Jenahak merupakan satu spesies ikan yang cukup popular di kalangan pemancing. Selain rasa isinya yang sedap, ia juga mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran. Tidak hairanlah ikan dari keluarga snapper yang bersisik keemasan dan bertanda hitam bulat di badannya itu sentiasa menjadi buruan para pemancing. Bagi yang berjaya menaikkan spesies ini, khususnya yang bersaiz bagak, ia dianggap sebagai satu trofi peribadi.
Jenahak berwarna emas kebiasaannya diperolehi di lubuk-lubuk yang dalam dan jenahak yang mendiami lubuk yang cetek mempunyai warna yang lebih pudar. Jenahak dikatakan memiliki waktu makannya tersendiri iaitu antara lewat malam hingga ke pagi, khususnya antara 12 -6 pagi. Namun kadang-kadang jenahak kerap juga dinaikkan pada waktu siang.
Jenahak lebih gemar memilih umpan segar dan masih hidup. Umpan terbaik adalah sotong cumit, kurita dan udang lipan. Bagaimanapun, umpan hirisan juga boleh menggoda jenahak. Kaedah lain seperti jigging juga boleh memikat jenahak, namun ia hanya sesuai di sesetengah tempat lokasi sahaja. Dalam erti kata lain jenahak kurang memakan jig.
Spesies berharga ini sering bergerak secara kumpulan kecil dan apabila ia mula makan, bersedia dengan serangannya sehingga ia mula berhenti makan. Amat penting, pastikan pada waktu keemasan ini, tidak berlaku kes tali putus atau rabut. Ini kerana jika ia berlaku, tiada lagi ragutan diterima kerana jenahak telah lari dari lubuknya. Untuk mencari jenahak, tekong kena rajin tukar lubuk.
Ramai yang tidak memikirkan soal ini. Sebelum keluar memancing korang harus tahu sifat lawan yang dipancing. Memang ikan boleh berenang.
Tetapi tahukah korang bahawa corak renangan ikan juga terbahagi kepada beberapa kumpulan.
Ada spesies ikan yang sentiasa berenang laju meredah laut dan ada yang berenang dengan minima dan lebih banyak menghabiskan masa dengan kekal pada satu tempat di dasar lautan. Kenali ikan dan perlakuannya agar anda tidak pulang dengan tangan kosong.
Kawanan (Schooling)
Kebanyakan ikan bertulang yang kecil akan berenang bersama-sama dalam koordinasi tertentu dan dipanggil berkumpulan atau kawanan (schooling).
Sebab utama berenang dalam kumpulan ialah adaptasi untuk mengelakkan daripada pemangsa selain dapat menakutkan mangsa.
Kalau anda nak tahu, berenang dalam kawanan akan memberikan lebih daya hidrodinamik dan meningkatkan peratus persenyawaan.
Kewilayahan ( Territorial)
Pelbagai jenis ikan mempunyai sifat kewilayahan. Namun kadangkala sifat kewilayahan mereka ini berbeza dan unik.
Ikan damselfish yang kecil amat berani dan menakutkan dalam mempertahankan wilayahnya sendiri manakala kebanyakan kerapu atau grouper yang lebih besar akan berundur dari wilayahnya apabila didatangi oleh haiwan lain.
Hubungan simbiosis
Sesetengah spesis ikan kecil akan melekat pada badan ikan yang besar dan membersihkan badan ikan besar dengan memakan parasit pada tubuh ikan tersebut.
Simbiosis dapat dilihat pada ikan jerung, paus atau penyu. Ada juga ikan yang bersimbiosis dengan spesies yang bukan ikan seperti clownfish dan timun laut yang mana timun laut akan menjaga ikan tersebut daripada serangan pemangsa.
Penghasilan bunyi
Eh, macam pelik pula? Ikan mengeluarkan bunyi ke? Yang sebenarnya banyak spesis ikan menghasilkan bunyi sama ada dalam situasi ketika pembiakan, sosial, kewilayahan atau sifat agresif.
