seekor jenahak skala 7 kg terlucut ketika di permukaan air.
Awal malam kedua kami menumpukan usaha mengumpul sotong hidup sebagai bekalan. Basung dan ikan kayu dibiarkan sepi dalam bekas ais. Perambut kekuatan 100 lb dua depa dengan dua mata 5/0 kerana sasaran kali ini bukan yang kecil.
Sotong yang baru dapat terus dicangkuk pada perambut yang sedia menanti. Selang beberapa detik kedengaran pemancing hadapan bergaya dengan sekor siakap merah. Kekili elektrik terpakai Digitana SLS Shimano yang baru diuji sebelum ini beberapa kali kecundang akhirnya tidak menghampakan pemiliknya apabila tewasnya seekor kerapu 8.5kg.
Selepas kerapu suasana sepi kecuali aktiviti mencandat semakin rancak. Dari jigging, ramai yang memilih untuk turut serta mencandat sotong, menghilangkan rasa jemu menunggu dan letih jigging, baik layan sotong termasuk tekong sekali.
Siakap merah kedua malam tersebut muncul setelah begitu lama menunggu menjadikan ia siakap merah terbesar dalam trip ini. Iffa yang setia menunggu sotong hidupnya disentap ikan boleh tersenyum apabila jenahak kedua muncul lagi dalam selang tempoh sejam lebih. Proses penantian yang cukup menyeksakan dan berkat kesabaran tinggi.
Fenomena air merah
Hari-hari terakhir, kawasan laut dipenuhi dengan fenomena air merah menjadikan ia kurang sesuai untuk memancing. Mencari kawasan yang bebas dari air merah menjadi tugas jurumudi kerana harapan meninggi pada hari terakhir. Beberapa ekor kerapu bara berjaya dipancing sebelum kehadiran laut merah melanda.
Banyak juga kami dikejutkan dengan strike kasar namun kehilangan hasil kerana perambut sering putus apabila bergesel dengan karang. Nasib sotong yang banyak diperolehi pada malam sebelumnya menjadi umpan pertaruhan apabila malam terakhir tiada sotong di lokasi.
Harapan seperti malam sebelumnya kalau dapat sotong hidup suspens sikit menunggu strike. Ibu kerisi dan anak kerapu memberi semangat buat yang masih berjaga malam berumpan sotong. Paling seronok ialah menikmati sup kerapu bara oleh ahli trip di malam terakhir tanpa mempedulikan joran di sekeliling.
Kesesuaian set pancing untuk memancing gerong belang yang sesuai secara asasnya ialah daripada light hingga medium set.
Namun bergantung kepada teknik dan kecenderungan peribadi pemancing untuk perlawanan yang lebih mencabar, terdapat juga pemancing yang memilih set yang lebih ringan untuk lebih ekstrim.
Tali sulam utama dengan kekuatan breaking point sekitar 10-20lb sudah memadai untuk penggemar teknik casting dan light jigging.
Kekuatan tali utama ini adalah kekuatan yang sesuai untuk kebanyakan spesies trevally termasuk gerong belang dengan mengambil kira kaedah pancingan casting di zon strike trevally.
Jika anda menggunakan teknik trolling pula, gunakan gewang berbibir minnow saiz sederhana dengan kelajuan bot sekitar 4-6 knot.
Gunakan nylon yang mempunyai warna yang terang jika anda gunakan tali jenis ini sebagai tali utama.
Waktu yang paling sesuai untuk memancing gerong belang dan kebanyakan spesies trevally ialah ketika waktu air penuh kerana trevally aktif mengejar ikan kecil di habitatnya pada waktu sebegini.
Bagi kaki casting, cermin mata polaroid sangat membantu terutama ketika mengenal pasti lokasi gerong belang di dalam kawasan air cetek dan jernih selain mengelakkan mata anda letih ketika memancing di lautan.
Acik Hasnan merupakan adik lelaki bongsu ibu aku. Memang kalau ada waktu lapang dan cuti akan diajaknya aku mencari dan mencuba lubuk baharu ataupun lubuk rahsianya yang memang terbukti banyak hasil boleh dikorek keluar darinya.
Petang itu selepas asar, aku membonceng motor Yamaha Sukan lama Acik Hasnan ku itu menuju ke lokasi yang dikhabarkan. Perjalanan kira-kira 40 minit itu tidak terasa dan seakan terlalu lambat bagi kami kerana terlalu semangat untuk sampai ke lubuk baharu itu.
Lubuk itu agak jauh ke dalam hutan dan perjalanan kami perlu menelusuri jalan denai yang mana biasanya digunakan oleh penoreh getah untuk masuk ke kawasan ini.
Sampai sahaja ke kawasan dituju, terbentang di hadapan kami takungan sungai kecil yang mengalir tenang airnya. Sungai ini merupakan anak sungai yang akan bercantum ke Sungai Perak yang lebih besar.
