Jika dibuat perbandingan antara buah sawit segar dengan buah sawit yang telah diperam, kelah lebih memilih untuk mengambil buah sawit peram. Oleh yang demikian, sebaiknya gunalah umpan sawit peram. Tapi bagaimana nak menghasilkan sawit peram? Ini dia petua dan teknik yang kami kumpulkan sebagai perkongsian untuk anda.
Kaedah Memeram Sawit
Dapatkan buah kelapa sawit yang dah masak sebanyak mungkin. Buah sawit yang betul-betul sudah masak adalah buah yang gugur di pangkal pokok. Atau cari saja buah-buah lerai berdekatan dengan kawasan pokok.
Bungkus semua buah sawit dengan kertas surat khabar. Pastikan semua buah dapat dibungkus dengan sempurna. Selepas itulah ikat bungkusan dengan apa-apa tali bagi mengelakkan bungkusan tersebut terburai.
Seterusnya masukkan sawit yang dibungkus surat khabar itu ke dalam beg atau karung plastik yang besar dan tahan koyak. Pek plastik beras 5kg atau 10kg amat sesuai digunakan. Atau pek plastik pampers bayi pun bagus sebab tahan lasak. Bungkus dan ikat dengan ketat supaya udara tak boleh masuk.
Selepas 7 hari atau seminggu, buka ikatan dan tengok hasilnya. Lazimnya surat khabar yang membungkus sawit akan jadi basah atau lembab kerana proses pengewapan. Jadi, gantikan kertas surat khabar ini dengan kertas yang baru. Kemudian ulangi semula proses sama dan peram lagi selama seminggu.
Selepas minggu kedua, biasanya sawit sudah lembut dan sesuai untuk jadikan umpan. Tapi jika inginkan aroma sawit yang lebih dan buahnya lebih lebih lembut, boleh ulangi proses menukar kertas surat khabar dan bungkus atau peram untuk tempoh seminggu lagi.
Melihat dari sudut pancingan, ikan jenahak atau John’s snapper ini mungkin merupakan spesies ikan snapper yang paling digemari di kalangan kaki pancing. Atribut atau nilai utama tentunya pada nilai rasanya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan jenahak merupakan antara spesies ikan paling sedap jika di kalangan spesies ikan estuari.
Begitu pun, sesuai dengan statusnya sebagai tertiary consumer, pemangsa kepada pemangsa ini merupakan spesies ikan yang agresif dan agak licik. Agresif di sini merujuk kepada naluri jenahak sebagai ikan pemburu hendap. Jenahak mampu memberikan kesulitan kepada pemancing pada awal pertarungan terutama sejurus menerkam umpan.
Pancingan dasar merupakan teknik asas memburu jenahak.
Pertarungan yang agresif biasanya dalam tempoh yang singkat sebelum darjah kesulitan dan cabaran pertarungan bertukar daripada naluri pemangsa yang agresif kepada pertarungan kelicikan. Apabila menyedari pertaruhan tenaganya pada awal pertarungan gagal, jenahak akan menukar strategi kepada bertahan di sebalik struktur atau karang yang ada.
Ketika ini, objektif utamanya tidak lagi untuk menghauskan stamina pemancing, sebaliknya tertumpu pada stamina dan keupayaan tali pancing yang digunakan. Jika pemancing berjaya mengekang kedua-dua darjah pertarungan ini, maka nikmat kepuasan pastinya hadir setelah ‘emas lautan’ ini dapat dicungkil.
Udang lipan antara umpan terbaik memancing jenahak.
Di Malaysia, terdapat dua aplikasi teknik pancingan jenahak yang terkenal dan terbukti berkesan untuk memburu spesies bernilai tinggi ini. Aplikasi teknik pancingan yang pertama ialah teknik pancingan dasar dengan menggunakan umpan hidup atau umpan mati. Teknik pancingan dasar ini boleh dikatakan teknik tradisi memancing jenahak dan telah diaplikasikan sejak sekian lama.
Aplikasi pancingan dasar terbukti berkesan kerana sifat ikan jenahak sebagai ikan yang gemar berlindung di struktur habitatnya dan akan membuat serangan hendap jika ada mangsa yang melintasi kawasan tempat hendapkannya.
Jenahak juvenil yang terperdaya dengan umpan udang tiruan.
Kekuatan set pancing pula antara set sederhana hingga berat bergantung kepada lapangan pancing dan arus. Kekuatan perambut sekitar 50lb hingga 80lb sudah memadai dengan kepanjangan perambut sekitar dua meter.
Umpan hidup dan umpan mati merupakan pilihan untuk teknik dasar. Umpan hidup seperti udang, tamban, cumit, sotong kurita dan udang lipan dikatakan umpan terbaik untuk memikat John’s snapper.
Jenahak hasil pancingan slow pitch.
