Candat Sotong Pulau Kapas

Share

Boleh dikatakan mencandat sotong di perairan Terengganu, merupakan satu-satunya aktiviti memancing yang bukan sahaja disertai oleh pelbagai kategori pemancing malah disertai oleh sesiapa sahaja walau pun bukan seorang pemancing. Aktiviti ini turut diminati oleh golongan wanita. Malahan peningkatan golongan wanita dalam aktiviti ini saban tahun begitu memberangsangkan.

Bot nelayan yang digunakan untuk mencandat sotong

Tiada kajian khusus kenapa aktiviti mencandat sotong ini begitu diminati ramai meskipun berhadapan dengan kemungkinan mabuk laut, boleh dikatakan hampir kesemua individu yang pernah bercandat sotong, keberangkalian untuk mengulanginya pada tahun berikutan amat tinggi.

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai trip mencandat sotong sekiranya berkelapangan. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya juga jeti Marang akan menjadi tumpuan ramai apabila musim mencandat sotong. Bermula jam 5.00 petang, puluhan bot nelayan dan memancing yang membawa para pecandat sotong dari setiap pelosok negeri bergerak keluar dari kuala Sungai Marang menuju perairan beberapa batu nautika dari Pulau Kapas.

Saya bersama tujuh orang pemancing lain turut sama dalam `konvoi’ ini. Sekitar jam 8.00 malam, tekong bot melabuhkan sauh di suatu lokasi yang jauh dari spot mencandat yang menjadi tumpuan puluhan bot mencandat lain. Sementara spot pilihan tekong kami ini hanya terdapat beberapa buah bot sahaja namun kami semua menaruh kepercayaan penuh kepada tekong yang sudah puluhan tahun bergelumang dalam dunia mencandat sotong ini.

Sesi mencandat bermula dengan agak perlahan. Justeru untuk memperolehi `lesen’ sedikit sebanyak memberi tekanan khususnya kepada ahli-ahli trip yang belum berjaya. Tekanan kian terasa apabila hujan lebat turun tatkala aktiviti mencandat baharu sahaja bermula. Lebih setengah jam juga aktiviti mencandat tergendala kerana hujan. Namun setelah hujan teduh, perlahan-lahan nasib mula menyebelahi kami. Walaupun tidak berada di kandang sotong dan sekadar dikunjungi `sotong gatal’, ia sudah cukup membuatkan mata kami berjaga sehingga dinihari.

Setelah seorang demi seorang melelapkan mata, sekitar jam 4.00 pagi ditamatkan secara rasmi berikutan arus yang kian laju. Beberapa jam kemudian tekong membongkar sauh dan kami bergerak ke jeti bersama kira-kira 50 kilogram sotong. Biarpun sekadar 50 kilogram, ia sudah lebih dari jangkaan kami berikutan kami lebih banyak bersantai daripada mencandat.

Published by
Amang