Percaya atau tidak, sebanyak RM 10,000 disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking ke-101 hingga ke-150. Yang membawa erti setiap pemenang yang menduduki carta tersebut akan memperoleh RM200. Manakala RM36,000 tunai lagi diperuntukkan disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking dari tempat ke-11 hingga ke-100 atau RM400 untuk setiap ranking.
Itu baru kedudukan ranking ke-11 hingga ke-100, hadiah wang tunai untuk kedudukan ranking tempat ke-10 sehinggalah podium utama iaitu juara pula berjumlah RM59,000. Sekali gus ia melebihi RM100,000 wang tunai yang menanti untuk direbut. Begitulah tawaran luar biasa yang disediakan oleh pengurusan Seri Bayu Tekala bagi pertandingan memancing yang bakal dilangsungkan pada 29 Oktober nanti bertempat di Kolam Seri Bayu Tekala, Semenyih, Kajang.
Ads
Menurut pengurus acara ini, pihak kolam turut menyediakan dua kategori khas untuk tangkapan spesies patin Chao Phraya dan tongsan sisik halus. Bagi setiap juara kategori akan memperoleh RM 500, kedua sebanyak RM300 dan ketiga sebanyak RM200. Selain itu pihak penganjur atau pihak kolam turut menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan dua buah kaca TV 32” LED dan 10 unit kekili dari jenama Shimano.
Ads
Ads
Acara pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja ini boleh disertai dengan cara melakukan pendaftran di kaunter pendaftran kolam yang dibuka pada jam 1.00 petang 28 Oktober sehinggalah bermulanya pertandingan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setelah membuat perancangan dan persiapan yang agak lama saya bersama tim komplot Zan Kail Utara Pancing yang terdiri daripada Aiman, Adi, Shah, Akhis dan Jan, pada jam 8.00 malam bertolak dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Temerloh, Pahang bagi menjayakan misi kami iaitu memancing udang galah atau jenggo di Sungai Pahang.
Bertarikh 6 Oktober bersamaan hari pertama misi, kami tiba di destinasi yang kami iaitu Kg. Pangsenam, Temerloh kira-kira jam 3.00 pagi. Perjalanan yang jauh bagaikan tidak terasa kerana rasa teruja yang meluap-luap. Seawal jam 7.00 pagi setelah menyelesaikan urusan dengan Abang Salleh iaitu pemilik rumah rakit dan sewaan sampan, kami segera menyusut Sungai Pahang mencari lubuk jenggo.
Kami menyewa 4 buah sampan atau bot fiber. Umpan umpun-umpun nipah memang terbaik untuk menjerat spesies jenggo, siap dibawa bekal dari Sungai Petani lagi. Tanpa mengira rasa lesu akibat perjalanan panjang dan kurang tidur, kami gigih keluar memancing.
Hasil yang diperoleh untuk hari pertama memang terbaik walaupun ini adalah buat pertama kalinya kami memancing jenggo di Temerloh. Kira-kira jam 7.00 malam kami kembali ke jeti dan bermalam di rumah rakit Abang Salleh. Soal makan minum tidak menjadi masalah kerana rumah rakit Abang Salleh lengkap dengan peralatan memasak. Hanya bahan mentah sahaja yang perlu dibawa untuk memasak. Malah bilik pun lengkap dengan pendingin hawa.
Setelah makan malam dan berehat seketika, entah bagaimana secara tiba-tiba kami berbincang untuk cuba memancing pula. Dengan mudah kami sepakat kata untuk mencubanya. Kira-kira jam 9.00 malam kami menyambung operasi mencari jenggo.
Berikutan kegelapan malam yang membatasi penglihatan, sedikit sebanyak ia menjejaskan pergerakan kami. Namun hasil diperoleh jauh lebih baik berbanding waktu siang. Disebabkan mengantuk dan letih, jam 5.00 pagi terpaksa kami pulang ke jeti untuk tidur.