Walaupun masa bagi spesies jenahak memburu mangsanya sepanjang hari, namun teknik dasar pancingan jenahak lebih sinonim pada waktu malam. Malah sering kali jenahak bersaiz besar acap kali dinaikkan pada lewat malam atau awal pagi. Begitu pun, sesekali dan sesetengah kawasan terdapat juga jenahak yang berjaya dipancing disiang hari. Di sinilah aplikasi teknik pancingan kedua menjadi alternatif kepada pemancing yang ingin memburu jenahak.
Aplikasi teknik kedua pula menggunakan umpan artifisial atau umpan tiruan iaitu mengunjun besi atau jigging. Teknik slow pitch atau slow jigging ternyata begitu praktikal memikat jenahak pada siang hari. Malah, teknik slow pitch menjadi kegilaan masa kini kepada pemancing jenahak tempatan.
Hasil pemburuan jenahak yang diidamkan.
Dengan berat jig khusus untuk slow pitch bergantung kepada arus lapangan pancing, unjunan perlahan di kawasan berstruktur tidak dinafikan mampu menaikkan jenahak bersaiz gadang @ bantal. Cuma perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah spot untuk melabuhkan jig perlu betul-betul di kawasan lubuk yang mempunyai ‘emas hidup’ ini.
Walaupun memancing belut bukanlah satu aktiviti yang popular, namun ia tetap satu cabang aksi memancing yang menyeronokkan dan memiliki peminat yang tersendiri. Jom kita tengok apa kata netizen tentang aktiviti memancing spesies ikan yang menetap di dalam lubang tanah ini.
SAYA HAN
“Zaman aku memancing belut dulu takde phone kamera… haha. La ni ada phone kamera tapi takda pulak port nak pancing belut. Kesian tak aku?”
YUSLEE YUSOF
“Best apa mancing belut ni. Rasanya last aku pancing belut dulu time sekolah form 3. Masa tu guna mata kail jejari basikal je. Itu pun dah rasa cukup seronok. Biasanya main dekat lubang akar pokok kelapa dan kena pandai main la kalau paksa mulut belut mesti koyak dan lucut.”
AMIRUL RASYID ABD AZIZ
“Pengalaman pancing belut… guna tangsi dalam dua jengkal, ikat mata kail J kecik dan umpan cacing. Lidi dalam dua jengkal, cucuk mata kail yang berumpan kat hujung lidi, cari lubang belut dan jolok lidi ke dalam. Lepaskan lidi tapi sentiasa pegang tangsi. Bila nampak lidi tenggelam ke lubang perlahan-lahan (belut tengah makan umpan) biarkan dulu, bila rasa confident tarik tali keluar dan bergembiralah.”
MUZAID MUSTAKIM
“Pancing belut pakai teknik mata kail lurus. Teknik dari Indonesia. Memang senang dapat. Kalau tak percaya boleh try. Caranya pun senang… luruskan saja mata kail yang jenis panjang dan lembut.”
MOHD ZAKWAN ZULKIFLI
“Siapa kata pancing belut tak popular? Last saya pancing belut beberapa bulan lepas di kawasan sawah kat Besut, Terengganu. Hampir setengah baldi dapat. Memang seronok betul. Tapi satu perkara tu ada betul… memang tak ambik gambar pun. Lagi pun susah nak pegang handphone time main selut ni.”
MOHD SAIFUL HAMZAH
“Memanglah seronok pancing belut tapi yang tak bestnya malas nak cari lubang belut tu. Setakat buat bunyi cicak tu takpe lagi… hahahaha. Kalau orang yang biasa mancing belut ni tentu tak faham apa kaitan bunyi cicak. Hahaha… lantak korang la tak faham pun.”
MOHD RYZAL
“Kalau pancing belut pakai mata kail tu kira biasa-biasa saja… kawan tangkap belut pakai tangan dan penyapu lidi sebatang. Jangan tak percaya. Pandai-pandai korang la nak brain macam mana. Tapi ni memang betul-betul kejadian… bukan cubaan.”
SHAHRIL FIRDAUS ARIL
“Mengail belut memang syok. Lepas mengail terus masak dan makan lagilah sedap. Belut memang sedap. Sesiapa yang suka makan belut tentu akan teringin nak cari belut sendiri.”
SAIFUL HISHAM
“La ni belut mahal bro… RM20 lebih dah sekilo. Kalu beli kat kedai mau RM 30 sekilo. Dulu aku tak pancing, aku tahan bubu belut je. Senang dah cepat. Hahaha… lagi seronok jual belut tu.”
SHINJI KURIL NEJI
“Setakat ni belum pernah dapat belum lagi walaupun secara tak sengaja. Pancing belut pun tak pernah. Tapi kalau adik-beradik belut (sesirat) tu selalu la dapat. Hahaha… mungkin sebab tu lah jadi tak minat nak mancing belut.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...