Bagi penggemar masak tempoyak pastinya akan cuba pelbagai versi masak tempoyak. Sama ada masak tempoyak ala Pahang, Perak atau Terengganu masing-masing ada keistimewaan sendiri.
Bagi pemancing yang biasa memancing di Tasik Kenyir, pastinya terbiasa dengan masak tempoyak ala Kuala Berang. Di sini kami sediakan cara mudah menyediakan baung masak tempoyak tersebut.
Bahan bahan:
3/4 ekor baung saiz sederhana
2 senduk tempoyak
4 cawan air (bergantung pada anda untuk kuah pekat atau cair)
1 biji cili merah (untuk memerahkah sedikit kuah)
Segenggam cili padi merah (bergantung pada tahap kepedasan anda)
1 inci kunyit hidup
Secekak daun kesum (kisar sedikit dan selebihnya tak perlu dikisar)
Sedikit garam
Cara-cara Memasak:
Tumbuk cili merah, cili padi dan kunyit hidup. Jangan sampai terlalu hancur. Kemudian masukkan tempoyak dan ditumbuk supaya bergaul rata.
Masukkan ikan dan semua bahan ke dalam periuk. Masak dengan api perlahan sehingga ia menggelegak. Setelah menggelegak, masukkan daun kesum. Masak dalam 3-5 minit sahaja dan bolehlah tutup api.
(Nota tambahan)
Kalau tempoyak kurang masam, boleh tambah sedikit asam keping.
Basuh ikan dengan tepung gandum untuk menghilangkan bau hanyir ikan sungai.
Kalau mahukan kuah yang pekat, boleh dimasakkan kuah sehingga masak dan pekat, baru dimasukkan ikan.