Tidak sampai pun dua jam kami berehat dan tidur, sebelum jam 7.00 pagi kami sudah pun keluar memburu jenggo lagi untuk sesi hari kedua pula. Berikutan Sungai Pahang yang terlalu luas menyebabkan kami kurang arif untuk menjejak lubuk yang berpotensi. Tambahan pula ia merupakan pengalaman kami yang pertama kali. Namun kami tidak mematahkan semangat kami. Kami mencari informasi lokasi daripada pemancing dan penduduk tempatan.
Berkat ringan mulut bertanya, hasil yang diperoleh ternyata terbaik. Keseronokan membuatkan masa berlalu bagaikan tidak terasa. Bagai tidak sedar hari sudah lewat petang dan perlu pulang ke jeti untuk berehat seketika sebelum menyambung pancingan malam pula. Namun hasrat kami untuk memancing malam terpaksa dibatalkan berikutan cuaca kurang baik dan hujan turun dengan agak lebat.
Jam 6.30 pagi pada hari ketiga kami keluar memancing udang galah untuk beberapa jam lagi sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani kira-kira jam 11.30 pagi. Tiada apa yang dapat kami simpulkan dari trip ini selain amat berpuas hati. Layanan Abang Salleh juga terbaik. Kami mengakhiri trip jenggo Sungai Pahang di Temerloh ini hasil kira-kira 100 ekor lebih udang galah dengan anggaran lapan kilogram. Yang pasti kami amat bersyukur kerana selamat pergi dan selamat juga kembali.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian ribut di beberapa negeri utara tanah air disebabkan ekor Taufan Lekima yang membadai timur negara China.
Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, berkata berlaku fenomena garis badai kesan tiupan angin susulan taufan itu di selatan Thailand yang kemudiannya melanda di utara Semenanjung.
“Garis badai adalah garisan ribut petir akibat tumpuan angin barat daya dan barat laut di tengah laut berpunca daripada ribut tropika berlaku di timur China.
“Di selatan Thailand berlaku tumpuan angin menyebabkan garis badai ini bergerak dari barat laut ke arah tenggara dan melanda beberapa kawasan di Kedah termasuk Langkawi.
“Kelajuan angin dicatatkan kira-kira 100 kilometer sejam (kmsj),” katanya pada BH, sebentar tadi.
Beliau berkata, MetMalaysia yakin tidak berlaku gelombang kedua kerana secara kebiasaan ribut akibat taufan Lekima berlaku sekali sahaja.
Dalam pada itu, tempias daripada ribut itu menimpa kelong memancing yang terletak di utara Selangor.
Menerusi laman Facebook Kelong Kupang Sabak Bernam memaklumkan kelong 1, 2 & 3 dihentikan operasi kerana berlaku kerosakan teruk dan roboh sama sekali akibat musibah angin kuat.
Berikutan kejadian tersebut, kesemua tempahan memancing di kelong tersebut terpaksa dibatalkan kecuali kelong 4. Dipercayai tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku kerana tiada pelanggan yang memancing di kelong-kelong tersebut ketika kejadian.
Jika di sebelah utara tanah air, nama Pak Ngah memang dikenali ramai oleh kaki pancing di sana.
Kaki pancing terutama kaki mengilat mengenali Pak Ngah kerana pengalaman dan keupayaan Pak Ngah dalam menghasilkan bullet fly buatan tangan yang memang terbukti prestasinya.
Pak Ngah meminati sukan memancing sejak sekian lama. Malah, Pak Ngah juga sering terlibat dengan banyak aktiviti berkaitan sukan memancing di sekitar Kedah dan Pulau Pinang, lebih-lebih lagi aktiviti yang menjurus kepada pendidikan untuk komuniti pancing.
Pengalaman memancing
Menurut Pak Ngah, pengalaman memancingnya bermula sejak sekian lama. Jadi tidak hairanlah, dunia memancing ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup Pak Ngah sendiri.
Berkongsi kisah pengalaman memancingnya, Pak Ngah memberitahu bahawa dia mula mengenal pancing dan kail sejak usia 12 tahun. Waktu itu, aktiviti memancing Pak Ngah lebih ke arah pancingan laut.
