Cara Buat Umpan Sawit Peram Tanpa Air

Share

 

Jika dibuat perbandingan antara buah sawit segar dengan buah sawit yang telah diperam, kelah lebih memilih untuk mengambil buah sawit peram. Oleh yang demikian, sebaiknya gunalah umpan sawit peram. Tapi bagaimana nak menghasilkan sawit peram? Ini dia petua dan teknik yang kami kumpulkan sebagai perkongsian untuk anda.

 

Kaedah Memeram Sawit

 

Dapatkan buah kelapa sawit yang dah masak sebanyak mungkin. Buah sawit yang betul-betul sudah masak adalah buah yang gugur di pangkal pokok. Atau cari saja buah-buah lerai berdekatan dengan kawasan pokok.

 

 

Bungkus semua buah sawit dengan kertas surat khabar. Pastikan semua buah dapat dibungkus dengan sempurna. Selepas itulah ikat bungkusan dengan apa-apa tali bagi mengelakkan bungkusan tersebut terburai.

 

Seterusnya masukkan sawit yang dibungkus surat khabar itu ke dalam beg atau karung plastik yang besar dan tahan koyak. Pek plastik beras 5kg atau 10kg amat sesuai digunakan. Atau pek plastik pampers bayi pun bagus sebab tahan lasak. Bungkus dan ikat dengan ketat supaya udara tak boleh masuk.

 

 

Selepas 7 hari atau seminggu, buka ikatan dan tengok hasilnya. Lazimnya surat khabar yang membungkus sawit akan jadi basah atau lembab kerana proses pengewapan. Jadi, gantikan kertas surat khabar ini dengan kertas yang baru. Kemudian ulangi semula proses sama dan peram lagi selama seminggu.

 

 

Selepas minggu kedua, biasanya sawit sudah lembut dan sesuai untuk jadikan umpan. Tapi jika inginkan aroma sawit yang lebih dan buahnya lebih lebih lembut, boleh ulangi proses menukar kertas surat khabar dan bungkus atau peram untuk tempoh seminggu lagi.

 

Published by
Amang