Bergantung kepada spesies, ikan bertulang mampu menghasilkan bunyi dengan melagakan giginya, getaran daripada udara atau dengan meregang dan mengecutkan ototnya. Kebanyakkan bunyi yang terhasil di bawah 10.000Hz.
Berikut beberapa panduan yang perlu dititikberatkan ketika ingin mendarat dan mengendalikan ikan sama ada untuk keselamatan diri mahupun tangkapan itu sendiri.
Guna Sauk
Tidak kira apa jenis pancingan anda, sauk atau tangguk merupakan alatan kelengkapan memancing yang perlu ada dan dibawa bersama. Kebanyakan pemancing keberatan untuk membawa sauk berikutan saiznya yang besar dan memakan ruang simpanan dalam kenderaan.
Guna Lip grip
Jika tiada penyauk, gunakanlah lip grip atau pencangkuk bibir ikan. Penggunaan lip grip tidaklah sebaik menggunakan tangguk tetapi ia sesuai untuk mengendalikan ikan air tawar bergigi tajam seperti haruan dan toman.
Selain mudah bagi proses menanggalkan mata kail, kemalangan juga dapat dikurangkan jika memegangnya dengan tangan sahaja. Sebaiknya gunalah tangguk atau sauk yang sepadan dan sesuai untuk mendaratkannya. Dengan cara ini ikan tidak berhadapan risiko kecederaan malah dapat mengelakkan kemalangan pada joran dan pemancing sendiri.
Guna Gancu
Jika memancing di laut, seeloknya gunalah gancu atau cangkuk. Apatah lagi jika yang ingin didaratkan itu bersaiz besar, bergigi tajam atau yang bersengat seperti ikan pari. Jika ingin membawa pulang tangkapan tersebut bolehlah dicangkuk pada bahagian badannya, sebaliknya jika melepaskan kembali pastikan tidak mencederakan mana-mana anggota badannya atau putuskan sahaja tali perambut.
Cara Alternatif
Sekiranya tiada peralatan tersebut dan perlu mendaratkannya dengan menggunakan tangan, pastikan ikan berkeadaan lemah. Sebaiknya peganglah bahagian ekor ikan untuk menariknya ke darat atau ke atas bot.
Boleh juga mendaratkan ikan dengan kaedah memegang mulutnya dengan tangan tapi harus diingat, bukan semua ikan boleh dipegang mulutnya seperti siakap atau sebarau. Sebaiknya kenali dulu jenis ikan sebelum tunjuk hero.
Cara Pengendalian
Apabila menanggalkan mata kail dari dalam mulut ikan, sebaiknya gunalah playar atau hook remover. Elakkan dari menanggalkannya dengan menggunakan tangan khususnya mengendalikan ikan bergigi tajam.
Bagi mengurangkan ikan daripada menggelepar, pegang ekor ikan dan bengkokkan badannya ke arah kepala, jangan terlalu kuat hingga boleh mematahkan tulangnya. Jika memegang ikan bersengat, peganglah bahagian kepalanya dengan cara yang betul.
Jangan sesekali menyeret ikan naik ke darat khususnya jika berhasrat untuk melepaskan kembali ikan tersebut. Cara ini boleh menyebabkan kecederaan atau setidak-tidaknya menghapuskan lendir badan yang sangat penting untuk survival ikan.
Sekiranya mata kail ditelan terlalu jauh ke dalam mulut, sebaiknya putuskan saja perambut dan biarkan mata kail di dalam mulut ikan. Ia lebih baik bagi survival ikan daripada memaksa mengeluarkan mata kail tersebut.
Jika ingin bergambar bersama ikan (spesies tangkap dan lepas), sebaiknya ampu tubuh ikan di bahagian kepala dan ekornya. Jangan memegang ekor sahaja kerana ia boleh mencederakan ikan dan mudah terhempas.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...