Sekitar tahun 2001, Pak Ngah mula meminati pancingan ultralight. Waktu itu, Pak Ngah telah berjinak-jinak dengan pancingan ikan tarpon atau bulan.
Pancingan ultralight Pak Ngah bermula apabila dia pulang dan menetap di Kedah setelah beberapa tahun merantau.
Ketika menceburi pancingan ultralight, Pak Ngah merasakan kepuasan yang tersendiri.
Dengan rod dan tali yang mempunyai poundage yang rendah, perlawanan dengan ikan terutama spesies tarpon cukup menghiburkan.
Sejak itu juga, Pak Ngah mula berjinak dengan umpan tiruan dan mula menghasilkan umpan bulu atau bullet fly sehingga sekarang.
Cetusan idea bullet fly
Pak Ngah turut berkongsi cerita bagaimana permulaan ketika dia menghasilkan umpan bulu atau bullet fly secara buatan tangan yang kekal mendapat sambutan hingga hari ini.
Permulaan Pak Ngah menjadi seorang crafter bullet fly banyak mendapat dorongan daripada teman karibnya iaitu arwah Cikgu Fadzil.
Arwah Cikgu Fadzil banyak merupakan orang yang bertanggungjawab mengajar dan memperkenalkan pembuatan bullet fly kepada Pak Ngah.
Dari situ, Pak Ngah mula belajar cara pembuatan dan material bagi menghasilkan bullet fly yang berkualiti.
Jenis bulu dan cara ikatan banyak mempengaruhi bullet fly yang dihasilkan.
Selang beberapa ketika, Pak Ngah mula cuba untuk meningkatkan kualiti bullet fly buatannya baik dari segi material, persembahan dan prestasi.
Hingga kini, material utama penghasilan umpan bulu ini ialah bulu ayam jantan kampung.
Sejak dari awal, Pak Ngah menghasilkan umpan bulu secara kecil-kecilan sahaja sama ada untuk kegunaan diri sendiri dan beberapa orang teman rapat yang sering keluar memancing bersama.
Lama-kelamaan permintaan daripada rakan-rakan Pak Ngah semakin meningkat kerana keupayaan bullet fly buatan Pak Ngah betul-betul ‘mencakup’.
Akhirnya, Pak Ngah mula menghasilkan umpan ini dengan skala yang lebih besar bagi memenuhi permintaan daripada kaki pancing.
Hari ini, bullet fly hasil kerja tangan Pak Ngah mendapat permintaan daripada kaki pancing di seluruh Malaysia.
Harapan dalam sukan memancing
Sebelum mengakhiri perbualan, penulis sempat bertanya apakah harapan Pak Ngah bagi pemancing dan industri memancing itu sendiri.
Secara peribadi, Pak Ngah mengatakan bahawa dia mengharapkan akan berdiri lebih ramai lagi kaki pancing yang berilmu baik dari segi kaedah pancingan dan juga dari segi penjagaan alam sekitar dan sumber.
Bagi Pak Ngah, dia melihat pemancing ini sebagai duta alam sekitar. Dari situ, penjagaan sumber alam sekitar menjadi tanggungjawab pemancing kerana bagi Pak Ngah, pemancing merupakan antara individu dan komuniti yang paling rapat dengan alam sekitar.
Oleh itu, pemancing diharapkan sentiasa berhemah dan beretika, tidak mengotorkan alam sekitar ketika memancing lantas menjadi model ikutan kepada masyarakat sekeliling.
Pak Ngah juga berkongsi pandangannya berkaitan ultralight di mana dia melihat pancingan ultralight merupakan teknik pancingan yang semakin popular.
Sehubungan dengan itu, peningkatan pemancing ultralight biarlah sejajar dengan kredibiliti dan ilmu bagi seorang kaki pancing untuk sama-sama menjadi contoh yang baik kepada pemancing baru dalam penjagaan alam sekitar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...