Airnya agak keruh ketika itu. Mungkin hujan pada awal pagi tadi. Tanpa membuang masa, dengan lafaz Bismillah pakcik ku itu terus menjala di kawasan yang sering diperkatakan oleh rakan-rakannya itu.
Kebetulan pula hanya kami sahaja yang ada disitu. Setelah setengah jam menjala di kawasan sekitar tiada seekor pun ikan yang kami peroleh. Wajah pakcikku, ku lihat sudah tidak seceria seperti tadi. Tapi kami terus menjala secara bergilir-gilir dan setelah sejam kami hanya mendapat seekor sahaja lampam bersaiz remaja.
Kami berehat sebentar dek kepenatan menjala, apatah lagi hasilnya yang sangat sedikit menambahkan lagi kepenatan kami walaupun cuaca petang itu sangat elok dan berangin.
“Pelik jugak Acik ni Wan, baru semalam Pak Hamid kamu turun menjala sini. Banyak betul ikan dia dapat,” keluhnya.
Aku hanya mendiamkan diri sahaja sambil memerhati sekitar tempat kami menjala. Sedang kami berehat, tiba-tiba terdengar bunyi salakan anjing. Semakin lama, semakin dekat. Seolah-olah menghala ke arah kami.
Jelas kelihatan di hadapan kami susuk tubuh seorang perempuan muda yang sangat ayu dan cantik wajahnya sedang berjalan sambil ditemani seekor anjing yang berada di hadapannya. Dengan memakai baju kurung kedah dan berkain batik ia memandang kami. Dia memberikan kami senyuman yang sangat manis.
Alam seperti terhenti seketika dan kami tidak berkelip melihat perempuan itu terus berjalan melalui kami. Perempuan itu terus melalui denai ke dalam hutan di sebelah kami. Aku dan pakcikku berpandangan setelah kelibat perempuan itu tidak kelihatan.
“Ke mana perempuan tadi pergi Acik?” tanyaku setelah dirasakan suasana hening seketika.
“Ntahlah Wan, rasanya macam ada jalan je kalau lihat pada denai yang perempuan tadi lalu. Mungkin juga lubuk yang kita jala ni salah. Mungkin ada lubuk lain atas sana,”kata pakcik ku.
Kami membuat keputusan untuk mengikuti laluan perempuan itu tadi. Motor kembali dihidupkan. Dengan hanya satu kerdipan mata setelah laluan tadi kami lalui, secara tiba-tiba kami rasakan sekeliling kami begitu asing.
Kami berada di sebuah kawasan kampung seperti kampung dahulu kala. Rumah kayu yang tersusun cantik dan pokok-pokok bunga kelihatan sangat cantik tersusun ditanam di halaman rumah. Udara sangat segar sekali. Kami terbuai dengan pemandangan dan suasana yang dilihat.
“Wan, perasan tak? Dari tadi kita tak jumpa orang pun kat sini,” pertanyaan pakcikku menyedarkan ku.
Aku lihat mulutnya terkumat-kamit seakan-akan membaca sesuatu. Wajahnya juga gelisah dan aku seakan tersedar yang kami berada di dunia yang sebenarnya memang asing. Dunia yang sepatutnya tidak ada di dalam hutan ini.
Aku mengikut pakcikku membaca Ayat Kursi dan beberapa surah yang ku hafal. Peluh mula menitik di dahiku.
“Ya Allah, bantulah kami keluar dari kawasan yang bukan tempat untuk kami ini,” ku dengan suara pakcikku berteriak kecil.
Selang beberapa minit kemudian aku rasakan kami dibasahi sesuatu. Hujan yang agak lebat membasahi kami. Aku baru tersedar yang jalan di hadapan kami adalah jalan pulang untuk ke kampung kami.
Kawasan sekitar bertukar gelap dan hanya cahaya malap lampu motor membantu kami mencari jalan keluar ke jalan besar. Syukur, kami sampai ke jalan besar dan sepanjang perjalanan pulang ke rumah pakcikku kami hanya diam membisu.
Sebaik sampai, ku lihat jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Rasanya baru sahaja kejadian tadi berlaku. Sudah terlalu lewat untuk kami pulang. Isteri pakcikku sudah kelihatan risau menunggu di hadapan rumah. Peristiwa ini kami rahsiakan untuk mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku.
Sesungguhnya kita berkongsi dengan makhluk lain yang menghuni bumi Allah ini dan terlalu banyak misteri yang kadang-kadang tidak terfikir oleh logik akal pemikiran yang waras. Kejadian ini memang memberikan kesan kepada kami.
Selepas itu kami hanya menjala dan mencari ikan di kawasan yang biasa sahaja bagi kami. Aktiviti mencari lubuk baharu kami lupakan buat seketika.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...