Cara-Cara Memancing Yu Pari!!

Share

 

Umpan boleh dilabuhkan terus hingga ke dasar sekiranya anda memancing di kawasan berpasir (terutamanya bagi pancingan pantai) dan menggantung umpan kira-kira sedepa dari dasar jika kawasan berkarang.

 

 

Teknik perambut terbaik ialah yang menggunakan tanduk yang disusuli perambut sepanjang 2 hingga 5 depa bersesuaian dengan keadaan terutama jumlah pemancing di atas bot pada satu-satu masa. Jika jumlah pemancing atas bot agak rapat perambut panjang boleh mengundang tangsi berpintal sesama sendiri.

 

Sementara teknik perambut apollo tidak sesuai untuk memancing ikan ini kerana umpan yang terlalu dekat dengan perambut utama menyukarkan ikan bermuncung panjang mendekatinya. Mulutnya jauh ke bawah dari muncung yang tersentuh tangsi menyebabkan ia sensitif dan meninggalkan umpan.

 

Memancing apa jenis ikan pun, pemancing perlu tahu diet yang paling diminati atau yang biasa kita sebut makanan asasi untuk dijadikan umpan. Walaupun ramai tahu ikan kembong dan sotong merupakan umpan antarabangsa, tapi tidak ramai tahu teknik yang betul menghidupkan umpan mati serta memanjangkan hayat umpan hidup pada mata kail.

 

 

Tidak kira apa ikan besar dan bergred tinggi  pasti tergoda apabila melihat umpan dalam keadaan `sakit’ yang tidak perlu bersusah payah memburunya. Di antara jenis umpan yang biasa digunakan untuk memancing spesies campuran yu dan pari ini ialah ikan pelagik seperti selayang, tamban, selar, kembong, pelaling dan lolong.

Jenis ikan pelagik sesuai di waktu siang manakala sotong lebih efektif di waktu malam. Namun kedua-duanya tidak mendatangkan masalah jika digunakan siang dan malam asalkan kena pada tempatnya.

 

Jika pada waktu malam umpan sotong hidup atau segar tiada, anda boleh cuba dapatkan ikan lolong mengunakan appollo berwarna putih berkilat. Lolong adalah di antara ikan pelagik yang tidak segan menyambar apollo tidak kira siang arau malam.

 

 

Apa yang pemancing perlu miliki untuk berdepan dengan spesies yang gemar membuat larian kencang mendatar? Apa yang diperlukan ialah kekili yang memiliki sistem tegangan yang baik dan lancar. Tali utama perlu keluar dari gelendung kekili tanpa tersekat-sekat supaya menjamin keupayaan tali utama tersebut bertahan dan mengelakkan tekanan setempat (static pressure).

 

Published by
Amang